♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Showing posts with label KECANTIKAN. Show all posts
Showing posts with label KECANTIKAN. Show all posts

Sunday, June 13, 2010

Tips Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran


Tips Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

Secara amnya kulit manusia terdiri daripada lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan epidermis adalah lapisan yang tidak mempunyai saluran darah dan bergantung kepada bekalan darah daripada lapisan dermis.

Di dalam lapisan dermis kulit manusia, Allah telah menciptakan kelenjar-kelenjar yang dikenali sebagai kelenjar sebum. Kelenjar ini menghasilkan lemak dari semasa ke semasa. Menurut pada saintis, tujuan penghasilan lemak-lemak ini adalah untuk melindungi kulit dan rambut daripada menyerap air. Ia juga mengelakkan kulit dan rambut menjadi kering, berkedut atau merekah. Hebat sungguh ciptaan Allah.

Sel-sel kulit manusia yang mati pula akan ditolak keluar ke lapisan epidermis, seterusnya tubuh badan akan menghasilkan sel baru. Proses ini berlaku sepanjang masa. Boleh dikatakan setiap detik, ada sahaja sel kulit yang mati di atas kulit manusia.

Sel-sel mati ini kemudiannya akan terkumpul bersama-sama lemak-lemak sebum, bakteria dan habuk di atas permukaan kulit. Permukaan kulit akan menjadi kotor. Bakteria-bakteria kemudiannya akan bertindak balas dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Inilah yang berlaku pada kulit manusia setiap hari.

Jika tidak bersihkan, ia akan mengakibatkan jangkitan kepada kulit seperti jerawat, jeragak, kanser dan sebagainya. Di bahagian muka manusia sahaja, para saintis telah menganggarkan terdapat 500 juta bakteria pada setiap inci persegi.

Di dalam surah Al-Maaidah ayat 6, Allah telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;”

Ayat ini merupakan perintah daripada Allah supaya orang-orang Islam berwuduk sebelum menunaikan solat. Wuduk perlu dilakukan dengan air suci. Anggota-anggota badan yang wajib dibersihkan adalah muka, tangan, kepala dan kaki.

Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya, “Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya.”

Kemudian Sayidina Othman r.a berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

Di antara anggota badan yang sunat dibersihkan pula adalah telinga. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah s.a.w. menyapu kepalanya dengan air dan kedua telinganya iaitu bahagian luar dan dalam.”

Membersihkan anggota badan melebih kawasan wuduk juga dianggap sunat. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata, “Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada Hari Kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wuduk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian.”

Di dalam Al-Umm, Imam As-Syafie menyatakan bahawa beliau lebih suka sekiranya seseorang itu berwuduk mukanya, tangannya dan kakinya tiga kali-tiga kali serta menyapu kepala tiga kali dan meratakan sapuan itu keseluruhan kepala.

Kesemua “proses pembersihan kulit” ini dilakukan setiap kali sebelum solat lima waktu. Sekiranya setiap langkah diulangi sebanyak tiga kali, seseorang akan membasuh anggota wuduknya sebanyak 15 kali sehari. Sekiranya ditambah dengan solat sunat dhuha dan solat sunat witir, bilangan basuhan menjadi 21 kali.

Selain itu, seseorang juga disunatkan agar menggosok-gosok tempat wuduk. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abdullah Bin Zaid r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. berwuduk lalu beliau berkata, “beginilah.” Lalu beliau mengosok-gosok anggota wuduknya.

Menggosok adalah mengenakan sedikit tekanan pada anggota wuduk. Aktiviti menekan dan menggosok ini seterusnya akan meransang beberapa titik refleksologi yang dikenali sebagai “Biologically Active Spots”, yang terdapat pada anggota-anggota wuduk. Tekanan-tekanan pada titik istimewa ini seterusnya akan merangsang saraf dan memberi tenaga serta kesegaran baru kepada angota-angota badan yang lain seperti, usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan lain-lain.

Justeru, kita harus mempelajari tatacara wuduk yang betul. Wuduk yang betul bukan sahaja menjamin kebersihan, malah ia menjaga kesihatan. Dari segi rohani, wuduk yang betul membersihkan dosa. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah menceritakan bahawa ketika seorang muslim membasuh setiap anggota wuduk, kesalahan-kesalahan akan keluar bersama-sama dengan air basuhan tersebut.
Wuduk, ternyata merupakan penjagaan kecantikkan luar dan dalam, zahir dan batin untuk lelaki dan wanita!Wallahu’alam.
Dipetik dari Nota FaceBook: A Masjid AdZilal Bayangan
Pada saya, saya akui kebenaran tips ini. Kalau rajin, sebelum ambil wuduk, cuci muka dan berus gigi terlebih dulu. Saya pernah amalkannya dan saya akui kulit rasa bersih selalu, mungkin disebabkan bakteria tak sempat menyerang. :D

Saturday, October 31, 2009

SOLAT RAHSIA AWET MUDA


SOLAT RAHSIA AWET MUDA
Kenapa perlu menghabiskan ribuan ringgit melakukan pelbagai rawatan wajah dan membeli pelbagai barangan yang mahal-mahal belaka semata-mata untuk cantik dan nampak muda?

Ini kerana anda mampu tampil awet secara semula jadi menerusi keajaiban solat. Solat adalah kemuncak kebahagiaan dan kesenangan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w.

Menjaga solat dan melaksanakannya dengan sempurna adalah syarat utama suatu amal ibadat itu diterima Allah s.w.t. Solat juga mampu memberi ketenangan minda dan jiwa membuatkan dada terasa lapang. Apabila perasan ini menyelinap ke dalam diri, sudah pasti wajah akan berseri-seri. Jadi cukuplah dengan berwuduk dan bersolat dengan sempurna, pasti hasilnya menakjubkan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” – surah Al-Baqarah (2:153).

Selain itu, solat turut memberi manfaat kepada kesihatan tubuh seperti:

1. Merawat fungsi hati kepada sistem imunisasi tubuh.
2. Membersihkan saluran darah daripada tersumbat.
3. Mengaktifkan system pencernaan.
4. Menghilangkan perasaan cemas.
5. Menguatkan otot dan sendi.
6. Mewujudkan perilaku yang positif.
7. Menambah stamina.

Hadis & Falsafah / Majalah NUR, m/s 82, (November 2009)

Saturday, September 26, 2009

5 JENIS JERAWAT : KENALI DAN ATASI MASALAH JERAWAT


Akne atau jerawat merupakan masalah kulit yang biasa dihadapi oleh semua peringkat umur. Walaupun tumbuh dalam pelbagai bentuk namun smuanya bermula dari cara yang sama iaitu dari folikel yang tersumbat. Akne mula berlaku antara 2 hingga 3 minggu sebelum keradangan timbul di muka. Kebiasannya pembentukan akne disebabkan oleh masalah hormone dalam badan, penghasilan minyak pada kulit, perubahan folikel, jangkitan bacteria dan preskripsi ubat yang tertentu.

5 JENIS JERAWAT

(1) BINTIK PUTIH
Bintik putih merupakan comedon tertutup di mana liang yang tersumbat berada di bawah permukaan kulit dan menyebabkan dinding folikel tidak pecah. Bintik putih terbentuk di atas atau di bawah kulit dan akan timbul sebagai benjol berwarna kulit atau sedikit bengkak yang kemerah-merahan. Keradangan akne berlaku apabila bintik putih dijangkiti oleh bakteria dan menyebabkan ianya membengkak.

(2) BINTIK HITAM
Bintik hitam merupakan comedon terbuka yang terbentuk apabila kulit mati dan sebum yang tersumbat menjadi padat di dalam folikel, dimana dinding kulit telah pecah. Bintik hitam akan berlaku apabila liang yang tersumbat ini membesar dan terbenjol keluar dari rongganya. Minyak dan sel kulit menyebabkan kulit kelihatan comot walaupun ia bukan kotoran. Warna pada bintik hitam ini disebabkan oleh pengumpulan melanin dalam kulit.

(3) PAPULES
Berwarna merah, sedikit benjol dan bengkak. Papules selalunya timbul dalam keadaan bengkak dan keras yang besarnya kurang dari 5mm.

(4) PUSTULES
Berbentuk kubah, bengkak seperti papules tetapi lebih sensitive. Ia disebabkan oleh nanah yang terkumpul akibat dari campuran sel-sel darah putih, kulit mati dan jangkitan bakteria. Nanah yang terkumpul di dalam akne ini boleh kelihatan di dalam kulit. Pustules yang sembuh tanpa bertukar menjadi cysts, biasanya tidak meninggalkan parut.

(5) CYSTS
Cysts adalah benjolan tertutup yang boleh menjadi sebesar manik dan sngat sakit. Ia lebih besar daripada pustules dan terjadi jauh ke dalam lapisan kulit, ia boleh merosakkan struktur tisu kulit dan menyebabkan parut. Mencuci muka secara berlebihan akan hanya memburukkan dan melambatkan lagi proses pemulihan kulit.

Bagi memperolehi kulit cantik, langkah pencucian dan melembap adalah amat penting. Pilihan produk yang bersesuaian dengan jenis kulit amat penting supaya ia tidak akan menyebabkan liang roma tersumbat. Tanpa penjagaan yang yang baik boleh mengakibatkan jangkitan mikro yang akhirnya akan bertukar menjadi akne. Bagi anda yang mengalami masalah akne seharusnya menggunakan pelembap yang berbentuk gel atau losyen atau krim yang ringan kerana pelembap jenis ini adalah lebih mudah meresap dan tidak akan membuatkan liang tersumbat.

TIP KECANTIKAN

(1) Pastikan anda menggunakan tuala muka yang bersih setiap kali anda mencuci muka bagi mengelakkan pertumbuhan bacteria pada kain yang lembap.

(2) Jika jerawat anda lebih tertumpu pada bahagian dagu dan rahang, telefon anda mungkin puncanya. Bersihkan gagang telefon dengan alcohol atau hydrogen peroxide.

(3) Manjakan wajah sekurang-kurangnya 2-3 minggu sekali dengan melakukan rawatan di salun-salun kecantikan.

(4) Gunakan pencuci muka yang ringan dan yang tidak meninggalkan sisa pada kulit.

(5) Jangan selalu menyentuh wajah anda kerana ini boleh menyebarkan bacteria di muka anda dan menyebabkan akne.


Majalah NUR, m/s 192, (September 2005)