♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Wednesday, April 20, 2011

PROSES RAWATAN SI OREN

PROSES RAWATAN SI OREN

Catatan peristiwa: 20.04.2011 (Rabu)_6.00 petang - 9.00 malam (3 jam)

Setelah siap rawatan, hasilnya...ada tahi lalat hitam daaaa....tanda unik pada kereta ku. ^_^

Yang pecah kini bercantum...namun masih ada parutnya. Syukur apa yang ada. :)

Kata Cikgu Adrian (mekanik kereta ku), gam tak kuat, kena pakai skru beralaskan besi.

Si oren yang dibongkar seketika. Ermmm.... ^_^


Ada skru yang tercabut di bawah dan di tepi bumper. :'(

Nota: Terima kasih buat Cg Adrian yang sudi membantu saya. Kos rawatan si Oren hanya RM150.00 dan Cg Adrian langsung tak ambil upah tersebut melainkan diberikan kepada 3 orang pekerja setianya. Salah seorang pekerjanya adalah adik sepupuku sendiri, Ahyie. Mungkin saja kos memperbaiki si oren mencapai RM800.00 dan ke atas jika dihantar ke kedai. Syukur, atas kepakaran jiran ku yang juga merupakan guru wireing di SMK Teknik, mampu membantu ku mengorangkan kos. Bolehlah aku menyimpan duit lebih untuk persiapan ku keperkhemahan TKRS di Negeri 9 pada 25-30 April 2011 ini.


BERPATAH BALIK


BERPATAH BALIK

Catatan Peristiwa: 19 April 2011 (Selasa)_11.00pagi_Highway Apin-Apin - Keningau, Sabah.

Mata ku agak berat ketika aku disapa kak Mi. Ketika itu aku sedang menyiapkan RPH (Rancangan Pengajaran Harian) ku.

"Boleh saya minta tolong hantar anak saya balik, dia berak-berak." pinta kak Mi.

"Oh, boleh...boleh. Lagipun kelas saya sudah habis." Jawab ku beriya-iya.

Kami sempat singgah di klinik Apin-Apin seketika untuk mengambil ubat. Sekitar 40 minit berada di klinik, urusan mendapatkan ubat selesai. Ketika itu akau sempat berbual bersama isteri pakcik sepupu kepada ibu ku, Kak Rn.

"Kakak bawa keta pegi kerja sudah kan.." aku membuka cerita ketika bersamanya.

"Dululah, tapi baru-baru ni saya langgar pokok. Terus saya tidak berani bawa kereta lagi." jelasnya. Aku sekadar mengangguk faham.

Selesai berurusan, aku, kak Mi dan anak lelakinya (9 tahun) segera bergerak ke kampung sekitar pekan Apin-Apin dimana kak Mi menetap. Rumah kak Mi agak besar dan mempunyai laman yang agak luas. Mereka bernasib baik kerana memiliki tanah sendiri untuk mendirikan rumah. Dibelakang rumah mereka terdapat ladang getah milik ibu mertuanya.

Kak Mi menjamu ku dengan segelas jus oren dan biskut oat sambil berbual-bual mengenai ikan hiasan. Sekitar jam 10.50 pagi kami selesai berurusan dan aku memandu kereta ku balik ke sekolah bersama kak Mi.

Beberapa minit memasuki jalan lurus highway Apin-Apin, aku melihat ada kereta hitam merapati kereta ku dari belakang. Ketika itu aku baru sahaja melepasi simpang Ranggom-Kepayan, jalan perkampungan untuk sampai ke kampung halaman ku jua. Aku segera menjauhkan jarak kereta ku dengan kereta belakang. Segera ku tekan sedikit minyak dan meter naik melepasi 50 km/jam. Segera ku tukar gear manual kepada gear 5 dan perjalanan ku agak pantas dengan kelajuan 80km/jam.

50 meter dihadapan ku, seekor anjing putih bertompok coklat baru melintas jalan di mana lorong jalan tersebut akan ku lalui. Tapi aneh, anjing tersebut berhenti seketika di lorong bertentangan, bersebelahan dengan jalan ku. Anjing tersebut seolah-oleh menghidu sesuatu. 4 meter sebelum kejadian, anjing tersebut tiba-tiba berpatah balik.

"Babbbbbbbbb" satu dentuman amat kuat di hadapan kereta ku. seolah-oleh melanggar satu objek manusia, padahal anjing tersebut tidaklah besar sangat.

Walau mulut ku terkunci, hati ku menjerit "Astaghfirullah....habislah berkecai badan dan kepala anjing tu. Aku tak boleh break, kereta dibelakang ku masih rapat. Kalau aku break, pasti dia tak sengaja melanggar ku dari belakang. Aku tiada pilihan, terpaksa meredah laju dan melanggar seekor anjing tersebut.

"Alamak kak, mati ka tu?" aku bertanya pada kak Mi dan cuba mengerling cermin sisi sebelah kiri, namun tiadaapa yang sempat ku lihat. Ketika itu pemanduan ku semakin perlahan dan kereta yang agak rapat dengan ku sebentar tadi telah memotong perjalanan ku.

"Ok saja tu, masih berjalan lagi." Jawab kak Mi yang sedang sarat mengandung 7 bulan.

"Nasib masih hidup." itu saja reaksi ku dan aku kembali fokus pada pemanduan ku.

Hati ku tertanya-tanya, bagaimana keadaan kereta ku nanti. Segera ku teringat peristiwa yang sama di mana kereta kembara kakak sulung ku terlanggar anjing di sekitar jalan kampung Penagatan Laut. Anjing tersebut hanya menjerit dan masih hidup. Satu dentuman yang kuat juga kedengaran seperti dentuman yang berlaku sebentar tadi. Kereta kembara kakak ku selamat, tiada sebarang kerosakan yang berlaku. Dan, aku masih berharap, aku memiliki nasib yang sama.

Sekitar jam 11.10 pagi, aku tiba di kawasan sekolah ku. Segera ku parking kereta ku di garaj bersebelahan rumah guru ku dan turun mengintai apa yang rosak. Pada mulanya semua nampak baik-baik saja. Setelah aku meneliti dari setiap sudut hadapan kereta, terdapat retakan pecah kesan daripada dentuman melanggar anjing tersebut. Bumper tersebut juga agak jatuh 1 cm setelah aku melihat ada jarak terpisah berhampiran lampu kereta ku. Hati ku tiba-tiba gelisah namun ekspresi wajah ku tidak menunjukkan apa-apa.

"Kenapa anjing itu berpatah balik???" Aku masih tertanya-tanya dan menurut Kak Mi, mereka juga pernah mengalami benda yang sama namun mereka bertuah kereta D-Max mereka agak tinggi, sama seperti kereta kembara kakak sulung ku. Ermmm....rupanya kereta Myvi ni agak rendah, sering saja menyondol tanah pada jalan berlubang.

"Nah, saya bayar minyak." Kata kak Mi ketika kami berjalan beriringan menuju ke bilik guru.

"Oh...tidak apa, kakak sudah bayar lebih untuk 'assignment' yang saya buat hari tu" aku menolak pemberiannya.

Fikiran ku kembali menerawang. Baru sahaja sehari aku meraikan genap umur 29 tahun, aku telah menerima hadiah berbentuk ujian kemalangan kecil. Ermmm...semoga ada kesabaran yang tinggi beraja di hati ini. Namun, secara jujurnya aku terkadang kalah dengan kesabaran ku setelah beberapa jam senyuman ku agak susah terlukis di wajah.

Friday, April 15, 2011

BERSEDERHANA

BERSEDERHANA

Jika perlu marah.. marahlah.. tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar...

Jika perlu menangis, menangislah.. tetapi usah terlupa dengan perkataan tenang.

Jika perlu patuh, patuhlah.. tetapi jangan sampai hilang maruah...

Jika mahu miskin, miskinlah.. tetapi jangan terlalu miskin, nanti mudah menjadi kufur...

Jika mahu kaya, kayalah.. tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan sedekah..

Kalau mahu sebuah kereta.. belilah.. selagi mampu dan menepati keperluan semasa...

Kalau mahu mengumpul harta, bekerja keraslah.. asalkan jangan sampai terlupa beribadah...

Kalau mahu berhibur, berhiburlah.. asal tidak sakan dan menyalahi syariat...

Bersifat kesederhanaan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin...

... Wallahu'alam ...



Nota: Info ini sy perolehi dari sahabat saya kak Norlela Abdull di ruang skype [7:02:44 AM_16.04.2011] (teruterubozu) yang juga merupakan rakan setugas di dunia penyiaran Cahaya FM. Katanya sumber diperolehi daripada Ibu Nora di group satu islam.

"Sesuai utk ko mendj tu" kata kak Lela. Ermm..terima kasih buat kak Lela atas sokongan yang diberi untuk segmen saya di radio Cahay FM, segmen "Kata-Kata Hikmah". ^___^

Tuesday, April 12, 2011

‎10 Nasihat Imam Syafie


‎10 Nasihat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah,
beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut
ialah kandungan wasiattersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL
PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI
NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA
SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Nota: Info ini saya ambil daripada rakan Fcebook Nazri Aldusuni . Semoga bermanfaat. ^_^

Sunday, April 10, 2011

10 APRIL...BAGAI ADA YANG TIDAK KENA


10 APRIL...BAGAI ADA YANG TIDAK KENA

Catatan peristiwa: 10 April 2011_Ahad_11.40 malam.

Hari ini 10 April ya? Ada sesuatu perasaan yang singgah menyapa ku. Yang pasti sesuatu perasaan yang sayu dan sedih. Tapi di mana puncanya ya? Aku tidak pasti.

Seawal pagi hinggalah petang angka 10 April masih lagi berlegar-legar di minda ku. Aku masih hairan kenapa angka itu begitu menyentuh jiwa ku. Ada apa ya? Mungkin saja ada hari jadi teman? Tapi rasanya tiada sahabat ku yang lahir pada 10 April.

Perlahan-lahan aku cuba mengingati peristiwa yang berkaitan. Tergambar situasi ku di perkhemahan 'Bina Insan Guru' pada tahun 2008 (tiga tahun lepas). Ya, seseorang menghantar mesej. Emmm...ada apa dengan mesej yang dihantar, sudah berlalu, tiada nilai lagi. Aku mengabaikan semula peristiwa pada angka itu.

Segera ku lalui hidup ini seperti biasa. Namun rasa sayu masih lagi menari-nari di ruang hati ku. Ada apa ya....lagu-lagu pada corong radio kereta Myvi putih sahabatku Mazreni sedikit demi sedikit mengimbau cerita dan peristiwa silam hidup ku. Kebetulan lagu-lagu yang dipasang banyak dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza ketika itu. Satu persatu memori ku muncul bersama lagu-lagu tersebut. tanpa sedar kuceritakan apa memori ku bersama lagu Siti tersebut terhadap sahabat ku.

Sehinggalah petang mula beransur seiring waktu menuju waktu Maghrib. Tiba-tiba aku semakin pasti peristiwa pada angka itu. Ya....disana mungkin sayu dan sedih yang hadir menyapa. rupanya 10 April pernah menjadi tarikh penting antara aku dan si dia dulu. Rupanya aku semakin melupakan peristiwa itu. Ya lah....masakan dikenang lagi, si dia sudah pun berkeluarga. Tiada lagi yang penting untuk diraikan seperti dulu.

Aku tersenyum seketika mengenang peristiwa lepas. Rupanya kesan angka 10 April itu masih mengusik jiwa. Kali terakhir tarikh itu dibicarakan pada tahun lepas (2010). Aku langsung tak mengingatinya, namun si dia menghantar mesej kepada ku ketika itu, anehnya ketika itu aku langsung tiada perasaan untuk membicarakannya.

Tapi kali ini pula sebaliknya, mungkin tiada lagi sapaan si dia pada angka itu. Dan ini adalah satu permulaan buat ku untuk terus meleraikan angka 10 April dari ingatan ku. Meneutralkan semula perasaan ini dan melupakan saja kenangan pada angka tersebut. Segalanya tiada makna lagi, hanya tinggal angka sahaja.

Buat si dia, semoga berbahagia selalu. ^_^

Thursday, April 7, 2011

KAMI TAK SEMPAT BESAR


KAMI TAK SEMPAT BESAR

Catatan peristiwa_08.04.2011_Jumaat_7.50pagi.

Seperti biasa jadual kelas Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan ku bermula pada jam 7.20-8.80pagi, matapelajaran awal dan pembuka untuk sesi persekolahan. Aku masuk agak awal ketika itu. Sengaja ku lakukan untuk mengembil sedikit waktu menyemak buku latihan murid yang tidak sempat ku semak semalam dek kerana asyik berbual dengan rakan-rakan skype.

Pagi itu juga aku mebuat kelainan dalam sesi p&p (pembelajaran & pengajaran). Biasanya ketika mengajar aku akan berdiri sambil berjalan di sekitar kelas sambil memberi penerangan kepada murid. Kali ini aku cuba duduk di meja sambil melontarkan suara maksimum ke arah hampir 30 orang murid di kelas 5A.

Ku akui ada kelemahan guru duduk sambil mengajar. Nun jauh di bahagian belakang, terdapat seorang dua murid yang masih leka memandang ke arah lain, bukan memandang ku. Segera ku panggil nama murid yang berkenaan. Atau aku diam seketika, memandang tepat ke arah murid yang leka dan pasti disusuli teguran segera beberapa orang murid terhadap rakan mereka yang leka.

Akhirnya aku berdiri juga sambil mengajar. Tiba aku disapa oleh seorang murid perempuan ketika lalu berhampiran mejanya.

"Cikgu, kami tidak sempat besar kan?" tanya seorang murid perempuan.

"Sempat bah. Kenapa kamu cakap tak sempat besar?" aku bertanya kembali.

"Sebab yang 2012 tu?" murid itu menjawab seolah-olah meminta kepastian.

"Oh..." aku berfikir sejenak. Mungkin saja yang dimaksudkan adalah hari kiamat yang pernah diceritakan di sana sini, aku meneka apa yang sedang difikirkan oleh murid ku.

"Jangan percaya...itu rahsia Allah, kita tidak tahu bila berlaku." Ringkas saja jawapan ku. Segera ku ubah topik perbula kepada pelajaran ku. Dan murid ku yang bertanya sebentar tadi hanya terdiam dan fokus semula terhadap pelajaran.

Tapi minda ku juga menganalisa kerana janji Allah pasti berlaku. Ya, Kiamat pasti berlaku jua, tapi tidak diketahui bilakah tarikh rahsia Allah itu.

Wednesday, April 6, 2011

HADIAH KECIL BUAT MEREKA

HADIAH KECIL BUAT MEREKA


Hadiah Kad Ucapan Terbaik buat adik Hafiz Hakimi Bin Daud, tahun 2A (2011) -100%


Hadiah terbaik Peperiksaan Sem II, 2010, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) buat adik Dzul Hirzi (Tahun 4A, 2010) dan hadiah Folio Terbaik buat adik Aryssa (Tahun 5A, 2011)


Hadiah kesungguhan menyiapkan tugasan "Benda Hidup dan Benda bukan Hidup" dalam subjek Dunia Sains Dan Teknolongi (Tahun 1B, 2011). Adik Muaz, Sylviane, Naimah dan dua rakan lain.


Hadiah kesungguhan menyiapkan tugasan 'Portfolio Diri Ku' bagi Subjek Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan Tahun 4A, 2011. Adik Esmaerle, dan rakan-rakan.


Bentuk hadiah, set pensil warna pink, buku dan pen 4 warna. Satu komen daripada murid, "pink macam prempuan". Heee....lain kali cikgunya akan sediakan warna selain pink untuk murid lelaki. Huhuhu...fikirkan murid sekolah rendah tidak kisah tentang warna.....ermm....kisah juga rupanya...huhuhu. ^_^



ENTAH APA DI MINDANYA



ENTAH APA DI MINDANYA

( Catatan peristiwa: 03.04.2011_Ahad_7.50 malam )

Entah...apa dimindanya. Dalam asyikku mengguakan sabun mandi jenama dettol, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang kasar.

"Mungkin sabun ni jatuh, lalu terkena batu kecil. Tapi...bila masa ada batu kecil di kamar mandi ini? Ermm..mungkin saja dari kasut sekolah yang dibasuh." Hatiku mula menganalisa.

Sedaya upaya ku cuba membuka kekasaran itu. "Ermm...agak sukar..kuku agak pendek. rasanya bukan batu kecil...tapi kayu kecil." hati ku semkin mendapat jawapan pasti.

Tinggggg...ada satu idea. "Ya...kena gunakan gigi...lagipun sabun ni agak licin."

Akhirnya.....dapat juga ku cabut kayu kecil yang dipacak masuk dalam sabun mandi dettol ini. Bukan sebatang tapi ada dua batang kayu kecil yang dikenalpsti 'pencungkil gigi'.

"Siapa punya angkara ini? Antara adik bongsu perempuan dan adik bongsu lelaki." Aku sekali lagi menganlisa.

"Petang tadi baru sahaja kami menjamu selera di Restoran Lann, jalan Damai. Menu soto ayam yang ditaja oleh sahabatku, Cikgu Mazreni. Dan selepas makan, aku melihat adik lelaki ku tidak jemu-jemu menyentuh penyungkil gigi di atas meja. Haaa....aku yakin ini pasti angkara dia." Aku semakin pasti.

Setelah selesai membuka kayu pencungkil gigi, segera ku bawa bukti dan menyoal siasat dua orang adik ku yang khusyuk menonton rancangan kartun di TV. Yang pasti adik perempuan iklas menjawab "bukan saya". Adik lelaki turut mengucapkan perkataan yang sama....tidak mahu kalah barangkali.

"Jadi ....kalau bukan kamu berdua ...siapa??" Sergah ku dengan nada suara agak tinggi. Dalam masa yang sama, aku tidak dapat menahan gelak di bibir. Lucu mengenangkan bagaimana susah payah aku menegluarkan pencungkil gigi dari sabun mandi sebentar tadi, hingga sanggup menggigit sebahagian kecil sabun dettol tersebut. Dan ini juga pengalaman pertama ku merasa sabun dettol yang tawar. "Hikhik...aku masih merasa lucu...".

"Tapppp.." satu tamparan geram bergema di belakang adik ku. Sengaja ku lakukan agar dia berterus terang.

Dengan mata yang kemerahan, adik lelaki ku akhirnya mengaku memasukkan dua pencungkil gigi dalam sabun mandi tersebut. Sejurus selepas pengakuannya, maka, keluarlah ceramah nasihat ku untuknya. Adik ku hanya mengganguk faham dengan reaksi mata merah.

"Huhhh...entah apa di mindanya. Sukar difahamai...." Hati ku masih hairan hingga ke hari ini.