♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Friday, March 19, 2010

TQ Cg Zali


TQ Cg Zali


Buat Cikgu Zali:

Salam Cg....baru berpeluang buka blog ni. Makasih dimasukkan dalam list best blog. Berbangga juga diberi penghargaan di alam maya. Huhuhu. Saya baru belajar tentang blog ni cg...banyak lagi yang perlu dipelajari...diperbaiki...hee. Semoga cg success selalu. :)

Monday, March 15, 2010

5 PERKARA ROSAKKAN AKIDAH MUSLIMAH


5 PERKARA ROSAKKAN AKIDAH MUSLIMAH

Menurut Dr Aidh Al-Qarni dalam sebuah coretannya khusus buat Muslimah bertajuk As’Ad Al-Mar’ah Fil Alam (Tip menjadi wanita paling bahagia di dunia) berkata,

“Jangan biarkan hati mu dihancurkan oleh tangan mu sendiri”.

Bagaimana kita boleh menghancurkan diri sendiri?

Segala-galanya menerusi HATI.

Jangan resah gelisah – Usah selalu mengeluh dengankeadaan kerana ramai lagi yang lebih malang berbanding kita.

Jangan sedih dan berasa derita – Hapuskan perasaan ini dengan beristighfar, berdoa, dan mohonlah pertolongan daripada-Nya.

Jangan lemah dan malas – Aktifkan diri dengan ibadat, berzikir, mencari ilmu, bekerja dan beribadat.

Jangan banyak berhutang – Nafsu jika dituruti kita tidak akan puas. Akibatnya hidup tidak akan tenteram jika terlalu mengejar harta, pangkat dan duniawi.

Jangan kedekut dan pengecut – Rezeki yang Allah beri bukan milik peribadi kerana padanya ada hak orang miskin dan anak yatim. Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap ibu bapa kerana keredhaan Allah juga bergantung pada keredhan mereka.

Baginda s.a.w mengajarkan doa untuk selamatkan diri daripada lima perkara diatas :


“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada resah gelisah, dari sedih dan derita, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat kedekut dan pengecut dan dari lilitan hutang dan tekanan orang”.


Hadis & Falsafah_Majalah NUR_m/s 33_Februari 2010

Friday, March 12, 2010

PENDAPATAN EKSTRA KU


Pendapatan Ekstra Ku



Seperti biasa jika ada latihan tempatan Askar Wataniah, aku akan segera mempersiapkan pakain loreng ku. Mencari stokin, berry, pangkat, gates, beg loreng, baju dan seluar loreng serta 'bell' untuk kelengkapan pakaian seragam loreng ku. Awal pagi aku akan membersihkan diri, mempersiapkan diri dan sarapan pagi sebelum bertolak menaiki bas sekitar jam 7.45 pagi.

Masa bagi latihan pada tahun ini berubah sedikit dari latihan tahun lalu (2009). Tahun lalu latihan tempatan akan diadakan setengah hari pada hari Sabtu (petang) dan satu hari pada hari Ahad. Pada tahun ini latihan akan diadakan sehari suntuk pada hari Sabtu dan setengah hari pada hari Ahad (petang).

Tahun lalu hujung minggu ku akan dihabiskan bersama rakan-rakan di kem Charlie Keningau dengan mengikuti latihan selama 4 minggu (Sabtu dan Ahad) dalam sebulan. Elaun juga lebih banyak diterima sekitar RM400.00 sebulan termasuk elaun perjalanan. Bermula pada tahun ini latihan dikurangkan iaitu hanya dua minggu latihan. Dengan berkurangnya jam latihan, maka berkuranglah juga elaun yang akan diterima iaitu sekitar RM200.00 sebulan termasuk elaun perjalanan.


Bagi yang memiliki kerjaya tetap sepertiku, elaun ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan lain yang diperlukan. Tapi bagi anggota lain yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, pastinya elaun yang berkurang ini turut menjatuhkan moral mereka untuk menghadiri latihan tempatan. Apapun, rasa bersyukur itu menyebabkan mereka tetap mengikuti latihan tempatan yang diadakan. Maklumlah mereka (lelaki dan perempuan) terdiri daripada lepasan SPM atau belia yang masih lagi tercari-cari arah pencarian rezeki.

Kekuatan (kehadiran) anggota Askar Wataniah yang hadir ke latihan tempatan pada hari ini mencecah 70 orang anggota. Kehadiran bulan lalu agak tinggi iaitu sekitar 80 orang. Berbanding tahun 2009, kekuatan anggota hanya mencapai sekitar 35 orang. Pengambilan rekrut baru pada tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan telah meningkatkan lagi jumlah kekuatan anggota yang hadir pada tahun ini. Tahun ini (2010) khabarnya akan dibuat pengambilan secara tertutup sahaja dan tidak akan dihebahkan iklan seperti tahun lalu.



Sebentar tadi sudah kelihatan dua orang remaja/belia perempuan dan seorang remaja/belia lelaki mendaftarkan diri untuk menyertai anggota sukarela Askar Wataniah. Kesibukan mereka berurusan dengan kerani diselang selikan pula dengan bunyi anggota sukarela yang lain sedang sibuk membuat latihan kawad kaki. "kiri..kanan..kiri..". Cuaca panas sejak akhir-akhir ini pasti menguji kesabaran mereka berdiri dibawah terik panas matahari. Segalanya dilakukan semata-mata untuk mendapatkan elaun.

Aku uplak...ermm...tengah menaip sesuatu untuk dikongsikan bersama pembaca. Heee...kebetulan pangkat ku sebagai Leftenan Muda membolehkan aku sekadar memantau anak-anak buah melaksanakan latihan kawad kaki atau sesi pembelajaran yang yang dilakukan di pondok. Kadang-kadang sibuk menguruskan surat-menyurat. Apapun perbezaan pangkat pegawai (LTM) dan LLP (lain-lain pangkat) tidak sekali-kali menimbulkan rasa tinggi diri dalam diri ku. Ye lah...dah saiz ku rendah dan kecik.....ahahhaha.

Malah aku sebenarnya bersyukur kerana berpeluang menyertai anggota Askar Wataniah. Pada pendapatku, aku sebenarnya tak layak menganggotai sukarela kerana saiz fizikal ku agak rendah, namun kesungguhan ku semasa d IPTA (Universiti Malaysia Sabah) dulu telah menarik minat staf Askar PALAPES UMS untuk terus membantu ku menyertai PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan). Dan hasilnya aku berjaya mendapat tauliah Leftenan Muda daripada Yang Dipertuan Agong pada 14 Mei 2005 d UiTM, Shah Alam, Selagor. Hingga kini aku masih terus mengaktifkan diri sebagai tanda rasa syukur diberi peluang menyertai PALAPES dahulu.

Kini sudah genap 5 tahun aku mengikuti latihan tempatan bagi Rejimen 507 Askar Wataniah. Dan aku sudah menguruskan penyambungan latihan selama 5 tahun lagi sehingga tahun 2015. Kadangkala latihan ku ini dipertikaikan sekiranya aku berkeluarga (berkahwin) kelak.

"Kalau bujang, senanglah pergi latihan. Tapi kalau sudah kahwin mesti susah sikit tu kan." kata salah seorang teman. Aku senyum sambil berfikir-fikir.

Namun segalanya bergantung pada perbincangan mahligai keluarga yang dibina nanti. Sekiranya latihan ini tidak menggangu perjalanan hidup berkeluarga, mungkin aku masih mengaktifkan diri. Dan sekiranya aku telah terikat dengan tanggungjawab, pastinya aku akan memilih untuk melaksanakan tanggungjawab yang lebih penting.

Apapun perjalanan ku sepanjang mengikuti latihan tempatan ini sedikit sebanyak mendedahkan ku pada persekitaran lapisan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum. Mereka terdiri daripada ibu bapa atau remaja/belia yang masih bujang dan ingin mencari pendapatan lebih. Aku amat seronok dapat berbual-bual dengan mereka. Kenangan terindah bersama mereka ialah keteka mereka meraihkan hari ulang tahun kelahiran ku yang ke -27 pada tahun 2009. Mereka semua amat menghormati ku dan aku sendiri sentiasa berusaha meghormati mereka juga. :D

Monday, March 8, 2010

ALAM MAHSYAR


SUBJEK: ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau para manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu bapa akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, isteri lupakan suami, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy.

Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.

2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy ( عرش ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi ( كرسي ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.


27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani (2004). Kitab Aqidatun Najin. Singapura: Pustaka Nasional.

Remain in God bless and forgiven. Thanks. (TQ buat Cikgu Siti Khadadiah kerana tak jemu-jemu menghantar email yang sangat bermanfaat buat saya).

Tuesday, March 2, 2010

MEMORI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


MEMORI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Memori 2007

Kali terakhir aku megikuti perarakan beramai-ramai pada tahun 2007 di bandaraya Kota Kinabalu. Saja-saja menyibuk di tengah orang ramai yang berarak dari Padang Merdeka ke Masjid Sembulan. Itupun setelah seorang sahabatku memujuk. Seronok juga dapat berarak walau ramai orang tak dikenali. “Rindu ba mau ikut perarakan” kata sahabatku Mazani yang juga merupakan rakan sama-sama menyewa bilik di bangunan Segama Kota Kinabalu pada ketika itu. Gelaran siswazah menganggur menyebabkan kami cuba berdikari untuk mencari apa juga kerja di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Memori 2008

Semasa di Maktab Perguruan Tawau atau kini lebih kenali sebagai Intitut Perguruan Tawau, tahun 2008, kami sempat melaksanakan perarakan Maulidur Rasul beramai-ramai bersama pensyarah. Hanya tiga sepanduk yang dibawa. Satu sepanduk mewakili guru pelatih KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah), satu sepanduk untuk guru pelatih PISMP lepasan tingkatan 5 dan satu lagi sepanduk dari pensyarah / staf IP Tawau. Suasana sambutan agak meriah dengan guru pelatih bergotong royong membuat sepanduk sehinggalah ke upacara perarakan dari rumah pensyarah hingga ke Dewan Refflesia.






Zaman sekolah menengah (1995-2001)

Seingat ku, hanya perarakan zaman sekolah menegah sahaja yang ku sertai ketika perarakan Maulidur Rasul didakan di sekitar pekan Keningau. Selebihnya aku langsung tidak ingat. Perarakan mewakili kampung, aku tidak pasti pernah ku sertai atau tidak. Banyak memori zaman persekolahan ku hilang begitu sahaja. Hanya beberapa peristiwa yang betul-betul bermakna dalam diri ku sahaja tersimpan dalam ingatan ku sehingga kini.

25.02. 2010 (Khamis)

Sehelai surat diserahkan kepada ku pada 25.02.2010 (khamis). “Jemputan untuk menyertai perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah Keningau tahun 2010M/1431H” demikian tajuk yang tertera pada surat yang dikirimkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Ditepi surat tertera tandatangan Guru Besar. Tertulis juga nama ku ‘Cik Jalifah Muhamin’ meggunakan dakwat pen biru. “7.00 pagi, Padang Majlis Daerah Keningau. Perasmi: YB Datuk Hj. Sairin Hj. Karno” aku membaca ketetapan yang tertera dalam surat tersebut.

Khabarnya aku dan lima orang guru SK Merampong dikehendaki mengikuti perarakan tersebut. Terselit rasa risau memikirkan siapakah rakan ku untuk bergerak ke padang nanti. 7.00 pagi memerkukan aku perlu bersedia lebih awal untuk menaiki bas ditepi simpang jalan besar. Maklumlah belum memiliki kereta. Tengah aku membuat perancangan untuk perjalanan esok hari aku bertanya siapa lagi rakanku yang dikehendaki mengikuti perarakan tesebut. ‘Cg Rosmin, Cg Kamil, Ustazah Wan Norhafiza, Ustaz Johudi dan Ustaz Yusuf’, demikian nama yang disebutkan oleh penolong kanan Kokurikum semasa dibilik guru. Hatiku lega mendengar nama mereka.


Maulidur Rasul : 26.02.2010 (Jumaat) / 1431H

Seawal jam 4.00 pagi aku mula bersiap untuk ke perarakan. Sementara menanti solat Subuh, aku mengosok sepasang baju kurung berwarna pink dan sehelai tudung berwarna pink. ‘Emmm…serba pink hari ni’, hatiku bermonolong sendiri.

Sekitar 6.40 pagi aku bergerak daripada sekolah ke pekan Keningau. Sekitar jam 7.00 pagi aku tiba di kawasan padang MDK. Kelihatan sepanduk sudah terpacak mengikut barisan masing-masing. Jam 7.30 pagi pemarkahan akan diambil bagi semua sepanduk. Sementara menunggu pemarkahan, aku, Ustaz Yusuf dan adik kepada Ustaz Yusuf singgah bersarapan di sebuah restoran berhadapan dengan padang. Segelas milo dan sekeping roti telur menjadi pilihan menu ku pada pagi itu. Sementara menunggu pesanan aku sempat membaca beberapa muka surat buku novel ‘Cinta Sang Ratu’ yang ku pinjan dari seorang kawan.

Selesai bersarapan, kami menuju ke arah barisan sepanduk yang dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat. Terdapat beberapa pasukan yang mengenakan pakaian seragam yang sama dan kelihatan bersatu padu. Oleh kerana kami masih belum mengetahui pasukan dari PPD, kami sengaja beratur di bahagian pasukan Sekolah Agama Rakyat (SAR) KG Merampong. Beberapa minit kemudian Ustaz Yusuf memberitahu pasukan PPD berada di hujung barisan. Sebelum bergerak ke pasukan PPD aku sempat berbual-bual dengan warga SAR Merampong dan Kak Maria yang kebetulan berada dibelakang barisan pasukan Bayangan. “Comelnya anak bongsu kakak”, aku sempat memuji anak perempuan Kak Maria berusia setahun lebih yang memakai tudung mini.

Perarakan telah dimulakan dan aku baru bercadang mengatur langkah ke pasukan PPD. Belum sempat aku melangkah, aku agak terkejut melihat seorang lelaki berusia sekitar 20-an terbaring di atas padang seolah-olah mengalami kekejangan otot. Seorang wanita cuba memapahnya dan mendapatkan bantuan melalui talian telefon bimbit. Sejurus selepas itu kelihatan dua orang anggota RELA datang untuk memberikan bantuan. Perarakan tetap diteruskan dan ramai wajah yang hanya memandang ke arah lelaki yang terbaring itu termasuklah diriku sendiri. Hanya doa ku panjatkan agar lelaki tersebut segera sembuh dari sakit yang dialami.

Aku menerukan perjalanan dipasukan PPD bersama sekitar 15 orang ahli yang hadir. Dan inilah kali pertama aku mengikuti perarakan yang berada di kedudukan terakhir untuk bergerak. Terasa langkahku sentiasa dipercepatkan. Kedudukan perarakan terakhir membuatkan aku terkejar-kejar mengagak jarak pergerakan. Dibelakang ku terdapat sebuah kereta polis, motor trafik dan seorang anggota RELA. Selepas kereta tersebut terdapat barisan kenderaan yang menunggu giliran untuk melintas. Terasa diri ku kurang selesa berada di kedudukan belakang. Bimbang kenderaan dibelakang ku tidak sabar dengan langkahku. Oleh itu aku bergerak dengan kelajuan yang agak cepat. Tiada ucapan selawat dibibirku. Malah orang yang berada dipepanku hanya berbal-bual kosong. Fikiranku pula didesak dengan kemahuan untuk sentiasa cepat bergerak dan cepat sampai ke Dewan Arkib dikawasan Tamu Ground Keningau.

Sekitar 8.40 pagi kami melalui round about berhampiran dengan Balai Polis untuk mengambil jalan ke Dewan Arkib, Tamu Ground. Namum belum sempat melintas, aku mengubah haluan perjalananku. Oleh kerana menumpang kereta kawan, aku mengatur langkah untuk mengikuti rakanku menaiki kereta persendirian balik ke rumah. Tepat jam 9.00 pagi aku selamat tiba di rumah guru ku. “Wah…ini kali pertama aku mengikuti perarakan yang paling cepat”, bisik hati ku.

Setiba dirumah, aku berasa amat letih dan tertidur buat beberapa jam. Sekitar jam 11 pagi aku kembali segar dan duduk bersantai menonton televisyen. Aku menyambung beberapa lembar bacaan buku novel hasil tulisan Ramlee Awang Mushid. Kebetulan dimuka surat 98-99 menceritakan tentang kehidupan terakhir Nabi Muhammad SAW di dunia. Kisah ini sedikit sebanyak mengheret minda ku untuk meraikan kelahiran Nabi sekaligus merasa sayu mebaca kisah hidup baginda ketika diambang sakaratulmaut.






Kisah Nabi Muhammad dalam buku novel ‘Cinta Sang Ratu’

Kisah ini diulas dalam cerita ketika watak Sunan @ Saifuddin bin Jalis berusaha mengajar dan membetulkan kepercayaan Sang Ratu @ Ratna. Ketika ini Sunan bercerita mengenai riwayat hidup pesuruh Allah yang membawa ajaran Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

“Rasulullah s.a.w wafat pada waktu dhuha, hari Isnin 12 Rabiulawal 11 Hijrah ketika berusia 63 tahun 4 hari. Sebelumkembali ke pangkuan ILAHI, Rasulullah megalami sakit namun semua itu dihadapi dengan kesabaran yang cukup tinggi. Baginda mula sakit pada 29 Safar 11 H pada hari Isnin, selepas pulang menyaksikan pengkebumian para syuhada di perkuburan Baqi.’ Baginda diserang sakit kepala dan suhu badan meningkat secara mendadak hingga terpaksa mengikat kain di kepalanya. Baginda sempat mengimamkan para sahabat ketika sakit selama 11 hari. Jumlah keseluruhan hari sakit ialah 13 hari. Baginda sakit hingga tidak sedarkan diri dan terlupa giliran isteri-isterinya.

Pada hari keberangkatan roh baginda, ALLAH mewahyukan kepada malaikat Jibrail dan malaikat maut supaya turun ke bumi menemui Rasulullah! 'Malaikat maut berada di pintu rumahmu. Dia meminta izin kepadamu untuk masuk. Sedangkan, dia tidak pernah meminta izin sebelum ini selain kepada mu.' Lalu baginda mengizinkannya.

Malaikat maut pun masuk sambil berkata, 'Selamat sejahtera ke atas mu wahai Rasulullah! Aku diutuskan untuk memberi pilihan kepada mu sama ada untuk kekal di dunia atau di tempatkan di sisi ALLAH.' Jawab baginda, 'sudah tentu aku ingin bersama orang yang mendapat kedudukan paling tinggi.' Baginda mengulanginya dua kali.

Di saat baginda semakin hampir menghembuskan nafasnya, Aisyah telah mensiwakkan gigi baginda. Setelah selesai, baginda mencelup tangan ke dalam bekas air lalu menyapu mukanya sambil berkata, 'Lailahaillallah! Sesungguhnya KEMATIAN itu memang MENYAKITKAN.' Kemudian Nabi s.a.w membaca, 'Ya ALLAH..permudahkanlah atau ringankan kesakitan sakaratulmaut.'

Lalu malaikat maut mula mencabut nyawa baginda sambil berkata, ‘Wahai roh yang baik! Roh Muhammad bin Abdullah. Keluarlah menemui keredhaan ALLAH. Keredhaan TUHAN yang sentiasa bersifat Redha dan tanpa perasaan marah’.

Ketika berada di pangkuan Aisyah, sakit baginda semakin tenat kesan racun yang diletakkan pada daging selepas pulang dari peperangan Khaibar. Namun, baginda masih sempat berpesan, ‘Jagalah SOLAT! Jagalah SOLAT! Jagalah orang yang berada di bawah tanggungan mu’. Baginda mengulanginya berkali-kali.

Sejurus selepas itu, dia mengangkat tangan dan menumpukan pandangan ke arah atap sambil mulutnya terkumat-kamit membaca, ‘Semoga aku ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Ya ALLAH…ampunilah aku dan rahmati aku. Dan tempatkan aku di al-Rafiq al-A’la iaitu kedudukan yang paling tinggi di Syurga Firdaus’. Baginda mengulang-ulang 'al-Rafiq al-A’la! al-Rafiq al-A’la! al-Rafiq al-A’la!' Akhirnya, tangannya terkulai di pangkuan Aisyah, isteri tercinta.”

“Akhirnya ROH yang mulia itu pun meninggalkan jasad Rasulullah s.a.w.”


Semoga catatan ini bermanfaat buat diriku dan pembaca yang datang berkunjung. :-)

Thursday, February 25, 2010

KRONOLOGI PENYELESAIAN MASALAH KU DI DALAM KELAS


KRONOLOGI PENYELESAIAN MASALAH KU DI DALAM KELAS


Sambil duduk menjamu mee goreng, aku mengimbas semula peristiwa beberapa minggu yang lalu. Sambil itu jari jemariku pantas menekan huruf-huruf pada laptop di meja ku. Ada sesuatu yang ingin ku coretkan untuk tatapan dan peringatan buat diri ku sendiri.


(Minggu 1) : 04.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

Kelas 4B merupakan kelas terpilih bagi murid-murid yang yang mempunyai peratus kelulusan peperiksaan yang rendah pada tahun 2009. Murid-murid di kelas 4B terdiri daripada murid yang agak nakal dan terdapat juga yang belum dapat menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan kelas 4A, majoriti muridnya mudah dikawal dan mudah memberikan sepenuh perhatian semasa di kelas. Tambahan pula murid 4A keseluruhannya sudah menguasai 3M.

Kesukaran mengawal kelas 4B membuatkan suara ku begitu lantang dihadapan kelas. Berkali-kali juga aku berjalan dai meja ke meja murid agar memastikan mereka memberi perhatian terhadap pelajaran Pendidikan Sivik & Kewarganegaaraan yang sedang aku sampaikan. Sambil bersuara mataku lebih tertumpu pada murid-murid. Murid yang memandang dan memberi perhatian pada ku membuatkan aku rasa diberi perhatian. Sebaliknya masih terdapat bebberapa murid yang lalai dengan dunianya sendiri. Sura ku yang begitu lantang umpama teariakan dipdanag kawad langsung tidak diendahkan beberapa murid dikelas.

“Ini boleh mendatangkan marah” desis hati ku.

“Tap…tap…tap..” bunyi hempasan rotan di atas meja sengaja ku lakukan bagi menarik perhatian murid di kelas. Hanya seketika wajah mereka menatap ku tanda memberi perhatian. Selepas itu mereka kembali pada dunianya. Bermain ‘duit-duit’ dengan melakarkan nilai duit serta mengoyakkan kertas buku latihan. Sebahagian yang lain membuka buku teks Sivik di muka surat yang lain sambil berbisik-bisik bercerita mengenai gambar. Ada saja ulah dan ceritanya. Di sini kesabaran ku agak teruji. Terasa perit di kerongkong ku.

“Kenapa mereka masih tidak memberikan perhatian pada p & p (pembelajaran & pengajaran) ku?” aku bermolog sendiri. Timbul sedikit rasa kecewa akibat gagal mengawal kelas.

Aku tetap meneruskan kelas. Masih tetap bersuara lantang dan meronda setiap meja murid ku. Seperti biasa selepas berbincang dengan murid mengenai kandungan teks, aku akan memberikan latihan pengukuhan. Kadangkala emosiku tercabar melihat beberapa orang muridku sengaja bersembunyi dibawah meja untuk mengelak daripada teguranku.

“Tappp..” bunyi rotan mengenai punggung mereka diikuti ketawa daripada beberapa orang murid yang lain. Aku hampir tersenyum tetapi sengaja ku sembunyikan kelucuan hatiku melihat gelagat murid ku.

Sekali lagi aku berasa gagal apabila hanya terdapat satu atau dua orang murid sahaja yang menghantar tugasan latihan. Aku mengeluh sendiri. Perasaan hampa melingkari perasaanku. Motivasiku yang subur terasa layu dan tidak bermaya.



(Minggu 2) : 11.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

Pada minggu ini aku tidak dapat memasuki kelas disebabkan melaksanakan tanggungjawab mengiringi 9 murid peserta nasyid dibawah bimbingan ku untuk menyertai pertandingan nasyid sempena MTQ bagi sekolah rendah Zon Apin-Apin. P&P ditangguh dan akan dibawa ke minggu berikutnya.


(Minggu 3) : 23.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi


Rasa kecewa membuatkan aku menulis sedikit luahan rasa di ruangan Facebook. Beberapa rakanku memberikan cadangan dan pendapat. Antara yang ku ingati ialah.. “jangan menjerit nanti terasa perit”. Terdapat juga yang mencadangkan agar mencari pendekatan yang lain.

Aku akui pendekatan murid sekolah rendah dan menengah memang amat berbeza. Ini dikuatkan lagi dengan fakta yang pernah ku dengari di televisyen yang berbunyi:

“Didik kanak-kanak berumur 7-14 tahun dari segi pendekatan personaliti. Dan didik kanak-kanak/remaja berumur 14 tahun ke atas dengan pendekatan seperti kawan.”

Aku dapat merasakan aku perlu tekankan pada penghantaran tugasan latihan bagi setiap murid. Oleh itu pada P&P kali ini aku memberi peringatan dan amaran tegas agar semua murid dapat menghantar tugasan.

“Semua mesti hantar latihan ya. Siapa tak hantar, cikgu denda tiga rotan ya. Ingat…cikgu denda tiga rotan. Cikgu tulis nama siapa yang sudah hantar ni.” Demikian aku memberi peringatan yang tegas buat mereka.


(Minggu 4) : 25.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

“Selamat pagi cikgu” suara murid bergema di kelas 4B sambil berdiri. Terdapat seorang murid perempuan leka duduk dan bermuka selamba.

“Kenapa ada lagi yang duduk tu?” Aku mengajukan pertanyaan sambil memandang kearah murid yang perempuan tersebut.

Sekali lagi merek memberi ucapan selamat. “Selamat pagi, duduk semua.” Balasku.
Hari ini…aku mengotakan janjiku untuk melaksanakan denda tiga rotan ke atas murid yang tidak menghantar tuasan latihan.


“Okay sebelum tu, cikgu mau denda murid yang tidak hantar latihan minggu lalu. Nama yang cikgu sebutkan duduk. Yang tidak disebut, berdiri satu barisan depan cikgu untuk denda tiga rotan.” Aku memberi arahan. Murid-murid yang terlibat segera berbaris didepan ku.

Sememangnya aku agak malas menguruskan soal denda di dalam kelas kerana ia membazirkan masa dan membuatkan P&P tidak dapat dijalankan dengan baik. Tetapi kali ini aku mesti melaksanakan denda agar murid ku sentiasa beringat dan tidak lalai dengan pesanan ku.

“Cikgu, dia belum kena rotan, dia tidak siap tu” seorang murid mengadu kepada ku terhadap 5 orang murid lelaki yang sengaja duduk dan tidak mahu tangannya dirotan. Aku tak menyangka mereka masih berdegil dan selamba duduk di kerusi masing-masing. Namun kelihatan wajah mereka agak bimbang. Aku segera menghampiri mereka dan denda yang sama diberikan kepada mereka.

Selesai melaksanakan denda, aku segera meneruskan P&P bagi tajuk Unit 2 : Sayangi Diri. Sekali lagi aku menyemak murid dari meja ke meja agar mereka bersedia dengan buku tekas masing-masing. Ternyata mereka sudah membuka muka surat 11 di buku masing-masing. Hatiku agak senang dengan perubahan mereka.

Suasana kelas pada kali ini juga agak diam. Semua murid seolah-olah terkejut dan trauma dengan denda tiga rotan yang ku berikan ke atas mereka sebentar tadi. Dalam diam aku cuba merotan tapak tangan ku. ‘Aduh…sakit jua ni kena rotan ni’ desis hati ku. Tanpa membuang masa, aku segera mengambil kesempatan pada kesenyapan mereka untuk meneruskan P&P. Terukir senyum girang dibibir ku kerana kelas pada kali ini terasa sunyi dan semua murid memberikan perhatian terhadap ku. Hanya terdapat seorang dua murid yang berbual-bual namun sempat ku tegur agar mereka segera memberikan perhatian. Kali ini suaraku sederhana kuat dan tidak selantang minggu lalu. Ini disebabkan kelas agak diam dan memberikan perhatian kepada ku. Sekali sekala aku memberikan senyuman agar tiada tekanan di wajah murid ku.

Alahmdulillah… kalau inilah penyelesaiannya dan syukur ku panjatkan ke hadirat-Nya jika sikap murid ku ini terus berkekalan memberikan perhatian sepenuhnya pada P&P ku pada masa akan datang. Kali ini aku mengajar dalam keadaan gembira dan tiada tekanan. Ku sulami pula dengan ketegasan agar murid menghantar latihan bagi mengelakkan mereka menerima dendaan yang menyakitkan. Semoga perubahan ini berkekalan dan hasil pembelajaran ku sentiasa mencapai objektif pembelajaran. :-)

Tuesday, February 23, 2010

SYUKUR…HARI BAHAGIA HARI INI… :D


SYUKUR…HARI BAHAGIA HARI INI… :D

Alhamdulillah…apa yang diimpikan sudah tercapai. Sejak awal bulan januari 2010…aku dan rakan serumah guruku Merilyne sudah menanam setinggi-tinggi angan-angan untuk memasang streamyx ekoran daripada line broadband celcom yang agak lembap dan mengecewakan. Kadang kala terlelap mata menunggu connection. Sekarang pada 23.02.2010 (Selasa) jam 7.15 malam, stremyx yang dijanjikan untuk dipasang telah selesai dipasang. (TQ pada Mr Christoper yang telah melaksanakan tugas pemasangan dengan baik.)

Ermmm…usia broadband celcom ku baru mencecah 10 bulan. Rasanya…aku perlu tamatkan penggunaaan broadband ini bagi mengurangkan kos wang keluar. Sebelum kehadiran broadband celcom dulu, aku pernah menggunakan perkhidmatan DIGI broadband selama 8 bulan. Jika dibandingkan dengan Celcom broadband, rasanya DIGI broadband agak baik sedikit. Mungkin disebabkan pengguna DIGI broadband agak kurang berbanding dengan pengguna Celcom broadband??? Apa saja andaian boleh dilakukan…namun kesahihannya tidak dapat dipastikan selagi tiada bukti kajian yang terperinci yang dilakukan.

“BERUK BEN”…itulah gelaran yang telah ku pelajari terhadap line “Broadband” yang agak lembap. Gelaran nama ini semata-mata untuk melepaskan rasa geram akibat rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan broadbad yang selalu mengecewakan. Terkadang rasa rugi membayar sewa jika perkhidmatan tidak memuaskan hati.

Bila sudah memiliki benda baru…tidak semestinya benda lama akan dibuang begitu sahaja. Tiap benda yang pernah diperolehi ada saja manfaatnya. Walau kadang-kadang ditemui keburukannya…tetapi adalah lebih baik memandang “KEBAIKAN” yang ada agar hati tidak terlalu terbeban memikirkan benda yang tidak baik.

Pesanan buat diri ku… "selamat berbahagia dengan perkhidmatan streamyx…semoga memuaskan hati dan memudahkan segala urusan. Semoga diri tidak terlalai dengan godaan duniawi…ingat Allah selalu dan mohon dipermudahkan segala urusan. Huhuhu.." :-)