♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Thursday, September 27, 2012

APA PULA KEJAYAAN ANDA?

APA PULA KEJAYAAN ANDA?



Saat kejayaanya diumumkan, air matanya hampir menitis. Saat terlafaz nama pemenang, lampu pentas bersinar penuh gemerlapan. Di hadapan pentas, tersenyum wajah seorang ayah penuh kesyukuran menatap kejayaan yang sedang diraih oleh cahaya matanya. Sorakan seisi dewan yang gemuruh amat bersetuju dengan kejayaannya. 

Walaupun bangsa tiada persamaan, bahasa mampu menyatukan mereka di dalam dewan. Dengan kesungguhannya mempelajari bahasa yang lain (Bahasa Mandarin), dia mampu bersinar dengan kelebihan yang tersendiri. 

Tahniah, Nur Shahila Amir Amzah kerana telah berjaya dalam bidang yang diceburi di usia 22 tahun. Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, berjaya mengharumkan nama negara Malaysia dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China bermula jam 8.30 malam.
Dengan kejayaan itu, Shila berjaya menewaskan 5 finalis daripada negara China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Kini, tertaya-tanya pula pada diri sendiri, "apa kejayaan anda yang sudah diraih sepanjang hidup ini?"  ^____^

Link youtube:
Shila Amzah - All performance Asian Wave 2012

Monday, September 24, 2012

SI KROK



Bunyinya, 'kroooookkkk'.

Sekali lagi bunyinya...'krooookkkk'.

Itu isyaratnya.

Sesaat berbunyi bagai bergelonsor di ruang kosong yang panjang.

'kroook'...aik...agak pendek sedikit pula bunyinya.
Mungkin malu diusik si tuan badan.

Berkatalah si tuan badan, "apa mahu mu si bunyi 'krook'?"

Seketika tiada bunyi kedengaran.

Tiba-tiba kedengaran bunyi yang agak pendek,
'krok'....'krok', itu saja maklumbalasnya.

"Baiklah si bunyi 'krok', saya tahu itu isyarat kamu minta diisi. Lapar ya? Kasihan kamu. Masa menunjukkan jam 2.30 pagi, patutkah kamu diisi padahal jadual kamu adalah tidur dan berehat?"

Sepi.

Diruang dapur, kelihatan si tuan badan sedang mengambil jag untuk memasak air. Segalanya untuk si bunyi 'krok'. Ya, bunyi 'krok' sedang dimanjakan.


NOTA: Latar gambar tiada berkaitan. Gambar hanya sebagai hiasan, aksi si tuan badan yang asyik dengan tugasan di hujung mikrofon disamping menahan terik panasnya mentari pagi di tepi padang Kampung Merampong ketika itu.

PERANCANGAN ALLAH YANG TERBAIK


Bidari : Apa benar, kau telah membuat laporan?

Atsu : Ya, petang tadi. Semoga itu tidak akan mengecewakan. Waran tangkap bakal menyusul selepas ini.

Bidari : Ermmm....

Atsu : 'No, komen' la tu? Itu saja yang terdaya saya buat. Berusaha dan penutupnya doa. Bukan sengaja untuk mengganggu kehidupannya. Sebenarnya, dia juga yang memulakan dengan sikap yang mengganggu emosi dan fikiran ini. Seandainya, dia tidak berbohong dan telus berurusan, pasti semuanya berjalan dengan baik. Kau kelihatan menyokong aku kali ini Bidari?

Bidari : Semoga perancangan Allah yang terbaik buat kau.

Atsu : Baiklah, terima kasih. ^__^


Friday, September 21, 2012

Serahkan pada Allah




Atsu: Maaf, sekali sekala ada rasa menyampah yang teramat.

Bidari: Wah, sombong sekali kau melafazkan kata itu!

Atsu: Itu hak saya. Kenapa perlu kau ambil tahu?

Bidari: Kerana sebenarnya aku percaya kau tidak tergamak melakukan tingkah laku tidak baik itu kawan.

Atsu: (menangis semahunya...) Biarkan aku sendirian kawan, sesekali aku perlu jahat kerana kesabaran ku tidak dapat dipertahankan lagi.

Bidari: (diam seketika). Serahkan pada Allah kawan. (berlalu meninggalkan A bersendirian).

Thursday, September 13, 2012

JARAK


SK Merampong ke desa ku sejauh 35 KM. 
Hampir sama dengan jarak ke pekan Tambunan rasanya. 
Kalau memandu dari sekolah ke pekan Tambunan 30 minit sudah sampai. 
Kalau dari sekolah ke Kg Penagatan Ulu pun sama, sekitar 28 hingga 30 minit ++ mengikut kesesakan jalan di pekan Keningau. 
Jika saya memilih untuk melalui jalan kampung pun tidak boleh laju, ada trafik light semulajadi berupa ayam, anjing, lembu, manusia, selekoh jalan dan periuk api (tahi lembu). 
Heheeee... ^___^

Monday, August 27, 2012

RINDU BAYANGANNYA



RINDU BAYANGANNYA

Rindu bayangannya
Bila yang difikir
Seringkali difikir-fikirkan

Hanyut seketika diri
Mencari bayangannya
Berdetak hati mencarinya
Risau, hampa menyiram hati

Lantas fikiran logik berbicara
Yang dicari tiada di depan mata
Yang dicari masih jauh dengan urusnnya

Lalu senyum terukir seketika
Terasa malu diusik bayangannya
Namun ada ketenangan menemani
Yakin akan bersatu jua diakhirnya
Bukan sekadar rindu bayangannya.
NOTA_27.08.2012_Isnin :
Langkah kaki dihayun seiring angan-angan yang bermain diminda. Tiba dikawasan parkir kereta, tumpuan segera difokuskan kepada lokasi tempat letak kereta. Tiba-tiba perasaan cemas menemani.
 'Astaghfirullah...dimana kereta saya? Jangan hilang ya Allah...' perasaan ini diserang rasa cemas yang tidak sudah.
Ingatan segera diundurkan seketika sebelum turun dari kereta untuk berurusan. Lokasinya diyakini dihadapan mata.
'Ya, saya yakin lokasinya disini. Tapi dimana keretanya ya?' dua tiga saat diperlukan untuk mencari logik fikiran.
'Aduh...rupanya saya masih meminjam kereta kembara berwarna kelabu milik kakak sulung kerana kereta saya masih dirawat dibengkel.' bisikan logik fikiran menemui jawapannya juga.
Baru tiga hari tidak bersama dengan Mr Oren, terasa juga kehilangannya. Syukur, pengertian dari kakak sulung banyak membantu melancarkan urusan yang satu ini.

Sunday, August 5, 2012

PILIHAN SI BONGSU





PILIHAN SI BONGSU



Berkata si kakak kepada adik bongsu perempuannya, "Kamu mahu wara apa?".

"Kali ini saya mahu warna biru" pintanya.


Si kakak sebenarnya memilih warna hitam, tetapi memandangkan ingin memenangkan kemahuan adik bongsunya, diturutkan sahaja pilihannya. Berlatarkan warna hitam dan bercorak biru akhirnya menjadi pilihan si bongsu dan si adik lelaki. Masing-masing memilih saiz 32 dan 34. Kakaknya tidak ketinggalan memilih saiz 40.


'Alhamdulillah, rezeki menyebelahi untuk menunaikan permintaan adik-adik dan diri sendiri. Tapi sayang, untuk ahli keluarga yang lain tidak kesampaian hajat untuk memakai warna yang sama. Maafkan diri yang tidak mampu memberikan persamaan ini duhai ayahanda, bonda juga adik-beradik dewasa yang lain,' sedikit  rasa seba salah muncul di benak si kakak.

Selesai memilih sekitar 30 minit, akhirnya bayaran dibuat di kaunter. Sementara menunggu giliran bayaran, kedengaran suara wanita sekitar umur 30-an menyapa lagi. Wanita yang berkerja sebagai pembantu jualan pakaian Perniagaan Said itu sebenarnya telah bersabar melayani karenah si kakak untuk membuat pilihan pakaian yang bakal dibeli.


Berkatalah wanita tersebut, "Pilihan kamu memang sesuai dengan warna baju dengan anak-anak kamu".
Pendapatnya sekadar di balas dengan senyuman sambil membelek-belek cadangan yang diberi.


"Kamu tidak cari baju melayu untuk suami kamu pula?" dia memberikan cadangan.

Senyuman meleret di wajah si kakak memanjang. Dia yang hanya mengiayakan gelaran 'anak-anak kamu' tadi akhirnya berterus terang juga.

"Sebenarnya mereka berdua ini adik-adik bongsu saya"

"Oh...maaf ya, fikirkan anak kamu tadi" terserlah wajah serba salah diwajah wanita tersebut.

"Oh tidak apa, ok saja bah" si kakak menenangkan suasana.

Pilihan si kakak untuk tidak berterus terang pada mulanya akhirnya tidak menjadi. Tidak sampai hatinya untuk membiarkan mereka membuat tanggapan sendiri. Apapun terusik di hati kecil si kakak, usianya yang genap 30 sepatutnya sudah memiliki keluarga sendiri tapi segala dilalui tanpa perubahan status diri lagi. 

'Sungguh, urusan itu juga banyak bergantung pada ketentuan Allah', bisiknya.

Walaupun, sudah seringkali menjadi pelenggan Perniagaan Said, namun masih banyak yang belum mereka kenali tentang diri ini. Pastinya, sedikit demi sedikit latar belakang bakal diketahui akhirnya apabila sering bertukar cerita dan mesra bertegur sapa.

Terkenang pilihan baju tahun lalu adalah pilihan si kakak yang berwarna merah. Pilihan dibuat juga berdasarkan pilihan baju adik-adik bongsu yang menarik hanya pada warna merah ketika itu.

Sunday, July 15, 2012

ADA YANG JAHAT






ADA YANG JAHAT

"Ini sayaur apa, batang keladi bah kan? Gatal ka ni? Berapa harganya?" saya mengajukan pertanyaan terlebih dahulu sebelum membeli sayur batang keladi tersebut. Sepasang mata saya merenung seketika sayur batang keladi yang siap dihiris dan diikat dalam bungkusan plastik lutsinar.

"Ya, keladi. Tidak gatal ni. RM1.00. Rebus dulu lah sebelum masak" pertanyaan saya dijawab dengan baik.

"Kenapa perlu rebus?" saya sengaja memberikan persoalan kerana saya tidak pernah merebus sayur batang keladi sebelum ini. Sambil menanti jawapan, saya memandang tepat ke arah wajah pakcik penjual sayur tersebut.
"Rebus dulu...ada yang jahat" kata Pakcik penjual sayur di sekitar gerai Puncak Damai jalan Kampung Bayangan. Wajah pakcik tersebut kelihatan berumur lingkungan sekitar 60 tahun dan kelihatan selesa memakai topi berwana putih.

"Ada yang jahat? Ermmm...mungkin maksudnya, buang air rebusan yang tidak baik. Tambahan pula, setahu saya keladi sejenis tumbuhan yang gatal. Mungkin juga bertujuan untuk membuang rasa gatal pada sayur keladi tersebut" minda saya sedaya upaya memahami dan memujuk diri mengiakan sahaja jawapan pakcik tersebut.
Bukannya saya tidak pernah memasak sayur batang keladi, namun saya hanya ingin mendengar pesanannya terlebih dahulu. "Siapa tahu ada benda yang baharu" bisik hati kecil saya. Ternyata, saya mendapat maklumat baru. Jika sebelum ini saya memasak sayur batang keladi tanpa merebusnya terlebih dahulu, tapi kini saya mengubah cara seperti pesanan pakcik penjual sayur tersebut.

"Rebus dulu, kemudian baru masak seperti biasa, letak minyak, bawang dan lain-lain" Pakcik memberikan penjelasan lagi.

"Oooo...bah." saya menjawab ringkas. Namun, minda saya sudah mencipta resepi yang sama cuma perlu ditambahkan ikan masin dan serbuk santan kelapa. 

"Kamu tinggal di mana? Bayangan ka?" pakcik tersebut tiba-tiba bertanya ketika saya ingin berlalu pergi 


"Oh, tidak. Kampung saya di Penagatan Ulu. Sekarang tinggal di rumah guru SK Merampong" saya segera membuat pembetulan. Setelah mengucapkan terima kasih, saya memohon diri untuk meninggalkan gerainya.

Thursday, July 12, 2012

MENU KETIKA TIADA SELERA


MENU KETIKA TIADA SELERA


Demam yang tidak diundang akhirnya menguasai diri. Namun, entah kenapa saya masih memaksa diri ke sekolah. Mungkin saya beranggapan demam ini biasa sahaja. Saya cuba sebaik mungkin untuk mengajar subjek Bahasa Malaysia di kelas Tahun 2 Bestari selama 1 jam 30 minit. Namun kekuatan diri saya tidak bertahan. Saya sekadar memberi sedikit ulasan mengenai tajuk pelajaran dan tidak banyak menulis. Murid pula sedaya upaya memahami arahan tugasan yang saya berikan.

Selesai tugasan di kelas, lonceng sekolah dibunyikan tanda masa persekolahan sudah berakhir. Semua guru dan murid pantas meninggalkan sekolah. Selepas menandatangani buku kehadiran guru waktu pulang, saya mengahayunkan kaki untuk segera pulang ke rumah guru. Bantal memanggil diri saya untuk merehatkan kepala yang mula memberat. Dan saya terlelap sekitar 2 jam 30 minit.



Lena yang menyapa diri membuatkan saya tidak menyedari kudua-dua adik saya berangkat ke sekolah agama pada waktu petang. Sayup-sayup kedengaran bunyi perbualan dikaca televisyen ketika mata saya kembali segar. Rancangan kartun kegemaran adik bongsu saya masih terpasang dan menceriakan suasana yang sunyi.  

Jam pula sudah menunjukkan 3.00 petang. Waktu solat Zohor masih berbaki dan saya menggagahkan diri untuk mengambil air wuduk. Selang 30 minit selesai menunaikan solat Zuhur, solat Asar pula saya tunaikan agar boleh bersenang lenang menghabiskan waktu Asar hingga ke Maghrib.

Sunyi terasa walaupun televisyen tidak putus-putus dengan rancangan kartun yang sentiasa menyiarkan pelbagai rancangan. Saya menjenguk seketika ke dunia maya facebook, tiada yang menarik. Hujan gerimis diluar pula mula merenjiskan airnya. Ketika itu, perut saya memberi isyarat untuk diisi. Entah apa yang boleh dimakan ketika diri dalam keadaan yang tidak berselera.

Saya teringat ikan tilapia yang baru dibeli di tengah perkampungan Kampung Merampong melalui seorang rakan sekerja saya. Ikan tilapia tersebut masih segar dan hidup ketika di bawa balik ke rumah. "Ya, saya akan memasak sup ikan tilapia menggunakan periuk belva. Campurkan halia, daun kunyit, tomato, asam keping, bawang merah, bawang putih, serbuk kunyit, garam dan ajinamoto" hati saya berbisik sendiri.

Rancangan dan menu yang diimaginasikan dalam minda selesai terlaksana juga. Alhamdulillah tenaga kembali pulih bila perut kenyang terisi. Tiada lagi rasa lapar dan saya kembali seketika ke dunia maya. Kembali menaip di sana-sini atau menjenguk blog saya yang sekian lama terbiar dan ke ruang maya sahabat facebook yang lain. Semoga diri ini masih bertahan menghadapi demam yang hadir mrnguji diri. ^_^

Wednesday, July 11, 2012

DUNIA BICARA


DUNIA BICARA



Dunia bicara, ya...bicarakan yang baik-baik. Berikan sesuatu yang memotivasikan dan itu yang cuba saya lakukan sebaik mungkin. Alhamdulillah, buat permulaannya kelihatan seperti tindak tanduk kanak-kanak kecil yang baru belajar berjalan. Kini bagai anak kecil yang baru menggagahkan diri agar teguh berdiri dan berjalan dengan baik.

Buat pertama kali saya berbicara di hadapan anak-anak murid sekolah saya sendiri untuk menyampaikan ceramah motivasi yang bertajuk 'Strategi dan Persediaan Menghadapai UPSR' dan 'Larangan Merokok' sebagai ceramah tambahan. Daripada 54 murid (2010), 63 murid (2011) dan terkini 71 orang murid (2012). Semua dilakukan demi kemahuan untuk  merenjiskan kesegaran motivasi kepada anak-anak murid saya yang bakal menghadapi UPSR setiap tahun.


Saya mengambil peluang untuk melatih diri memotivasi murid UPSR pula ketika berkesempatan mengikuti Kem Motivasi Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah di Kem Malangang pada 4 Julai 2012 (Rabu). Ketika itu penceramah jemputan tidak dapat menghadirkan diri untuk ceamah Bahasa Merlayu. 

Setelah diberi arahan, saya cuba melakukan yang terbaik sahaja untuk tugasan mengisi ruang masa dua jam tersebut dengan aktiviti motivasi. Syukur bahan telah disediakan oleh pihak atasan ketika itu iaitu 'Kelebihan dan Kelemahan Saya' dan 'Saya 20 Tahun Akan Datang'. Saya cuma perlu mempersiapkan diri dan bersikap profesional seperti penceramah jemputan. Saya berusaha sedaya upaya memberikan kata-kata motivasi dari hati dan bicara yang ikhlas. Sesekali saya selitkan dengan kisah teladan kehidupan agar murid yang sermai 163 orang itu tidak jemu mendengar bicara saya.


Alhamdulillah, pada 11 Julai 2012 (Rabu) saya menerima jemputan pula untuk menyampaikan ceramah di SK Bunga Raya, Keningau Sabah untuk tajuk 'Pengurusan Masa'. Padahal ketika itu minda dan fizikal saya masih terlalu penat kerana baru balik dari Kem Motivasi di Kem Malangang. Perjalanan memandu kereta dari Tamparuli-Tuaran-Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau yang memakan masa sekitar 3-4 jam membuatkan saya terlalu letih.

Namun, saya gagahkan diri juga mengatasi kelemahan tersebut. Saya teruskan mencari bahan dan membuat power point ceramah yang terbaik. Itu saja yang mampu saya lakukan disaat kekangan kesihatan cuba mencabar diri. Tambahan pula saya telah berjanji lebih awal agar dapat menghadirkan diri sebagai penceramah pada tarikh yang dicadangkan.

"Selamat pagi semua...apa khabar, semua sihat ya?" demikian bicara awal saya kepada murid-murid SK Bunga Raya yang seramai 52 orang ketika itu. Suasana ruang makmal komputer dijadikan sebagai ruang dewan ceramah dan penghawa dingin berfungsi dengan baik. Lokasi ini kelihatan amat sesuai walaupun fungsi utamanya adalah untuk Makmal Komputer. Sekitar 1 jam 40 minit masa yang diberikan untuk saya menyampaikan ceramah. Alhamdulillah, ceramah saya kebetulan habis tepat pada masanya. 


Tiada apa yang saya harapkan selain, murid yang mendengar bicara saya dapat mengambil faedah dan mengubah diri ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Itu sahaja yang saya harapkan dan ribuan doa saya panjatkan kepada Allah agar niat saya termakbul dengan bantuan dan izin-Nya.

Selesai melalui dunia bicara yang telah terlaksana, saya membuat penilaian dan refleksi terhadap diri saya sendiri. "Adakah murid berasa seronok dengan saya?" ermmm...sukar diramal, mereka saja yang mampu menilai. Yang pastinya sepanjang saya berada dihadapan mereka, wajah mereka masih ceria.







Saturday, June 9, 2012

TIMPOHON ANGAN-ANGAN BIDARI


TIMPOHON ANGAN-ANGAN BIDARI

Bidari masih di Timpohon
Bersedia mendaki puncak Nabalu
Namun masih mencari pemimpin perjalanannya

Bekal kuasa mindanya
Juga naluri hati kecilnya
Dia mengimbas wajah dan hati pilihannya
Lalu terhenti jua pada satu wajah

Safwan...itu gelarannya...
Tapi sayang...impianya tersembunyi...
Pada rimbunan hutan rimba Nabalu.

Bidari...
Kapan kau mendaki Nabalu mu?
Bimbang usiamu tidak mengizinkan pendakian lagi
Puncak Nabalu sentiasa menanti jua...
Siapa pilihanmu selain si dia
dan bagaimana perjalanan takdir hidupmu...


Saturday, June 2, 2012

RINDU BERSERAKAN


RINDU BERSERAKAN

Sekali lagi rindu hadir..
Apa maknanya?

Rindu yang berserakan...
Melintasi sekeping hati..
Mengenangkan seseorang lagi..

Rindu ini berserakan..
Apa dia merasakannya?
Atau hanya diri bermain rasa...

Berusaha diri berlari..
Mengusir rasa merindui
Agar tenang jua dihati ini

Anugerah rindu berserakan...
Melemaskan hati tanpa jawapan
Kekeliruan mengurung kegelisahan..

Rindu berserakan..
Apakah ini petanda...
Dua hati saling terasa..
Naluri jodoh sebagai petanda...
Atau hanya angan kosong semata..
Saki baki cinta yang pernah dirasa...

Rindu berserakan...
Semoga pencipta rindu memberi jawapan...
Semoga dipermudahkan jua urusan kehidupan...

TETAMU MALAM


TETAMU  MALAM


Kelawar (Bahasa Melayu) / Bat (Bahasa Inggeris) / Pungit (Bahasa Dusun)


Kelawar ini keluar menjadi tetamu ketika malam. Ya lah, bilik penginapannya di syiling rumah guru sahaja. Setiap hari akan ada serbuk kehitaman jatuh dari beberapa sudut syiling rumah guru. Aduhh...sungguh kasihan rumah guru seperti ini, sewanya masih kekal dipotong RM250.00 sebulan. Tidak mengapalah...insan penghuninya masih bahagia... ^___^



24.04.2012_8.00malam_kuarters guru.

PISAU BARU


PISAU BARU

Setelah sekian lama bersabar dengan pisau yang lama, akhirnya saya membeli juga pisau yang baru. Setelah mendapatkan nasihat dari kakak sulung, saya memilih pisau jenama EAGLE 'Stainless Steel Since 1975'.

"Pisau ini bagus, tidak akan berkarat" kata kakak saya.

"Baiklah, saya beli satu yang besar dan satu yang kecil." Saya segera membayar di kaunter Kedai Rakyat.

Sejauh mana ketahanan pisau baru ini, akan diperhatikan selama mana hayatnya yang mula dibeli pada tarikh 2 Jun 2012. Segalanya bergantung kepada cara penggunaan juga. Sebelum ini pisau dapur saya telah digunakan sepenuhnya oleh adik bongsu lelaki. Ya, adik bongsu saya telah berjaya mengorek air kelapa tua dan muda yang kebetulah berbuah di belakang rumah guru.


"Sabar sajalah...mentang-mentanglah tiada parang, habis pisau digunakan sepenuhnya. Mujur saja tangan si adik ini tidak luka mengorek isi kelapa. Pisau besar habis berbunga ketajamannya, pisau sederhana patah dan pisau kecil juga menerima nasib yang sama." terlontar juga rintihan negatif di fikiran saya. Padahal kalau mahu semua pisau ini selamat, pisau yang sesuai atau parang harus disediakan.

"Tidak mengapa, pelajaran dan pengalaman baru buat adik lelaki saya yang berusia 11 tahun. Itu juga salah satu ciri berdikari dan cuba jaya dalam dirinya" bisik hati saya lagi untuk cuba meraih fikiran yang positif.

Thursday, May 17, 2012

SELAMAT TINGGAL MASA LALU KU



SELAMAT TINGGAL MASA LALU KU

Selamat tinggal masa lalu ku...
Tidak terdaya ku menoleh sekali lagi
Kalau-kalau ada lagi yang terlepas pandang

Selamat tinggal masa lalu ku...
Usia semakin terbatas di garis masa
Tak mampu menunggu meraih impian
Yang di angan-angankan ketika dahulu

Selamat tinggal masa lalu ku...
Sudut hati mula meraih ketetapan
Hidup perlukan satu keputusan
Pilihan dibuat demi meneruskan kehidupan

Selamat tinggal masa laluku
Semoga kehidupan baru dipermudahkan
Walau tak seindah  yang diimpikan
Lalui kehidupan seadanya denga redha



Monday, April 30, 2012

TERIMA KASIH PEMBERIAN MU



TERIMA KASIH PEMBERIAN MU

"Jalifah"....kedengaran suara memanggil ku di ruang bilik guru. Hanya sekali panggilannya dan aku kurang meyakininya lantas terus mengabaikannya.

"Ada surat cinta kau di atas meja" cikgu PG yang duduk di hadapan komputer berhampiran dengan meja ku memberi makluman. 

"Surat...ermmm" aku memahmi apa yang dimaksudkannya.

"Ada hadiah untuk kamu. Pengawal keselamatan hantar tadi. Dari Norlela" akhirnya, cikgu D yang memanggilku dari bilik guru sebentar tadi datang juga untuk memberi makluman.

"Oh...bah..." itu saja yang terluah. Lupa pula aku memberikan ucapan terima kasih kerana masih memikirkan apa yang pula yang dikirimkan.

Setelah cikgu D berlalu, aku segera menghampiri kotak hadiah. Setelah menggoncangkannya aku berteka teki apakah isi didalam kotak tersebut. "Ringan, seperti goncangan sehelai kain kecil. Rasanya ini adalah tudung." 

Setelah tamat persekolahan, aku membuka kotak hadiah pemberian teman sekolah menegah ku dulu. Terharu pula diberikan hadiah. Walhal dia sudah punya suami dan anak, namun masih juga punya ruang untuk mengingatiku malah memberikan hadiah buat ku. Hadiah ini pasti sempena hari lahir ku pada 18.04.2012 (Rabu) lepas. Aku pula lupa mengucapkan hari lahirnya pada 15.04.2012 (Ahad), iaitu selang tiga hari sebelum kelahiran ku. 


"Maafkan aku Ila, aku selalu melupakan mu. Padahal kamu dari dulu tidak pernah melaupakanku. Bukan apa, kesibukan selalu menyapaku. Tambahan pula aku segan menemui mu yang sudah punya suami dan anak-anak yang menjadi tanggungjawab mu. Apapun, aku selalu mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaanmu. Terima kasih atas ingatan dan pemberian hadiah mu ini. Semoga Allah merahmati insan yang selalu yang menghargai persahabatan seperti mu." (Mahu sahaja ku ucapkan panjang lebar seperti ini, namun yang terucap hanya pendek, "TQVM...miss U ^__^" ).

Ada sesuatu untuk sahabat ku ini, akan dihantar petang ini di rumah sambil menziarahinya. Kalau dia boleh buat kejutan buat ku, aku juga mahu membuat kejutan untuk dirinya pula. :-)



Sunday, April 22, 2012

JANGAN TERLALU PERCAYA



JANGAN TERLALU PERCAYA

Jangan terlalu percaya...
Jangan luahkan semua...
Jangan adukan semua...
Belajarlah untuk berahsia...

Itu pesan kekanda...
Setelah terluah sedih di dada...
Mengenang persahabatan kami bertiga...

Dunia ini medan ujian...
Mengadu sahaja pada Tuhan...
Jangan letakkan kepercayaan...
Walau erat persahabatan...

Kekanda berpesan lagi...
Pengalaman silam dipelajari...
Mengenal watak dan hati budi
Hasil akrab persahabatan tak bererti...

Ada tangan mengesat air mata..
Tidak difahami maksud air matanya...
Mungkin mengesali persahabatan bertiga..
Dua hati bersulam cinta dan rahsia...
Terpinggir juga sahabat ketiga...

Saturday, April 21, 2012

APABILA TERSINGKAP RAHSIA

APABILA TERSINGKAP RAHSIA


Teman berteman berbulan-bulan...
Pada ku tiada yang dirahsiakan...
Pada teman ada pula yang disimpan...

Bertukar cerita suka duka...
Tak lupa kisah cinta dan suka...
Semua indah berkongsi cerita...

Entah bagaimana...
tersigkap juga rahsianya...
Selama berteman dia biasa...
Dihari pertunangan dia membuka cerita...

Siapa gerangan bagai dapat ku teka...
SMS dikirim terang bersuluh...
Dari sang jejaka tunangannya..

Aduh...kenapa...mengapa...
Berita sampai diakhir masa...
Sedang ku kenal mereka berdua..
Kenapa hubungan masih jadi rahsia...

Keliru ku hadapi kenyataan...
Mungkinkah kerana cerita silam...
Berusaha ku cari pencerahan
Dimanakah silapnya persahabatan
hingga masih ada yang dirahsiakan



"Salam, ada saya mahu bagi tahu, tapi jangan marah ya. Tadi kami buat majlis tunang saya. Tapi family saja yang ada. Maaf saya tidak bagi tahu kamu..."

"Salam. Ada saya mahu kasi tahu kau ni. Saya sudah bertemu jodoh saya. Hari ini kami sudah bertunang. Saya harap kau sudah ada bertemu jodoh."


Mereka masing-masing dengan bicaranya. Apapun selamat bertunang pada 21.04.2012 (Sabtu), semoga berbahagia selalu. Sepasang mata ku sukar untuk dilelapkan. Baru pagi tadi aku sedih dengan kepergian seorang sahabat yang berpindah semula ke Kuala Lumpur. Sebelah malam pula aku dikejutkan dengan pertunangan dua sahabat yang ku kenali tetapi berahsia. 

LANGKAH TERAKHIR DI BUMI KENINGAU

LANGKAH TERAKHIR DI BUMI KENINGAU




Langkah akhirmu di bumi Kayu Manis terakam bersama masa sekitar jam 10.35 pagi. Entah bila lagi kakimu berpeluang berpijak pada tanah jauh di pedalaman ini? Ada sayu membuai hati. Ternyata pertemuan yang dekat hanya setahun cuma. Semoga masih ada pertemuan di lembarah hari yang akan datang. Selamat jalan teman, semoga berjaya apa yang diimpikan. Terima kasih hadiah mu sempena genap usia ku di bulan April, pasti bermakna buat diri ini. Semoga hidupmu sentisa dilimpahi rahmat Allah swt. ♥ Aina Amidin ♥ ^__^



"Happy Birthday Lifah" katanya sambil menghulurkan sebuah buku dalam bakul plastik hijau muda yang jernih. 'Cara Terindah Untuk Mati Tersenyum', tajuk buku yang unik dan menarik.


"Nah, ambil ini, rajin-rajin simpan duit ya" katanya lagi sambil menghulurkan sebuah tabung berbentuk rumah.

"Baik, mana duitnya" sengaja aku menggoncang-goncang tabung yang diberi dan dia tersenyum sahaja.



Dia kelihatan tabah untuk pergi meninggalkan daerah Keningau. Aku yang akan ditinggalkan pula amat terasa kepergiannya. Banyak cerita yang mahu dikongsi bersama. Apakan daya, masa terlalu singkat, perancangan pertemuan pula dibuat pada akhir masa. Aduh...peristiwa ini mengejut bust diri ku.


Enjin bas telah dihidupkan dan dia segera mengambil kedudukan di kerusi nombor 4. Aku masih tercegat dan duduk diam dalam kereta myvi ku. Walaupun aku tidak lagi melihatnya dalam bas, namun aku sengaja menanti bas bergerak dan pergi meninggalkan ku. 


Tiba-tiba leherku berasa berat. Ada sedih yang tidak tertahan dan air mata mengalir jua. "Selamat jalan teman yang baik hati, semoga berjaya dan berbahagia selalu" aku membisikkan doa buat dirinya.

Bunyi mesej telefon bimbit ku berbunyi:

"Syukran Lifah atas segala kebaikannya. Hati-hati memandu ya. Salam penuh rindu dari saya. Jaga diri, iman dan amal ya."

"Jangan sedih-sedih ya. Dunia memang tempat kerap adanya perpisahan sebab dunia itu destinasi 'pertemuan'. Di mana ada pertemuan, pasti akan ada perpisahan. Heee :D. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita."

"InsyaAllah, bumi Keningau akan tetap di ingatan. Ada rezeki dan peluang akan datang lagi. Mohon maaf salah silap juga ya... :)"

Itu antara mesej dan pesanan yang ku sukai dari teman ku ini. Dia selalu memberikan kata-kata yang baik dan positif, semoga dirinya sentiasa dirahmati Allah. ^__^




Sunday, April 8, 2012

DIA MENCARI PENAWAR


DIA MENCARI PENAWAR

"Sepasang matanya terbuntang melihat syiling. Suhu badannya naik tiba-tiba. Mimpinya untuk keluar dari situasi bermasalah bagai tidak pernah selesai. Dalam mimpinya, seorang wanita tua kerap mengajarnya untuk keluar daripada masalah namun kegagalan sering ditemuinya. Badannya lelah menghadapi mimpi sehingga bepuluh kali dia memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan. Demamnya kini memaksa dirinya untuk bangun. Langkahnya terhoyong hayang mencari peawar di sepertiga malam. Kasihan dia....semga beroleh kesembuhan..." (Catatan_3.15 pagi_9 April 2012_Isnin).

9 April 2012_Isnin_2.30 petang

Seorang temannya S, yang sudah lama tidak bersua tiba-tiba datang melawat dia. Dia masih terlantar di atas tempat tidur di ruang tamu. Walaupun siang hari dipaksanya menjadi seorang yang sihat dan berkerja seperti biasa, namun riak wajahnya menampakkan kebohongan. Dia sedang menanggung derita suhu panas yang menjadi-jadi pada ruang kepalanya. Wajah dan kulit kepalanya terasa kebas dek rasa panas yang tidak tertahan. Genap 8 biji panadol ditelannya sejak dua hari yang lepas.

"Mungkin kau keteguran...siapa tahu, benda halus ini memang wujud" temannya membuka cerita.

"Ada lebih baik kau cari penawar melalui ayat Al-Quran" temanya mencadangkan penawar.

Sempat si dia menawarkan agar temannya sendiri membacakan air penawar namun ditolak mentah-mentah oleh sahabatnya.

"Kau mesti kuat, jangan asyik mengeluh dengan rasa panas" bisiknya memberikan semangat.

"Nah amalkan ini pada segelas air, buat dengan yakin, semoga cepat sembuh" sahabatnya mengakhiri perbualan sambil menyerahkan sekeping kertas yang tertulis susunan bacaan ayat suci Al-Quran dan terus berlalu meminta diri.

(1) Al-Fatihah-7 kali,
(2) Ayat Qursi-1 kali,
(3) Surah 3 Qul-1 kali,
(4) Selawat-10 kali.

Alhamdulillah, kebetulan dia masih hafal semua surah yang dimaksudkan oleh sahabatnya. Dia segera berwuduk, duduk bersila menghadap kiblat dengan segelas air putih yang dicampurkan dengan sedikit air zam-zam dan dua biji panadol. Suaranya beralun sekadar kedengaran dengan jelas dihadapan gelas berisi air. Agak aneh ketika dia menggenapkan bacaan surah Al-Fatihan yang ke-7 kali, seluruh bulu roma ditengkuknya sedikit menggerbang. Dia meneruskan sahaja bacaan sehingga habis.

Seusai bacaan dia menyapu sedikit air ke bahagian kepala dan tengkuk sebanyak 3 kali dan terus minum sehingga air digelasnnya habis. Tegukan terakhir hampir menjadi muntahan akibat rasa kurang suka pada rasa panadol yang agak pahit. Alhamdulillah, dia memujuk dirinya untuk berdiri dan tidak menghabiskan masa dengan tidur yang memenatkan.

Semoga Allah membantunya...amin.


Wednesday, March 7, 2012

ESOK HARI JADI SAYA


ESOK HARI JADI SAYA

"Kakak Ipa, besok hari jadi saya, 7 haribulan." kata adik bongsu perempuanku.

Itu hari ketiga dia mengingatkan hari lahirnya. Mungkin saja kesibukan tahun lalu telah menyebabkan aku terlupa membuat sambutan hari lahirnya. Berbanding dengan tahun 2010, sambutan hari lahirnya kelihatan meriah dengan kek dan makanan ringan yang lain.

"Oh, ya kah? Nanti kasi ingat lagi bila mau dekat ya. Tapi betulkah hari jadi kamu 7 Mac?" sedikit keraguan bermain-main di minda dengan hafalan tarikh lahir adikku.

Aku segera membuka susunan fail dokumen ku untuk melihat tarikh lahirnya dalam salinan surat lahirnya. "26 Mac 2003 hari lahir kamu. 7 haribulan tu tarikh lahir si Cici, 7 November 2001," sambil menyebut tarikh aku menunjukkan salinan surat kelahiran kepadanya.

Adik bongsuku terdiam. Tiada lagi yang mampu dikatakannya selain menuju ke arah kalender kecil miliknya dan membuat pembetulan pada tanda tarikh lahirnya sebenar.

Jauh disudut hatiku berbisik lagi "Kasihan dia, bersungguh-sungguh untuk mengingati tarikh lahirnya supaya dapat diraihkan. InsyaAllah, aku akan membeli kek hari lahirnya pada 26 Mac nanti sempena genap usianya 9 tahun."

Monday, February 27, 2012

KEJUTAN PADA JIWA HAMBA

KEJUTAN PADA JIWA HAMBA

Sedikt kejutan dan terasa kepala sedikit memberat apabila melihat perubahan pada jiwa seorang hamba. Kenapa begitu sekali nekad pada tingkahlakunya? Semoga Allah permudahkan urusan hamba-hambanya. Semoga kita semua dipanjangkan usia dalam mentaati-NYA.

Bila emosi sakit tenat, akan terlontar pengulangan kata-kata yang sama. Tanpa disedari, berpuluh lembaran hari akan diisi dengan kata-kata yang sama itu. Andai perkara itu yang sering berlaku, itu petanda bahawa emosi mereka sebenarnya sedang sakit dan memerlukan rawatan psikologi.

Orang yang mengalami emosi sakit ini biasanya tidak akan menyedari kenapa dan mengapa kata-kata yang dikeluarkan sentiasa berulang. Ini disebabkan si pesakit emosi diumpamakan seperti manusia yang telah terjatuh ke dalam lubang perigi buta yang dalam, gelap dan sepi. Tiada siapa yang mampu menolongnya andai mereka tidak memahami situasi si pesakit emosi.

Emosi yang sakit tenat biasanya tidak mudah dikenalpasti kerana tindak tanduk si pesakit masih kelihatan waras . Namun sekiranya dibiarkan berlarutan, akal waras si pesakit akan berkrisis dengan perasaannya sendiri. Si pesakit semakin tidak mampu memberi jawapan yang tepat untuk diri sendiri.

Sekiranya krisis emosi ini berlarutan tanpa penyelesaian, emosi si pesakit ini akan mencapai tahap ketidakmampuan untuk mengatasi krisis emosi yang dialami dan boleh menyebabkan pesakit tidak mahu menerima kejadian yang dihadapinya. Andai buruk yang diimaginasi, maka buruk jugalah keadaannya dan sebaliknya andai yang baik diimaginasi, maka baik pulalah kejadiannya.

Penyakit emosi ini juga dipengaruhi dari segi iman seseorang. Sekiranya, iman si pesakit masih kukuh, besar kemungkinan, tindakan negatif seperti membunuh diri tidak akan dilakukannya. Sebaliknya jika imannya rapuh, maka rapuh jugalah tindakannya untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya sendiri. Iman yang rapuh sering berjaya menjerumuskan diri si pesakit emosi untuk tunduk pada imaginasi negatif dan memusnahkan diri.

Oleh itu, berpeganglah selalu pada cinta Allah SWT. Walau sesakit mana ujian-Nya, DIA selalu mendengar rintihan dan doa hamba-hamba-Nya. Sememangnya Allah tidak kelihatan di mata, tidak berbicara, namun percayalah DIA selalu ada memerhatikan kita. Buktinya kejadian alam dan manusia di dunia yang tidak dapat diatur oleh manusia itu sendiri.

Semoga kita semua kembali kepadanya-Nya dalam keadaan yang baik (mati dalam khusnul khotimah). Elakkan mati dalam keadaan yang menyeksa diri sendiri. ^_^

Wednesday, February 22, 2012

ADA RINDU


ADA RINDU

Ada rindu hadir disisi
Melewati sekeping hati
Bila tak sengaja terpandang
Atau tiba-tiba terkenang

Aduhai rindu...
Jangan setakat terhenti disitu
Pergilah kau meninggalkan ku
Kembali kepada pencipta mu

Jangan pernah kembali
Singgah menyapa diri
Kerana tak teguh hati ini
Menerima rindu yang sepi

Ada rindu singgah bertemu
Rindu yang tak menyatu
Sirnalah aura kuasa rindu
Jauhi lembaran hari ku


Sunday, February 19, 2012

LOKASI SI BORA


LOKASI SI BORA

BORA, nama panggilan kucing kesayangan adikku Anis. Hobi si Bora adalah tidur dan tidur lagi. Sesekali sahaja kelihatan ia suka bermain. Selebihnya memilih untuk tidur, makan dan membuang najis di kotak berpasir yang telah disediakan oleh 'mama Anis'. Gelaran 'mama' telah diberikan oleh ibuku kerana Anis sangat megasihi kucing peliharaannya. Segala keperluan kucingnya seperti makanan, tempat membuang najis dan memandikan kucing selalu disediakan dengan baik.

Dimana-mana Anis bermalam, akan diusahakan kucingnya turut serta mengikutinya. Itu semua dilakukan demi menjaga kebajikan kucing-kucing kesayangannya. Termasuklah di rumah guruku. Setelah meminta kebenaran membawa kucingnya, Bora dimasukkan ke dalam kotak agar ia tidak berkeliaran di dalam kereta ku sepanjang perjalanan pulang.

Seperti biasa Bora akan membiasakan dirinya dengan lokasi baru. Hidung Bora bergerak-gerak menghidu suasana tempat baru. Kemudian Bora akan memilih lokasi tempat tidurnya. Biasanya Bora akan tidur di atas tilam dan di atas beg rakan ku. Tapi entah bagaimana, sedang aku asyik melayari internet, Bora naik di atas meja dan meninjau-ninjau kawasan. Situasi Bora dibiarkan sahaja sehinggalah Bora memilih untuk berdiri di atas rak yang ku letakkan modem streamyx.

Bora memulakan hobinya tidur dengan asyik bersebelahan dengan modem streamyx yang berhaba. Ya, lagaknya seperti manusia yang tidur berbekalkan haba untuk memanaskan badan. Sedikit demi sedikit modem streamyx terensot dan akhirnya jatuh ke bawah apabila Bora mencari kedudukan selesa.

"Bukkk.." akhirnya modem streamyx tersebut jatuh juga. Apa perlu dibuat...errmmm, biarkan sahaja si Bora dengan keselesaannya. Kecomelannya membuatkan aku memilih untuk membiarkan sahaja si Bora bermaharajalela dengan lokasi barunya.

Sesekali aku teruji dengan sikap selambanya apabila turun daripada pembaringan. Dengan lagak sopan perlahan akan dipijak papan kekunci komputer riba ku. Maka berderetlah huruf yang ditaip secara automatik di atas skrin komputer. Itu masih boleh dimaafkan. Jangan sahaja mengeluarkan bau-bauan kentut ketika melintas dihadapan ku kerana kentut juga adalah salah satu sifat unik si Bora.

^__^

Saturday, February 11, 2012

'SECOND HAND'



'SECOND HAND'

Sebelum bertindak, aku berfikir dua tiga kali. "Patut atau tidak aku melakukan keputusan ini." bisiku berhati-hati.

"Aku sudah membeli perabot TV yang murah. Untuk apa aku mengambil perabot 'second hand' tersebut? Namun perabot itu kelihatan cantik di mata ku. Aku amat menyukainya. Daripada harga RM1,100.00 kini dijual dengan RM700.00."

Aku teruja seketika melihat gambar perabot TV yang ditunjukkan oleh seorang sahabat ku. Perabot tersebut hampir sama dengan perabot di rumah kakak sulungku. Warna coklat dan kelihatan antik dengan corak disekitar perabot tersebut.

"Baiklah, kasi RM500.00 saya angkat." kataku bergurau kepada sahabat ku.

"RM500.00 untuk bulan ini dan bulan seterusnya RM150.00" jawabnya sekaligus memberi diskaun sebanyak RM50.00.

"Baiklah, beri saya masa untuk berfikir dahulu." Aku mahu berfikir semasaknya.

Apakah aku benar-benar memerlukannya atau bersyukur sahaja dengan apa yang ada dirumahku. Jika aku menolaknya, bermakna akan ada rakan lain yang bersedia membeli perabot tersebut.

Sekitar jam 8.00 malam sahabat ku menghantar mesej kepada ku untuk mendapatkan persetujuan. Dan diakhir perundingan, harganya masih sama iaitu RM650.00 dengan dua kali bayaran iaitu bulan pertama sebanyak Rm350.00 dan bulan kedua sebanyak Rm300.00.

Seawal jam 7.30 pagi esoknya rakan ku sudah terpacak bersama kereta toyota hilux putih milik rakannya. Ia datang bersendirian kerana kudrat lelakinya masih mampu mengangkat set perabot TV yang agak berat tersebut. Aduh, aku harus mengunakan keseluruhan tenaga ku sekuatnya. Aku cuba berlagak seperti seorang lelaki yang kuat untuk mengangkat perabot-perabut tersebut di ruang beranda rumah guruku.

Alhamdulillah, segalanya berjaya dikemaskan dalam tempoh 1 jam 30 minit. Sebahagian perabot telah ku ubahsuai kerana ruang yang terhad. Aku tersenyum puas dengan usaha ku sendiri. Letih memang letih namun hasilnya telah berjaya mengusir keletiahan dengan segaris senyuman.


Aku melihat perabot tersebut dengan pesanan 'jangan lupa tepati janji untuk membayar'. Perabot tersebut kelihatan sempurna 80%. 20% kesempurnaan hilang disebabkan terdapat dua kawasan yang bercat sudah tertanggal sebesar ibu jari dan ruang laci salah satu almari kadangkala terjatuh disebabkan skru yang dipasang agak tenggelam dan kadangkala gagal berfungsi menahan ruang laci.

Aku mengingatkan diriku sendiri bahawa urusan pembelian perabot ini belum selesai. Aku kini berjaya menambahkan sedikit lagi bebanan hutang ku. Semoga urusan ini dipermudahkan juga. ^_^

TANGAN BERSAMBUT JUA


TANGAN BERSAMBUT JUA

Tangan di sana mengurus sebaiknya,
Kiriman dihantar merentasi lautan,
Tangan di sini menyambut kirimannya,
SMS terima kasih tak lupa di titipkan.

Mulanya berusaha sedaya upaya,
Mencari namun gagal di talian maya,
Rezeki tertonton di kaca TV wajahnya,
Peluang berurusan di telefon hendaknya.

Sungguh indah rezeki Tuhan,
Pertemuan berlaku pelbagai cara,
Sungguh baik hati mu Tuan,
Diskaun harga diberi tanpa berkira.

Walau terkurang dua bukunya,
Segan berharap untuk dikirimkan,
Jutaan terima kasih kiriman bukunya,
Semoga murah rezeki doa ku kirimkan.

Nota: Terima kasih pada pihak PTS Publicatios & Distributors Sdn Bhd, terutama kepada Encik Mohd Roslan Md Isa yang bertugas sebagai Eksekutif PR. Jasamu dikenang dan semoga sentiasa dirahmati Allah berkat usaha membantu dengan maklumbalas yang terbaik. ^_^

Thursday, February 9, 2012

ADUH! KASIHAN *_*


ADUH! KASIHAN *_*

Kasihan....si dia sering saja membisu dengan persoalan. Lelah penantiannya diiringi nada suara tinggi dan sedikit hukuman membuatkan ada air mata yang berguguran. Harus bagaimana....??? Kasihan... sekali lagi untuk situasi aduhhhhh. Jangan sikapmu 'menyinga' wahai teman...

Yang mana satu dulu dan di dulukan? Situasi apabila banyak rentetan permintaan disana sini. Si empunya badan kini bagai sedang memegang tali belon yang banyak...namun akhirnya banyak tali belon yang terlepas disebabkan tidak lagi mampu di kawal. Aduhhh ini kasihan kategori yang nombor 2. Mungkin boleh saja lepaskan semua belon-belon itu. Ya...abaikan saja semuanya jika kudratmu tidak mampu. Itu bermkana dunia bakal menghukum diri mu tidak mampu bertanggungjawab lagi......huhuhuhu. Maka dengan itu bersedia saja hadapi maki hamun mereka yang meminta-minta akan tanggungjawab dirimu. *_*

Kasihan sekali lagi si empunya diri. Dia mahu cepat menulis tetapi tulisannya saja sering tersungkur pada bonggol kesilapan ejaan. Mana pergi keprihatinan mu pada setiap gerak jari jemari mu. Rancak saja menari di papan kekunci tapi sayang selalu tergelincir masuk ke gaung kesalahan. Kasihan...sekali lagi kasihan amat akan diri mu.

Mahu marah? Untuk apa? Pada siapa? Kasihan....kemarahan mu bukan penyelesaian wahai diri. Malah itu semua menuntut SIKAP PROFESIONAL dalam diri mu. Ayuh...bila lagi harus berani BERSUARA? Jangan hanya sibuk melepaskan rasa tidak puas hati sebaliknya, latih dirimu bersikap TEAS DIRI (ASERTIF).

Saturday, February 4, 2012

STATUS KU BERPANTUN


STATUS KU BERPANTUN


Ada air mata yang melimpah...
Ada hati jadi lemah terpatah....
Ada hari yang tidak meriah...
Namun kita tempuhi dengan tabah...
:'( ..... { Benar...nasib kita belum tentu...}...


Tadi ku lalu di simpang kediaman mu...
Tak sempat singgah niat bertemu...
Semoga sihat dan ceria saja dirimu...
InsyaAllah...di lain hari kita bertemu...
♥ ^__^ ♥


Ada rindu untukmu teman...
Lama tak jumpa bertukar cerita...
Isnin ke KK berjumpa teman...
Semoga bertemu dan bertukar cerita...
♥ ^__^ ♥


Ku jenguk-jenguk SPPBS..
Ku tukar juga itu passwords..
Ku cari jua ruang Dunia sains
Ndak ku jumpa..mood ku jadi malas...
{ (*_*).....heee...jadi macam mana tu arrrr...? Tunjuk dulu kunun langkah2 mengisi bah... }



Tadi nampak ko sedang makan...
Rasa lapar belum menggoda...
Lepas ko masuk disebalik papan...
Lapar meragam...ku makan juga...
♥ ^__^ ♥



Wakakkaa....lucu terasa..
Syukur saja apa yang ada...
Seronok bersama teman sederhana...
Makan tak pilih, asal lapar tiada...
^___^



Yeazaaa...yeazaaa...
Tau sudah bah dia..
Membuat kita senyum tertawa..
Tambah kawan berpantun sama...



Walau mataku menatap televisyen..
Namun dimindaku kau yang difikirkan...
Petang nanti saya balik Penagatan..
Mau bercerita hal yang masih difikirkan...

{ (*_*) Hurmmmm....hidup ada2 saja...kerana hidup memang macam ni kan.. }

Kalau rumah…ku ada rumah…
Kerana kau…ku datang juga…


Nota: Sesekali ku mahu berpantun. Terikut status seorang rakan serumah yang suka berpantun sejak terhibur dengan lawak mega OsBon (Mr Os & Abon). Hehehhe....terhibur jua bila mendapat maklumbalas dari teman-teman. ^___^


Monday, January 30, 2012

APA MAHU KU?


APA MAHU KU?

Apa mahu ku?
Ya...setiap dipenghujung tahun..
Aku mahu sesuatu perubahan
Seiring bermulanya kalender tahunan

Mahu ku...
Jaga ekonomi...
Punya tabungan setiap hari
Biar dimulakan dengan RM1 sehari.. ($_$)

Mahu ku...
Penampilan diri diambil berat
Jangan terbeban lagi si penimbang berat
Merekodkan berat yang semakin memberat (*__*)

Mahu ku...
Disiplinkan diri...
Bantu adik-adik juga diri sendiri
Jangan alpa tanggungjawab diri
Pada Allah dan keluarga yang disayangi (^__^)

Mahu ku....
Ada perubahan status diri
Dengan memperbaiki komunikasi
Baik tingkahlaku dan baik pula emosi
Persiapan diri jika bergelar 'permaisuri' (*_^)

Mahu ku...
Ermmm...apa lagi mahu ku?
Cukup setakat disitu...
Terlebih bicara kelak rasa malu
Walhal pencapaiannya belum tentu
Kerana semuanya bergantung sikap mahu dan terus mahu....

Nota: Catatan azam diri di tahun baru 2012. Entah tercapai, entah tidak! Perancangan selalu ada namun kejayaan selalu tersasar menuju puncak jaya. Ermmmm.... :-)

DIA YANG MEMBISU


DIA YANG MEMBISU

Dia yang membisu..
Tiada interaksi yang hadir
Membuat diri ku terus berfikir
Kenapa? Mengapa? Lelah ku fikir..

Dia yang membisu..
Walhal sebelumnya ceria
Kelihatan semangat berbicara
Bertukar maklumat di alam maya
Ikhlas membantuku seadanya

Dia yang membisu..
Buat aku mahu bertanya
Apa penyebab kebisuannya
Mungkin tak sudi lagi untuk menyapa
Atau enggan membantuku selanjutnya

Dia yang membisu..
Buat diri ku jadi gelisah
Terbiar diri dengan hati resah
Hilang semangat namun ku redah
Berbekalkan usaha mencapai mimpi indah

Dia yang membisu..
Terima kasih ku terlafaz dari hati
Segan ku bertanya khabarmu lagi
Kebisuan mu mengunci pintu hati
Lebih baik ku diamkan saja diri ini
Sambil memujuk sedikit rajuk dihati..

Nota: Buat teman yang membisu. Jangan memilih untuk diam tanpa bicara. Katakan saja andai tak suka. Katakan saja andai sibuk. Katakan saja andai tak mampu lagi menjawab pertanyaan dari ku. Huhuhu...sesekali terkilan punya teman yang membisu tanpa diketahui apa penyebabnya. :(

Saturday, January 28, 2012

SEPATUTNYA FIKIR BERKALI-KALI


SEPATUTNYA FIKIR BERKALI-KALI

"Sepatutnya aku perlu memikirkannya berkali-kali. Bukan hanya sekali. Bukan kerana terpengaruh dan meyakini hasrat seorang teman, aku pula lupa memikirkannya untuk beberapa kali." Hati dan mindaku masih terbeban dengan pilihan diriku sendiri.

"Fikir sekali sebelum kita memberi. Fikir berkali-kali sebelum kita menerima." Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi 1 Malaysia di kata TV 1 dengan tajuk perbincangan 'Buat Baik Berpada-Pada' sekitar jam 10 pagi tadi.

"Kenapa aku perlu memikirkannya berkali-kali sedangkan ternyata pilihan itu disokong penuh oleh teman ku (Cikgu S)?" Aku masih menyoal diriku sendiri.

"Hasil lebihan loan penuh tersebut setelah ditolak dengan harga rumah boleh digunakan untuk melangsaikan semua bayaran hutang seperti kereta, PTPTN dan loan bank yang lain." Demikian kata ejen perumahan yang tidak jemu memberi penjelasan kepadaku. Kata-katanya juga sama seperti apa yang pernah diunagkapkan oleh sahabat ku Cikgu S beberapa bulan yang lalu.

"Kamu tidak rasa rugi kah ambil rumah tu? Rumah tu stodio, hanya satu bilik dan saiz kelihatan kecil. Lagipun pinjaman loan kerajaan kita ni hanya dapat digunakan sekali sahaja. Ada lebih baik kamu mencari lot tanah dan buat loan kerajaan untuk bina rumah di atas tanah sendiri disekitar Keningau ini." Kata seorang rakan sejawatku di tempat kerja apabila mengetahui hasrat ku untuk membeli rumah. Pendapatnya begitu jauh berbeza dengan rakan ku, Cikgu S.

Aku semakin dilema memikirkan pendapat-pendapat mereka. Ada logiknya kata-kata rakan sejawat ku itu. Tambahan pula, rumah yang akan ku beli jauh di daerah Kota Kinabalu. Pada mulanya aku memilih rumah di blok G agar dapat bersama dengan rakan ku Cikgu S yang bertugas disekitar Tenom. Tapi entah bagaimana, ejen rumah tersebut sesuka hati memindahkan aku di blok B. Kegembiraan ku hilang malah berganti dengan rasa tidak puas hati dan sedikit suntikan rasa marah.

"First come, first serve" katanya selamba.

"Amboi sedap mulut bercakap. Kenapa tiada perbincangan terlebih dahulu?" Aku amat tidak berpuas hati, namun kata-kata ku tersekat di kerongkong. Tiada kata yang terluah. Segalanya terasa tidak bermakna lagi. Pesanan ku melalui sms tidak diendahkan oleh ejen perumahan apabila aku ingin membatalkan pembelian rumah tersebut. Malah ejen perumahan tersebut kelihatan pantas memasukkan bayaran wang dipositku sebanyak RM500.00 dan bukti resit pembayaran telah siap sedia diberikan kepada ku.

"Aduh, si mata sepet, percakapan lembut diselang selikan batuk-batuk seolah-olah tidak sihat. Kesopanan bicara mu membuatkan aku masih sahaja mahu bersabar terhadap mu. Kalau saja ada nada suara tinggi, boleh sahaja aku berkeras untuk terus membatalkan semuanya." bisik hati ku diiringi rasa tidak puas hari.

"Jika aku memilih untuk membatalkan pembelian rumah ini bermakna aku harus bersedia untuk kehilangan wang dipositku sebanyak RM500.00. Atau, aku teruskan sahaja pembelian ini, siapa tahu ia berbaloi dengan membuat sewaan terhadap rumah tersebut?" Aduh....aku semakin binggung memikirkan semua ini. Semangat ku boleh sahaja hilang kerana fikiran ku asyik tertumpu kepada urusan yang satu ini.

"Tahniah, anda sudah memiliki rumah." Kata si ejen perumahan. Sambil menghulurkan tangan untuk bersalam, dia tersenyum lebar.

"Apa salam-salam ni....haram....faham kah?" Hati ku menjerit namun tidak terluah bicara dibibir. Dalam keadaan perasaan yang berbolak balik, tanpa sedar aku menyambut juga salam tahniah daripadanya dengan balasan senyuman yang terpaksa.

"Aduh, dosakah aku kerana bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim? Mana pergi ilmu, iman dan keyakinan mu efah?" Aku mengherdirk diriku sendiri. Kesal berbaur marah dengan diriku sendiri.

"Asertif...asertif...asertif. Tegas diri...tegas diri...tegas diri... efah." Aku memarahi diriku sendiri.

"Semuanya sudah berlalu. Nasi sudah menjadi bubur. Solat istikharoh yang dibuat beberapa hari lepas bagi mendapatkan keputusan pula banyak dipengaruhi fikiran-fikiran negatif. Dimana kesudahan semua keputusan ini? Sepatutnya aku perlu berfikir berkali-kali sebelum menerima sesuatu daripada orang lain." Aku menasihati diri ku sendiri.

"Semoga keputusan yang terlanjur dibuat akan dapat berjalan dengan baik. Semoga semua urusan hidup ini dipermudahkan. Amin..." Hanya doa sahaja yang mampu ku iringi keputusan yang terasa berat untuk ku tarik balik.


Friday, January 20, 2012

MENGGAPAI IMPIAN



Majlis Konvokesyen 16 Jun 2009, Sutra Harbour, Kota Kinabalu, Sabah.


MENGGAPAI IMPIAN

“Cita-cita kamu apa?” Seorang guru sekolah rendah pernah bertanyakan soalan mengenai cita-cita kepadaku. Ketika itu aku berumur 10 tahun.

“Guru” aku menjawab kerana mendapati guru adalah salah satu kerjaya yang jelas kelihatan di mata ku ketika itu. Walhal aku sebenarnya tidak pernah pasti apakah cita-cita dan impian ku.

Bagiku, rutin kehidupan adalah sekolah, kebun dan rakan-rakan. Pagi berada disekolah, petang akan pergi ke kebun. Jika tidak ke kebun, aku memilih untuk bermain dengan rakan-rakan dibawah pokok atau berpakat ke sungai untuk bermandi-manda sambil mencari cili padi ditepi semak belukar untuk di jual kepada Makcik Iba yang mempunyai lot pasar sayur di pekan Keningau.


Wang hasil jualan cili padi akan digunakan sebagai perbelanjaan diri sendiri di sekolah atau disimpan ke dalam tabung yang diperbuat daripada pokok buluh. Mengharapkan ibu dan bapa ku, mereka tidak akan memberikan wang perbelanjaan ke sekolah disebabkan bebanan tangguangan anak seramai 11 orang. Biasanya, sarapan pagiku ke sekolah adalah makanan berat iaitu nasi dan sayur. Jika tidak mempunyai sayur, cukup kicap yang berwarna kehitaman membuka selera. Namun aku tidak pernah jemu tentang makanan, asal sahaja perut terisi, badan bertenaga dan hati akan senang.

Enam tahun aku disekolah rendah dan selesai melalui Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jelas aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran ketika mengikuti peperiksaan tersebut. Malahan seingat aku, ibu bapa ku asyik sibuk dengan kerjaya di kebun. Pagi menorah getah, petang membersihkan kebun pisang dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri. Aku sendiri tidak pernah mengambil berat tentang pelajaran ku kerana beranggapan belajar disekolah sekadar untuk rutin harian kanak-kanak sepertiku. Aku tidak pernah terfikir untuk bersungguh dalam pelajaran apatah lagi untuk menggapai impian dan cita-cita dimasa akan datang.

“Jalifah, keputusan UPSR kamu gagal satu mata pelajaran. Satu sahaja lagi untuk kamu dapat lulus semua” kata cikgu Ahini. Aku hanya membalasnya dengan segaris senyuman. Semua matapelajaran lulus kecuali Bahasa Inggeris.
“Aku telah gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).” Bisik hati ku. Aku merasa sedikit sebak namun aku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku hanya terdiam membisu sambil melihat kagum terhadap tiga orang sahabat ku Jahidin, Junaidin dan Zainuddin yang lulus UPSR ketika itu. Sekitar 23 orang murid sekolah yang mengikuti peperiksaan, hanya 3 orang sahaja yang lulus.


“Kalau kau gagal UPSR, tidak perlu sambung belajar lagi. Sekolah di pokok getah saja. Pokok getah tu buku dan pisau getah tu pensilnya” terngiang-ngiang kata ayah ku beberapa hari sebelum keputusan UPSR diumumkan. Hatiku bertambah sayu dan gelisah.


“Aku tidak boleh lagi ke sekolah. Aku tidak akan pernah merasa pakaian sekolah menengah. Aku akan bersekolah di kebun getah seperti kata ayah ku.” Minda ku mula beralih pada persekitaran kebun getah sejauh 2 kilometer dari rumah ku dan terletak diatas bukit.

“Aku tidak pasti bagaimana masa depan ku. Kerjaya ku boleh jadi petani seumur hidup, mewarisi kerjaya turun temurun sejak dari nenek moyang” Aku mula berusaha memahami warisan hidup keluargaku.

Rakan sebaya ku mula sibuk bercerita mengenai alam sekolah menengah. Aku pula asyik meluah rasa sedih kerana tidak lagi dapat bersekolah seperti mereka. Reaksi mereka sekadar megiyakan akan nasib diri ku. Sesekali aku merasa amat kasihan dengan diri ku sendiri. Namun anak kecil seperti ku tidak mampu mengubah pendirian ibubapa. Jika putih katanya, putihlah dan jika hitam katanya, maka hitamlah juga.

“Nanti kita pergi beli baju sekolah kau esok.” Suatu pagi ayahku menyapaku di ruang dapur.

“Ya.” Ringkas jawapan ku namun hatiku berbunga-bunga.

“Yeahhhhhhhhh….aku akan ke sekolah seperti rakan-rakan ku. Akhirnya ayah ku masih mahu aku bersekolah, akan ku buktikan aku boleh lulus juga peperiksaan akan datang.” Dalam diam, hatiku bersorak girang disamping menanamkan azam diri.

Alhamdulillah, selesai orentasi tingkatan satu, aku ditempatkan di kelas tingkatan 1 Cemerlag di sekolah SMK Keningau pada tahun 1995. Setelah lulus sederhana dalam peperiksaan PMR, aku melanjutkan persekolahan ku di SMK Gunsanad dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6 atas. Keputusan peperiksaan ku semuanya sederhana, nyawa-nyawa ikan namun masih lulus.

Berbekalkan keputusan SPM dan STPM yang sederhana aku mencuba nasib untuk menggapai impian dan cita-citaku sebagai seorang pendidik. Dua kali aku memohon untuk memasuki Maktab Perguruan Keningau namun dua kali juga aku gagal. Akhirnya aku memilih untuk berkerja dengan orang yang berniaga disekitar pekan Keningau. Kerjaya ku bertukar ganti, aku pernah berkerja sebagai seorang penjual sayur di pasar harian, menjual goreng pisang di tepi kedai Sugar Bun, menjual kain terpakai di kedai lelong dan pernah menjadi penjaga kain dikedai baju-baju berharga mahal.

Sedikit sebanyak aku mula bangga kerana dapat menyimpan sedikit duit hasil pekerjaan ku dan tidak pernah menyusahkan ibubapa ku. Aku mula bahagia dengan gaji sekitar RM200.00 hingga RM300.00 sebulan. Ibubapa ku juga tidak pernah mengeluh terhadap diriku, malah selalu mendorong ku untuk terus berkerja. Namun berbeza dengan abang sulungku.

“Kami semua masuk universiti, kau saja yang lain.” Kata abang ku sambil memandang sinis.

Pada mulanya aku sering mengabaikan kata-kata abang sulung ku. Terkadang endah tak endah dipendegaran ku. Namun anehnya abang sulung ku tidak pernah berputus asa membebel mengenai kejayaan mereka memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pengulangan kata-kata sinis abang sulung ku akhirnya bersarang teguh diminda ku. Aku semakin tertekan dengan pengulangan kata-kata yang sama setiap hari. Malah pernah air mata ku menitis kerna terguris mendengar bicaranya.

“Apa lagi masalahnya, aku sudah mempunyai pekerjaan. Aku sudah boleh memegang duit hasil titik peluh ku. Tapi kenapa abang ku masih tidak berpuas hati? Kenapa pula ibubapaku sekadar diam membisu tanpa membela ku? Mereka membiarkan abang sulung ku bagaikan ketua keluarga didalam rumah. Sesuka hati memarahi ku? Menekan ku dengan perbandingan pendidikan yang diperolehi. Apa ada dengan pelajaran yang tinggi?” Aku yang berusia hampir mencecah 20 tahun ketika itu mula menganalisis dimana kebenaran dan cuba mencari kalau-kalau berlaku kesilapan. Namun aku gagal mencari jawapan. Malahan usia ku sekitar itu hanya dipenuhi sikap memberontak kerana merasa diri sudah cukup dewasa.

“Baik. Saya akan sambung belajar.” Akhirnya aku menjawab juga bicara sinis abang sulung ku. Aku memilih untuk menurut perintah abang sulungku. Biar tiada lagi tekanan yang akan ku alami. Aku bangkit berusaha mengambil cabaran daripada kata-kata sinisnya sebelum ini. Alhamdulillah aku berjaya mengikuti jejak abang dan kakak ku menamatkan pengajian ku di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Aku berjaya mendapat keputusan kepujian dalam bidang Psikologi Kaunseling dengan pointer yang sederhana.

Namun sekali lagi aku gelisah dengan diri ku. Selesai sahaja menamatkan pengajian, aku terkapai-kapai mencari kerjaya ku. Kadang-kadang aku tidak tahu apakah sebenarnya cita-cita ku. Pengajian ku berjaya ditamatkan namun aku juga berjaya mengumpulkan sejumlah hutang PTPTN untuk membiayai pengajianku sepanjang tiga tahun di universiti. Sekali lagi aku tertekan dengan bebanan hutang yang perlu dibayar. Bagaimana mungkin aku mampu membayarnya sedangkan aku seorang penganggur? Abang sulung ku bertuah kerana pengajiannya ditaja oleh Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Pengajian kakak ku pula ditaja oleh PETRONAS kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

RM19,500.00 hutang PTPTN yang tertera sepanjang aku mengikuti pengajian selama tiga tahun di universiti, itu pun belum termasuk bunga pinjaman. Jumlah pinjaman boleh saja mencecah RM20,000.00 ke atas termasuk kos pentadbiran. Aku semakin tertekan apabila menerima surat mahkamah sebagai peringatan untuk menjelaskan hutang pinjaman. Harus bagaimana menyelesaikan masalah ini sedangkan aku dan rakan sepengajian ku belum mendapat kerja tetap?

“Belajar tinggi-tinggi pun, tidak dapat kerja juga kan” masih terngiang-ngiang kata-kata seorang makcik di kampung ku ketika aku memberitahu aku sudah tamat pengajian. Perkataan yang selamba tetapi cukup membuatkan aku tidak mahu duduk diam di kampung. Aku membawa diri mencari kerja di bandaraya Kota Kinabalu.

“Kerja apa sahaja, asal halal.” bisik hati ku.

Sekadar berkerja disekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak dapat menampung bayaran pinjaman. Dengarn gaji kerani sekitar RM600.00, habis ku gunakan untuk membayar sewa bilik, tambang bas dan makanan seharian ku. Kerja sekadar cukup makan dan bebanan hutang sedikit sebanyak terus mengganggu keharmonian emosi ku. Sungguh, tiada ketenangan bagi orang yang berhutang dan belum menjelaskannya. Aku sering berusaha membayar hutang pinjaman tersebut namun sentiasa gagal. Disiplin ku untuk menyimpan wang juga sering gagal. Malah aku tidak berjaya menitipkan sedikit duit gaji ku kepada ibubapa ku di kampung.

Sambil berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, sekali lagi aku mencuba nasib di bidang perguruan. Kali ini aku memohon untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Setelah tiga kali mengikuti peperiksaan M-Test, akhirnya aku berjaya juga mengikuti temuduga perguruan seterusnya ditawarkan mengikuti KPLI - Diploma Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling Ambilan Januari 2008 di Institut Perguruan Tawau, Sabah . Hanya setahun pengajian dan aku akhirnya berjaya menggapai impian dan cita-cita ku bergelar guru di sekoah rendah. Kini aku sedang berusaha membayar hutang PTPTN di universiti dahulu.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan kepada Allah swt. Terasa kejayaan ku ketika ini bukan hasil usaha diri ku sendiri. Kejayaan ku berkat kata-kata sinis abang sulung ku suatu ketika dahulu. Seandainya, aku memilih untuk tidak mendengar nasihatnya, aku mungkin kekal berkerja sebagai penjual sayur, penjual pisang goreng atau penjaga kedai kain di kedai kain berharga mahal. Dalam diam, aku ingin mengungkapkan jutaan terima kasih kepada seisi keluarga ku yang tanpa sedar telah membetulkan pilihan hidupku untuk meneruskan pendidikan hingga ke peringkat universiti. Tanpa diduga, cita-citaku zaman persekolahan dahulu juga tercapai.” Aku bermuhasabah terhadap diri ku sendiri dan sering mengungkapkan kesyukuran ke hadirat Ilahi dengan tercapainya impian dan cita-cita yang sekadar disebut-sebut suatu ketika dahulu.