♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Friday, January 20, 2012

MENGGAPAI IMPIAN



Majlis Konvokesyen 16 Jun 2009, Sutra Harbour, Kota Kinabalu, Sabah.


MENGGAPAI IMPIAN

“Cita-cita kamu apa?” Seorang guru sekolah rendah pernah bertanyakan soalan mengenai cita-cita kepadaku. Ketika itu aku berumur 10 tahun.

“Guru” aku menjawab kerana mendapati guru adalah salah satu kerjaya yang jelas kelihatan di mata ku ketika itu. Walhal aku sebenarnya tidak pernah pasti apakah cita-cita dan impian ku.

Bagiku, rutin kehidupan adalah sekolah, kebun dan rakan-rakan. Pagi berada disekolah, petang akan pergi ke kebun. Jika tidak ke kebun, aku memilih untuk bermain dengan rakan-rakan dibawah pokok atau berpakat ke sungai untuk bermandi-manda sambil mencari cili padi ditepi semak belukar untuk di jual kepada Makcik Iba yang mempunyai lot pasar sayur di pekan Keningau.


Wang hasil jualan cili padi akan digunakan sebagai perbelanjaan diri sendiri di sekolah atau disimpan ke dalam tabung yang diperbuat daripada pokok buluh. Mengharapkan ibu dan bapa ku, mereka tidak akan memberikan wang perbelanjaan ke sekolah disebabkan bebanan tangguangan anak seramai 11 orang. Biasanya, sarapan pagiku ke sekolah adalah makanan berat iaitu nasi dan sayur. Jika tidak mempunyai sayur, cukup kicap yang berwarna kehitaman membuka selera. Namun aku tidak pernah jemu tentang makanan, asal sahaja perut terisi, badan bertenaga dan hati akan senang.

Enam tahun aku disekolah rendah dan selesai melalui Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jelas aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran ketika mengikuti peperiksaan tersebut. Malahan seingat aku, ibu bapa ku asyik sibuk dengan kerjaya di kebun. Pagi menorah getah, petang membersihkan kebun pisang dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri. Aku sendiri tidak pernah mengambil berat tentang pelajaran ku kerana beranggapan belajar disekolah sekadar untuk rutin harian kanak-kanak sepertiku. Aku tidak pernah terfikir untuk bersungguh dalam pelajaran apatah lagi untuk menggapai impian dan cita-cita dimasa akan datang.

“Jalifah, keputusan UPSR kamu gagal satu mata pelajaran. Satu sahaja lagi untuk kamu dapat lulus semua” kata cikgu Ahini. Aku hanya membalasnya dengan segaris senyuman. Semua matapelajaran lulus kecuali Bahasa Inggeris.
“Aku telah gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).” Bisik hati ku. Aku merasa sedikit sebak namun aku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku hanya terdiam membisu sambil melihat kagum terhadap tiga orang sahabat ku Jahidin, Junaidin dan Zainuddin yang lulus UPSR ketika itu. Sekitar 23 orang murid sekolah yang mengikuti peperiksaan, hanya 3 orang sahaja yang lulus.


“Kalau kau gagal UPSR, tidak perlu sambung belajar lagi. Sekolah di pokok getah saja. Pokok getah tu buku dan pisau getah tu pensilnya” terngiang-ngiang kata ayah ku beberapa hari sebelum keputusan UPSR diumumkan. Hatiku bertambah sayu dan gelisah.


“Aku tidak boleh lagi ke sekolah. Aku tidak akan pernah merasa pakaian sekolah menengah. Aku akan bersekolah di kebun getah seperti kata ayah ku.” Minda ku mula beralih pada persekitaran kebun getah sejauh 2 kilometer dari rumah ku dan terletak diatas bukit.

“Aku tidak pasti bagaimana masa depan ku. Kerjaya ku boleh jadi petani seumur hidup, mewarisi kerjaya turun temurun sejak dari nenek moyang” Aku mula berusaha memahami warisan hidup keluargaku.

Rakan sebaya ku mula sibuk bercerita mengenai alam sekolah menengah. Aku pula asyik meluah rasa sedih kerana tidak lagi dapat bersekolah seperti mereka. Reaksi mereka sekadar megiyakan akan nasib diri ku. Sesekali aku merasa amat kasihan dengan diri ku sendiri. Namun anak kecil seperti ku tidak mampu mengubah pendirian ibubapa. Jika putih katanya, putihlah dan jika hitam katanya, maka hitamlah juga.

“Nanti kita pergi beli baju sekolah kau esok.” Suatu pagi ayahku menyapaku di ruang dapur.

“Ya.” Ringkas jawapan ku namun hatiku berbunga-bunga.

“Yeahhhhhhhhh….aku akan ke sekolah seperti rakan-rakan ku. Akhirnya ayah ku masih mahu aku bersekolah, akan ku buktikan aku boleh lulus juga peperiksaan akan datang.” Dalam diam, hatiku bersorak girang disamping menanamkan azam diri.

Alhamdulillah, selesai orentasi tingkatan satu, aku ditempatkan di kelas tingkatan 1 Cemerlag di sekolah SMK Keningau pada tahun 1995. Setelah lulus sederhana dalam peperiksaan PMR, aku melanjutkan persekolahan ku di SMK Gunsanad dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6 atas. Keputusan peperiksaan ku semuanya sederhana, nyawa-nyawa ikan namun masih lulus.

Berbekalkan keputusan SPM dan STPM yang sederhana aku mencuba nasib untuk menggapai impian dan cita-citaku sebagai seorang pendidik. Dua kali aku memohon untuk memasuki Maktab Perguruan Keningau namun dua kali juga aku gagal. Akhirnya aku memilih untuk berkerja dengan orang yang berniaga disekitar pekan Keningau. Kerjaya ku bertukar ganti, aku pernah berkerja sebagai seorang penjual sayur di pasar harian, menjual goreng pisang di tepi kedai Sugar Bun, menjual kain terpakai di kedai lelong dan pernah menjadi penjaga kain dikedai baju-baju berharga mahal.

Sedikit sebanyak aku mula bangga kerana dapat menyimpan sedikit duit hasil pekerjaan ku dan tidak pernah menyusahkan ibubapa ku. Aku mula bahagia dengan gaji sekitar RM200.00 hingga RM300.00 sebulan. Ibubapa ku juga tidak pernah mengeluh terhadap diriku, malah selalu mendorong ku untuk terus berkerja. Namun berbeza dengan abang sulungku.

“Kami semua masuk universiti, kau saja yang lain.” Kata abang ku sambil memandang sinis.

Pada mulanya aku sering mengabaikan kata-kata abang sulung ku. Terkadang endah tak endah dipendegaran ku. Namun anehnya abang sulung ku tidak pernah berputus asa membebel mengenai kejayaan mereka memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pengulangan kata-kata sinis abang sulung ku akhirnya bersarang teguh diminda ku. Aku semakin tertekan dengan pengulangan kata-kata yang sama setiap hari. Malah pernah air mata ku menitis kerna terguris mendengar bicaranya.

“Apa lagi masalahnya, aku sudah mempunyai pekerjaan. Aku sudah boleh memegang duit hasil titik peluh ku. Tapi kenapa abang ku masih tidak berpuas hati? Kenapa pula ibubapaku sekadar diam membisu tanpa membela ku? Mereka membiarkan abang sulung ku bagaikan ketua keluarga didalam rumah. Sesuka hati memarahi ku? Menekan ku dengan perbandingan pendidikan yang diperolehi. Apa ada dengan pelajaran yang tinggi?” Aku yang berusia hampir mencecah 20 tahun ketika itu mula menganalisis dimana kebenaran dan cuba mencari kalau-kalau berlaku kesilapan. Namun aku gagal mencari jawapan. Malahan usia ku sekitar itu hanya dipenuhi sikap memberontak kerana merasa diri sudah cukup dewasa.

“Baik. Saya akan sambung belajar.” Akhirnya aku menjawab juga bicara sinis abang sulung ku. Aku memilih untuk menurut perintah abang sulungku. Biar tiada lagi tekanan yang akan ku alami. Aku bangkit berusaha mengambil cabaran daripada kata-kata sinisnya sebelum ini. Alhamdulillah aku berjaya mengikuti jejak abang dan kakak ku menamatkan pengajian ku di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Aku berjaya mendapat keputusan kepujian dalam bidang Psikologi Kaunseling dengan pointer yang sederhana.

Namun sekali lagi aku gelisah dengan diri ku. Selesai sahaja menamatkan pengajian, aku terkapai-kapai mencari kerjaya ku. Kadang-kadang aku tidak tahu apakah sebenarnya cita-cita ku. Pengajian ku berjaya ditamatkan namun aku juga berjaya mengumpulkan sejumlah hutang PTPTN untuk membiayai pengajianku sepanjang tiga tahun di universiti. Sekali lagi aku tertekan dengan bebanan hutang yang perlu dibayar. Bagaimana mungkin aku mampu membayarnya sedangkan aku seorang penganggur? Abang sulung ku bertuah kerana pengajiannya ditaja oleh Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Pengajian kakak ku pula ditaja oleh PETRONAS kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

RM19,500.00 hutang PTPTN yang tertera sepanjang aku mengikuti pengajian selama tiga tahun di universiti, itu pun belum termasuk bunga pinjaman. Jumlah pinjaman boleh saja mencecah RM20,000.00 ke atas termasuk kos pentadbiran. Aku semakin tertekan apabila menerima surat mahkamah sebagai peringatan untuk menjelaskan hutang pinjaman. Harus bagaimana menyelesaikan masalah ini sedangkan aku dan rakan sepengajian ku belum mendapat kerja tetap?

“Belajar tinggi-tinggi pun, tidak dapat kerja juga kan” masih terngiang-ngiang kata-kata seorang makcik di kampung ku ketika aku memberitahu aku sudah tamat pengajian. Perkataan yang selamba tetapi cukup membuatkan aku tidak mahu duduk diam di kampung. Aku membawa diri mencari kerja di bandaraya Kota Kinabalu.

“Kerja apa sahaja, asal halal.” bisik hati ku.

Sekadar berkerja disekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak dapat menampung bayaran pinjaman. Dengarn gaji kerani sekitar RM600.00, habis ku gunakan untuk membayar sewa bilik, tambang bas dan makanan seharian ku. Kerja sekadar cukup makan dan bebanan hutang sedikit sebanyak terus mengganggu keharmonian emosi ku. Sungguh, tiada ketenangan bagi orang yang berhutang dan belum menjelaskannya. Aku sering berusaha membayar hutang pinjaman tersebut namun sentiasa gagal. Disiplin ku untuk menyimpan wang juga sering gagal. Malah aku tidak berjaya menitipkan sedikit duit gaji ku kepada ibubapa ku di kampung.

Sambil berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, sekali lagi aku mencuba nasib di bidang perguruan. Kali ini aku memohon untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Setelah tiga kali mengikuti peperiksaan M-Test, akhirnya aku berjaya juga mengikuti temuduga perguruan seterusnya ditawarkan mengikuti KPLI - Diploma Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling Ambilan Januari 2008 di Institut Perguruan Tawau, Sabah . Hanya setahun pengajian dan aku akhirnya berjaya menggapai impian dan cita-cita ku bergelar guru di sekoah rendah. Kini aku sedang berusaha membayar hutang PTPTN di universiti dahulu.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan kepada Allah swt. Terasa kejayaan ku ketika ini bukan hasil usaha diri ku sendiri. Kejayaan ku berkat kata-kata sinis abang sulung ku suatu ketika dahulu. Seandainya, aku memilih untuk tidak mendengar nasihatnya, aku mungkin kekal berkerja sebagai penjual sayur, penjual pisang goreng atau penjaga kedai kain di kedai kain berharga mahal. Dalam diam, aku ingin mengungkapkan jutaan terima kasih kepada seisi keluarga ku yang tanpa sedar telah membetulkan pilihan hidupku untuk meneruskan pendidikan hingga ke peringkat universiti. Tanpa diduga, cita-citaku zaman persekolahan dahulu juga tercapai.” Aku bermuhasabah terhadap diri ku sendiri dan sering mengungkapkan kesyukuran ke hadirat Ilahi dengan tercapainya impian dan cita-cita yang sekadar disebut-sebut suatu ketika dahulu.

5 comments:

Rafi Harumin said...

Salam.

Cukup menarik. Ceritanya memang sudah ada. Berkenaan dengan penggunaan bahasa ataupun yang semaksud dengannya, kita serahkan sahaja kepada yang lebih arif mengenainya. Didoakan, semoga dimasukkan ke dalam kumpulan blog itu. Amin, amin...

JaLiFaH BinTi MuHaMiN said...

Heee....TQ. ^_^

Unknown said...

Asalam..
very interesting..you have more sharing experience for everyone..
go and go..

Unknown said...

Asalam..
very interesting..you have more sharing experience for everyone..
go and go..

JaLiFaH BinTi MuHaMiN said...

W'slm cikgu...TQ support.. ^__^