♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Sunday, July 15, 2012

ADA YANG JAHAT






ADA YANG JAHAT

"Ini sayaur apa, batang keladi bah kan? Gatal ka ni? Berapa harganya?" saya mengajukan pertanyaan terlebih dahulu sebelum membeli sayur batang keladi tersebut. Sepasang mata saya merenung seketika sayur batang keladi yang siap dihiris dan diikat dalam bungkusan plastik lutsinar.

"Ya, keladi. Tidak gatal ni. RM1.00. Rebus dulu lah sebelum masak" pertanyaan saya dijawab dengan baik.

"Kenapa perlu rebus?" saya sengaja memberikan persoalan kerana saya tidak pernah merebus sayur batang keladi sebelum ini. Sambil menanti jawapan, saya memandang tepat ke arah wajah pakcik penjual sayur tersebut.
"Rebus dulu...ada yang jahat" kata Pakcik penjual sayur di sekitar gerai Puncak Damai jalan Kampung Bayangan. Wajah pakcik tersebut kelihatan berumur lingkungan sekitar 60 tahun dan kelihatan selesa memakai topi berwana putih.

"Ada yang jahat? Ermmm...mungkin maksudnya, buang air rebusan yang tidak baik. Tambahan pula, setahu saya keladi sejenis tumbuhan yang gatal. Mungkin juga bertujuan untuk membuang rasa gatal pada sayur keladi tersebut" minda saya sedaya upaya memahami dan memujuk diri mengiakan sahaja jawapan pakcik tersebut.
Bukannya saya tidak pernah memasak sayur batang keladi, namun saya hanya ingin mendengar pesanannya terlebih dahulu. "Siapa tahu ada benda yang baharu" bisik hati kecil saya. Ternyata, saya mendapat maklumat baru. Jika sebelum ini saya memasak sayur batang keladi tanpa merebusnya terlebih dahulu, tapi kini saya mengubah cara seperti pesanan pakcik penjual sayur tersebut.

"Rebus dulu, kemudian baru masak seperti biasa, letak minyak, bawang dan lain-lain" Pakcik memberikan penjelasan lagi.

"Oooo...bah." saya menjawab ringkas. Namun, minda saya sudah mencipta resepi yang sama cuma perlu ditambahkan ikan masin dan serbuk santan kelapa. 

"Kamu tinggal di mana? Bayangan ka?" pakcik tersebut tiba-tiba bertanya ketika saya ingin berlalu pergi 


"Oh, tidak. Kampung saya di Penagatan Ulu. Sekarang tinggal di rumah guru SK Merampong" saya segera membuat pembetulan. Setelah mengucapkan terima kasih, saya memohon diri untuk meninggalkan gerainya.

Thursday, July 12, 2012

MENU KETIKA TIADA SELERA


MENU KETIKA TIADA SELERA


Demam yang tidak diundang akhirnya menguasai diri. Namun, entah kenapa saya masih memaksa diri ke sekolah. Mungkin saya beranggapan demam ini biasa sahaja. Saya cuba sebaik mungkin untuk mengajar subjek Bahasa Malaysia di kelas Tahun 2 Bestari selama 1 jam 30 minit. Namun kekuatan diri saya tidak bertahan. Saya sekadar memberi sedikit ulasan mengenai tajuk pelajaran dan tidak banyak menulis. Murid pula sedaya upaya memahami arahan tugasan yang saya berikan.

Selesai tugasan di kelas, lonceng sekolah dibunyikan tanda masa persekolahan sudah berakhir. Semua guru dan murid pantas meninggalkan sekolah. Selepas menandatangani buku kehadiran guru waktu pulang, saya mengahayunkan kaki untuk segera pulang ke rumah guru. Bantal memanggil diri saya untuk merehatkan kepala yang mula memberat. Dan saya terlelap sekitar 2 jam 30 minit.



Lena yang menyapa diri membuatkan saya tidak menyedari kudua-dua adik saya berangkat ke sekolah agama pada waktu petang. Sayup-sayup kedengaran bunyi perbualan dikaca televisyen ketika mata saya kembali segar. Rancangan kartun kegemaran adik bongsu saya masih terpasang dan menceriakan suasana yang sunyi.  

Jam pula sudah menunjukkan 3.00 petang. Waktu solat Zohor masih berbaki dan saya menggagahkan diri untuk mengambil air wuduk. Selang 30 minit selesai menunaikan solat Zuhur, solat Asar pula saya tunaikan agar boleh bersenang lenang menghabiskan waktu Asar hingga ke Maghrib.

Sunyi terasa walaupun televisyen tidak putus-putus dengan rancangan kartun yang sentiasa menyiarkan pelbagai rancangan. Saya menjenguk seketika ke dunia maya facebook, tiada yang menarik. Hujan gerimis diluar pula mula merenjiskan airnya. Ketika itu, perut saya memberi isyarat untuk diisi. Entah apa yang boleh dimakan ketika diri dalam keadaan yang tidak berselera.

Saya teringat ikan tilapia yang baru dibeli di tengah perkampungan Kampung Merampong melalui seorang rakan sekerja saya. Ikan tilapia tersebut masih segar dan hidup ketika di bawa balik ke rumah. "Ya, saya akan memasak sup ikan tilapia menggunakan periuk belva. Campurkan halia, daun kunyit, tomato, asam keping, bawang merah, bawang putih, serbuk kunyit, garam dan ajinamoto" hati saya berbisik sendiri.

Rancangan dan menu yang diimaginasikan dalam minda selesai terlaksana juga. Alhamdulillah tenaga kembali pulih bila perut kenyang terisi. Tiada lagi rasa lapar dan saya kembali seketika ke dunia maya. Kembali menaip di sana-sini atau menjenguk blog saya yang sekian lama terbiar dan ke ruang maya sahabat facebook yang lain. Semoga diri ini masih bertahan menghadapi demam yang hadir mrnguji diri. ^_^

Wednesday, July 11, 2012

DUNIA BICARA


DUNIA BICARA



Dunia bicara, ya...bicarakan yang baik-baik. Berikan sesuatu yang memotivasikan dan itu yang cuba saya lakukan sebaik mungkin. Alhamdulillah, buat permulaannya kelihatan seperti tindak tanduk kanak-kanak kecil yang baru belajar berjalan. Kini bagai anak kecil yang baru menggagahkan diri agar teguh berdiri dan berjalan dengan baik.

Buat pertama kali saya berbicara di hadapan anak-anak murid sekolah saya sendiri untuk menyampaikan ceramah motivasi yang bertajuk 'Strategi dan Persediaan Menghadapai UPSR' dan 'Larangan Merokok' sebagai ceramah tambahan. Daripada 54 murid (2010), 63 murid (2011) dan terkini 71 orang murid (2012). Semua dilakukan demi kemahuan untuk  merenjiskan kesegaran motivasi kepada anak-anak murid saya yang bakal menghadapi UPSR setiap tahun.


Saya mengambil peluang untuk melatih diri memotivasi murid UPSR pula ketika berkesempatan mengikuti Kem Motivasi Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah di Kem Malangang pada 4 Julai 2012 (Rabu). Ketika itu penceramah jemputan tidak dapat menghadirkan diri untuk ceamah Bahasa Merlayu. 

Setelah diberi arahan, saya cuba melakukan yang terbaik sahaja untuk tugasan mengisi ruang masa dua jam tersebut dengan aktiviti motivasi. Syukur bahan telah disediakan oleh pihak atasan ketika itu iaitu 'Kelebihan dan Kelemahan Saya' dan 'Saya 20 Tahun Akan Datang'. Saya cuma perlu mempersiapkan diri dan bersikap profesional seperti penceramah jemputan. Saya berusaha sedaya upaya memberikan kata-kata motivasi dari hati dan bicara yang ikhlas. Sesekali saya selitkan dengan kisah teladan kehidupan agar murid yang sermai 163 orang itu tidak jemu mendengar bicara saya.


Alhamdulillah, pada 11 Julai 2012 (Rabu) saya menerima jemputan pula untuk menyampaikan ceramah di SK Bunga Raya, Keningau Sabah untuk tajuk 'Pengurusan Masa'. Padahal ketika itu minda dan fizikal saya masih terlalu penat kerana baru balik dari Kem Motivasi di Kem Malangang. Perjalanan memandu kereta dari Tamparuli-Tuaran-Kota Kinabalu-Tambunan-Keningau yang memakan masa sekitar 3-4 jam membuatkan saya terlalu letih.

Namun, saya gagahkan diri juga mengatasi kelemahan tersebut. Saya teruskan mencari bahan dan membuat power point ceramah yang terbaik. Itu saja yang mampu saya lakukan disaat kekangan kesihatan cuba mencabar diri. Tambahan pula saya telah berjanji lebih awal agar dapat menghadirkan diri sebagai penceramah pada tarikh yang dicadangkan.

"Selamat pagi semua...apa khabar, semua sihat ya?" demikian bicara awal saya kepada murid-murid SK Bunga Raya yang seramai 52 orang ketika itu. Suasana ruang makmal komputer dijadikan sebagai ruang dewan ceramah dan penghawa dingin berfungsi dengan baik. Lokasi ini kelihatan amat sesuai walaupun fungsi utamanya adalah untuk Makmal Komputer. Sekitar 1 jam 40 minit masa yang diberikan untuk saya menyampaikan ceramah. Alhamdulillah, ceramah saya kebetulan habis tepat pada masanya. 


Tiada apa yang saya harapkan selain, murid yang mendengar bicara saya dapat mengambil faedah dan mengubah diri ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Itu sahaja yang saya harapkan dan ribuan doa saya panjatkan kepada Allah agar niat saya termakbul dengan bantuan dan izin-Nya.

Selesai melalui dunia bicara yang telah terlaksana, saya membuat penilaian dan refleksi terhadap diri saya sendiri. "Adakah murid berasa seronok dengan saya?" ermmm...sukar diramal, mereka saja yang mampu menilai. Yang pastinya sepanjang saya berada dihadapan mereka, wajah mereka masih ceria.