10 APRIL...BAGAI ADA YANG TIDAK KENA
Catatan peristiwa: 10 April 2011_Ahad_11.40 malam.
Hari ini 10 April ya? Ada sesuatu perasaan yang singgah menyapa ku. Yang pasti sesuatu perasaan yang sayu dan sedih. Tapi di mana puncanya ya? Aku tidak pasti.
Seawal pagi hinggalah petang angka 10 April masih lagi berlegar-legar di minda ku. Aku masih hairan kenapa angka itu begitu menyentuh jiwa ku. Ada apa ya? Mungkin saja ada hari jadi teman? Tapi rasanya tiada sahabat ku yang lahir pada 10 April.
Perlahan-lahan aku cuba mengingati peristiwa yang berkaitan. Tergambar situasi ku di perkhemahan 'Bina Insan Guru' pada tahun 2008 (tiga tahun lepas). Ya, seseorang menghantar mesej. Emmm...ada apa dengan mesej yang dihantar, sudah berlalu, tiada nilai lagi. Aku mengabaikan semula peristiwa pada angka itu.
Segera ku lalui hidup ini seperti biasa. Namun rasa sayu masih lagi menari-nari di ruang hati ku. Ada apa ya....lagu-lagu pada corong radio kereta Myvi putih sahabatku Mazreni sedikit demi sedikit mengimbau cerita dan peristiwa silam hidup ku. Kebetulan lagu-lagu yang dipasang banyak dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza ketika itu. Satu persatu memori ku muncul bersama lagu-lagu tersebut. tanpa sedar kuceritakan apa memori ku bersama lagu Siti tersebut terhadap sahabat ku.
Sehinggalah petang mula beransur seiring waktu menuju waktu Maghrib. Tiba-tiba aku semakin pasti peristiwa pada angka itu. Ya....disana mungkin sayu dan sedih yang hadir menyapa. rupanya 10 April pernah menjadi tarikh penting antara aku dan si dia dulu. Rupanya aku semakin melupakan peristiwa itu. Ya lah....masakan dikenang lagi, si dia sudah pun berkeluarga. Tiada lagi yang penting untuk diraikan seperti dulu.
Aku tersenyum seketika mengenang peristiwa lepas. Rupanya kesan angka 10 April itu masih mengusik jiwa. Kali terakhir tarikh itu dibicarakan pada tahun lepas (2010). Aku langsung tak mengingatinya, namun si dia menghantar mesej kepada ku ketika itu, anehnya ketika itu aku langsung tiada perasaan untuk membicarakannya.
Tapi kali ini pula sebaliknya, mungkin tiada lagi sapaan si dia pada angka itu. Dan ini adalah satu permulaan buat ku untuk terus meleraikan angka 10 April dari ingatan ku. Meneutralkan semula perasaan ini dan melupakan saja kenangan pada angka tersebut. Segalanya tiada makna lagi, hanya tinggal angka sahaja.
Buat si dia, semoga berbahagia selalu. ^_^
No comments:
Post a Comment