♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Thursday, February 25, 2010

KRONOLOGI PENYELESAIAN MASALAH KU DI DALAM KELAS


KRONOLOGI PENYELESAIAN MASALAH KU DI DALAM KELAS


Sambil duduk menjamu mee goreng, aku mengimbas semula peristiwa beberapa minggu yang lalu. Sambil itu jari jemariku pantas menekan huruf-huruf pada laptop di meja ku. Ada sesuatu yang ingin ku coretkan untuk tatapan dan peringatan buat diri ku sendiri.


(Minggu 1) : 04.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

Kelas 4B merupakan kelas terpilih bagi murid-murid yang yang mempunyai peratus kelulusan peperiksaan yang rendah pada tahun 2009. Murid-murid di kelas 4B terdiri daripada murid yang agak nakal dan terdapat juga yang belum dapat menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan kelas 4A, majoriti muridnya mudah dikawal dan mudah memberikan sepenuh perhatian semasa di kelas. Tambahan pula murid 4A keseluruhannya sudah menguasai 3M.

Kesukaran mengawal kelas 4B membuatkan suara ku begitu lantang dihadapan kelas. Berkali-kali juga aku berjalan dai meja ke meja murid agar memastikan mereka memberi perhatian terhadap pelajaran Pendidikan Sivik & Kewarganegaaraan yang sedang aku sampaikan. Sambil bersuara mataku lebih tertumpu pada murid-murid. Murid yang memandang dan memberi perhatian pada ku membuatkan aku rasa diberi perhatian. Sebaliknya masih terdapat bebberapa murid yang lalai dengan dunianya sendiri. Sura ku yang begitu lantang umpama teariakan dipdanag kawad langsung tidak diendahkan beberapa murid dikelas.

“Ini boleh mendatangkan marah” desis hati ku.

“Tap…tap…tap..” bunyi hempasan rotan di atas meja sengaja ku lakukan bagi menarik perhatian murid di kelas. Hanya seketika wajah mereka menatap ku tanda memberi perhatian. Selepas itu mereka kembali pada dunianya. Bermain ‘duit-duit’ dengan melakarkan nilai duit serta mengoyakkan kertas buku latihan. Sebahagian yang lain membuka buku teks Sivik di muka surat yang lain sambil berbisik-bisik bercerita mengenai gambar. Ada saja ulah dan ceritanya. Di sini kesabaran ku agak teruji. Terasa perit di kerongkong ku.

“Kenapa mereka masih tidak memberikan perhatian pada p & p (pembelajaran & pengajaran) ku?” aku bermolog sendiri. Timbul sedikit rasa kecewa akibat gagal mengawal kelas.

Aku tetap meneruskan kelas. Masih tetap bersuara lantang dan meronda setiap meja murid ku. Seperti biasa selepas berbincang dengan murid mengenai kandungan teks, aku akan memberikan latihan pengukuhan. Kadangkala emosiku tercabar melihat beberapa orang muridku sengaja bersembunyi dibawah meja untuk mengelak daripada teguranku.

“Tappp..” bunyi rotan mengenai punggung mereka diikuti ketawa daripada beberapa orang murid yang lain. Aku hampir tersenyum tetapi sengaja ku sembunyikan kelucuan hatiku melihat gelagat murid ku.

Sekali lagi aku berasa gagal apabila hanya terdapat satu atau dua orang murid sahaja yang menghantar tugasan latihan. Aku mengeluh sendiri. Perasaan hampa melingkari perasaanku. Motivasiku yang subur terasa layu dan tidak bermaya.



(Minggu 2) : 11.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

Pada minggu ini aku tidak dapat memasuki kelas disebabkan melaksanakan tanggungjawab mengiringi 9 murid peserta nasyid dibawah bimbingan ku untuk menyertai pertandingan nasyid sempena MTQ bagi sekolah rendah Zon Apin-Apin. P&P ditangguh dan akan dibawa ke minggu berikutnya.


(Minggu 3) : 23.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi


Rasa kecewa membuatkan aku menulis sedikit luahan rasa di ruangan Facebook. Beberapa rakanku memberikan cadangan dan pendapat. Antara yang ku ingati ialah.. “jangan menjerit nanti terasa perit”. Terdapat juga yang mencadangkan agar mencari pendekatan yang lain.

Aku akui pendekatan murid sekolah rendah dan menengah memang amat berbeza. Ini dikuatkan lagi dengan fakta yang pernah ku dengari di televisyen yang berbunyi:

“Didik kanak-kanak berumur 7-14 tahun dari segi pendekatan personaliti. Dan didik kanak-kanak/remaja berumur 14 tahun ke atas dengan pendekatan seperti kawan.”

Aku dapat merasakan aku perlu tekankan pada penghantaran tugasan latihan bagi setiap murid. Oleh itu pada P&P kali ini aku memberi peringatan dan amaran tegas agar semua murid dapat menghantar tugasan.

“Semua mesti hantar latihan ya. Siapa tak hantar, cikgu denda tiga rotan ya. Ingat…cikgu denda tiga rotan. Cikgu tulis nama siapa yang sudah hantar ni.” Demikian aku memberi peringatan yang tegas buat mereka.


(Minggu 4) : 25.02.2010 (Khamis) – 8.20 -9.20 pagi

“Selamat pagi cikgu” suara murid bergema di kelas 4B sambil berdiri. Terdapat seorang murid perempuan leka duduk dan bermuka selamba.

“Kenapa ada lagi yang duduk tu?” Aku mengajukan pertanyaan sambil memandang kearah murid yang perempuan tersebut.

Sekali lagi merek memberi ucapan selamat. “Selamat pagi, duduk semua.” Balasku.
Hari ini…aku mengotakan janjiku untuk melaksanakan denda tiga rotan ke atas murid yang tidak menghantar tuasan latihan.


“Okay sebelum tu, cikgu mau denda murid yang tidak hantar latihan minggu lalu. Nama yang cikgu sebutkan duduk. Yang tidak disebut, berdiri satu barisan depan cikgu untuk denda tiga rotan.” Aku memberi arahan. Murid-murid yang terlibat segera berbaris didepan ku.

Sememangnya aku agak malas menguruskan soal denda di dalam kelas kerana ia membazirkan masa dan membuatkan P&P tidak dapat dijalankan dengan baik. Tetapi kali ini aku mesti melaksanakan denda agar murid ku sentiasa beringat dan tidak lalai dengan pesanan ku.

“Cikgu, dia belum kena rotan, dia tidak siap tu” seorang murid mengadu kepada ku terhadap 5 orang murid lelaki yang sengaja duduk dan tidak mahu tangannya dirotan. Aku tak menyangka mereka masih berdegil dan selamba duduk di kerusi masing-masing. Namun kelihatan wajah mereka agak bimbang. Aku segera menghampiri mereka dan denda yang sama diberikan kepada mereka.

Selesai melaksanakan denda, aku segera meneruskan P&P bagi tajuk Unit 2 : Sayangi Diri. Sekali lagi aku menyemak murid dari meja ke meja agar mereka bersedia dengan buku tekas masing-masing. Ternyata mereka sudah membuka muka surat 11 di buku masing-masing. Hatiku agak senang dengan perubahan mereka.

Suasana kelas pada kali ini juga agak diam. Semua murid seolah-olah terkejut dan trauma dengan denda tiga rotan yang ku berikan ke atas mereka sebentar tadi. Dalam diam aku cuba merotan tapak tangan ku. ‘Aduh…sakit jua ni kena rotan ni’ desis hati ku. Tanpa membuang masa, aku segera mengambil kesempatan pada kesenyapan mereka untuk meneruskan P&P. Terukir senyum girang dibibir ku kerana kelas pada kali ini terasa sunyi dan semua murid memberikan perhatian terhadap ku. Hanya terdapat seorang dua murid yang berbual-bual namun sempat ku tegur agar mereka segera memberikan perhatian. Kali ini suaraku sederhana kuat dan tidak selantang minggu lalu. Ini disebabkan kelas agak diam dan memberikan perhatian kepada ku. Sekali sekala aku memberikan senyuman agar tiada tekanan di wajah murid ku.

Alahmdulillah… kalau inilah penyelesaiannya dan syukur ku panjatkan ke hadirat-Nya jika sikap murid ku ini terus berkekalan memberikan perhatian sepenuhnya pada P&P ku pada masa akan datang. Kali ini aku mengajar dalam keadaan gembira dan tiada tekanan. Ku sulami pula dengan ketegasan agar murid menghantar latihan bagi mengelakkan mereka menerima dendaan yang menyakitkan. Semoga perubahan ini berkekalan dan hasil pembelajaran ku sentiasa mencapai objektif pembelajaran. :-)

Tuesday, February 23, 2010

SYUKUR…HARI BAHAGIA HARI INI… :D


SYUKUR…HARI BAHAGIA HARI INI… :D

Alhamdulillah…apa yang diimpikan sudah tercapai. Sejak awal bulan januari 2010…aku dan rakan serumah guruku Merilyne sudah menanam setinggi-tinggi angan-angan untuk memasang streamyx ekoran daripada line broadband celcom yang agak lembap dan mengecewakan. Kadang kala terlelap mata menunggu connection. Sekarang pada 23.02.2010 (Selasa) jam 7.15 malam, stremyx yang dijanjikan untuk dipasang telah selesai dipasang. (TQ pada Mr Christoper yang telah melaksanakan tugas pemasangan dengan baik.)

Ermmm…usia broadband celcom ku baru mencecah 10 bulan. Rasanya…aku perlu tamatkan penggunaaan broadband ini bagi mengurangkan kos wang keluar. Sebelum kehadiran broadband celcom dulu, aku pernah menggunakan perkhidmatan DIGI broadband selama 8 bulan. Jika dibandingkan dengan Celcom broadband, rasanya DIGI broadband agak baik sedikit. Mungkin disebabkan pengguna DIGI broadband agak kurang berbanding dengan pengguna Celcom broadband??? Apa saja andaian boleh dilakukan…namun kesahihannya tidak dapat dipastikan selagi tiada bukti kajian yang terperinci yang dilakukan.

“BERUK BEN”…itulah gelaran yang telah ku pelajari terhadap line “Broadband” yang agak lembap. Gelaran nama ini semata-mata untuk melepaskan rasa geram akibat rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan broadbad yang selalu mengecewakan. Terkadang rasa rugi membayar sewa jika perkhidmatan tidak memuaskan hati.

Bila sudah memiliki benda baru…tidak semestinya benda lama akan dibuang begitu sahaja. Tiap benda yang pernah diperolehi ada saja manfaatnya. Walau kadang-kadang ditemui keburukannya…tetapi adalah lebih baik memandang “KEBAIKAN” yang ada agar hati tidak terlalu terbeban memikirkan benda yang tidak baik.

Pesanan buat diri ku… "selamat berbahagia dengan perkhidmatan streamyx…semoga memuaskan hati dan memudahkan segala urusan. Semoga diri tidak terlalai dengan godaan duniawi…ingat Allah selalu dan mohon dipermudahkan segala urusan. Huhuhu.." :-)

Sunday, February 21, 2010

SABAR, IKHLAS DAN REDHA


SABAR, IKHLAS DAN REDHA

Kata orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kata-kata ini memang benar kerana kisah hidup seseorang akan menjadi cerita generasi akan datang. Untuk itu ciptalah cerita yang indah-indah hari ini untuk dikenang di kemudian hari.

Jadikan kisah Nabi Ayub yang menderita kerana penyakit selama berbelas-belas tahun yang tetap sabar dan teguh imannya. Sementara isterinya begitu setia melayani, menjaganya dengan penuh kasih saying seikhlas hati disamping membanting tulang mencari rezeki.

Nabi Ayub berdoa, “Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Maha Pemurah” – (Surah Al-Anbiya:83).

Allah memakbulkan doanya serta merta dengan meminta Nabi Ayub memukul tanah dengan kakinya. Lalu keluar air dari mata air dan Allah meminta Nabi Ayub mandi dan minum air itu. Keajaiban berlaku di mana seluruh penyakitnya hilang.

Inilah hasil daripada sebuah kesabaran, keikhlasan dan keredhaan menerima segala takdir Allah.

“Kadang-kadang manusia menyesal kerana kata-kata yang telah diucapkannya, tetapi ia tidak pernah menyesal kerana diamnya”.


Hadis & Falsafah, Majalah NUR, m/s 17, Februari 2010.

Friday, February 19, 2010

YAKINLAH ADANYA HARI ITU


YAKINLAH ADANYA HARI ITU

Orang yang faham bahawa umur dunia singkat, harta dunia sedikit, perlakuan dan perubahan dunia kepada penghuninya silih berganti, maka ia tidak akan bersedih dan berputus asa tentang apa sahaja yang berhubung dengannya.

Usahlah bersedih walau apa sahaja yang luput darimu berupa keduniaan. Bukankah kita mempunyai ‘RUMAH LAIN’ yang lebih MULIA, KEKAL, BESAR dan INDAH? Itulah RUMAH AKHIRAT. Pujilah Allah kerana pastinya ada hari pertemuan dengan Yang Maha Esa.

“Peristiwa lalu adalah mimpi, hari ini adalah reality dan hari esok adalah harapan INDAH.”


Hadis & Falsafah, Majalah NUR, m/s 127, Februari 2010

Friday, February 12, 2010

PERKUKUH JIWA MENERUSI TENAGA POSITIF


HARI ini ramai yang menyambut hari baru dengan penuh kesyukuran. Yang pasti satu hari lagi peluang hidup berkurang. Entah tinggal berapa hari lagi baki yang masih ada. Rahsia yang Maha Kuasa tiada siapa boleh menembusi ruang-Nya.

Ajal, jodoh, rezeki dan titik akhir yang menjadi penentu bahagia atau sengsara menjadi persoalan yang tidak mungkin terjawab. Saat menyambut hari bahagia setiap hari, eloklah kita meneliti arah garis nasib masa depan. Mampukah kita mengubah nasib dan bukan berserah kepada nasib?

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya sentiasa gerun memikirkan misteri takdir manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang terkumpul kejadiannya dalam perut ibu selama 40 hari berupa mani, kemudian 40 hari berupa darah, kemudian berupa daging seperti itu juga. Lalu diutus malaikat meniup roh di dalamnya dan diperintahkan mencatat empat perkara iaitu; rezeki, ajal, amal perbuatan dan nasib sial atau untungnya. Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang itu ada kalanya melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dia dan syurga selangkah saja. Maka sesungguhnya telah tertulis dalam Kitab dan dia berubah melakukan perbuatan ahli neraka sehingga masuk ke dalamnya. Dan seseorang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga tidak jauh jarak antara dirinya dan neraka melainkan selangkah saja, maka tertulis dalam catatan Kitab dia melakukan amal ahli syurga dan masuk ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Suatu ketika anda berjumpa dengan fenomena pelik yang menyimpan kenangan 10 atau 20 tahun lalu. Takjub dan hairan berjumpa dengan kawan lama, mengapa lelaki ini boleh berjaya mengatasi anda pada hal 10 tahun lalu dia bukan siapa-siapa.

Akhirnya nasib nyata boleh berubah, Allah tidak pernah berbuat zalim kepada makhluk-Nya, siapa yang berusaha pasti akan mendapat hasil sesuai dengan usahanya itu. Tetapi ramai pula yang berputus asa.

Mereka berkata: “Nasib tidak menyebelahi aku. Setiap kali berniaga pasti muflis, nak minta projek ke sana ke mari macam peminta sedekah tidak juga dapat. Bila aku boleh kaya? Tuhan sudah tetapkan nasib aku sentiasa sial, tidak payah buat kerja sungguh-sungguh, tidak berfaedah, semua tidak menjadi.”

Ubat bagi orang berputus asa dan berserah kepada nasib ialah:

* Jika takdir anda buruk berlarilah menuju takdir yang baik. Tiada siapa tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir.

Tidak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau dalam kesombongan. Ada masa sihat kadang kala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain.

Semua berputar dalam genggaman Allah supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa-Nya.

Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Dia serba lemah dan jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah dan memohon dikurnia nasib yang baik dan berusaha berlari daripada takdir buruk menuju takdir baik.

Allah tidak akan menolong sesiapa yang tidak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi, tiada alasan bagi seorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai dan ia sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Seperti kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab mengenai takdir manusia, “Sesungguhnya kita berlari daripada takdir buruk kepada takdir yang baik.” Semua itu rahsia Allah. Anda masih mampu mengubah keadaan buruk menjadi baik atas izin Allah.

* Lonjakkan tenaga positif dalam diri. Kejayaan hanya diperoleh selepas anda mengalami tekanan. Semakin tertekan, semakin kuatlah usaha untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki tenaga positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya.

Tenaga positif itu mengubah seseorang yang tidak dikenali menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya hingga mampu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan yang diwarisi turun temurun.

Tenaga positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang mulia lagi warak. Jika manusia sudah kehilangan tenaga positif itu, seolah-olah dia menjadi mayat sebelum dicabut rohnya.

Hidup tidak berguna sama sekali, ada dan tiadanya tidak memberi kesan kepada alam maya ini.

Apabila kita memiliki tenaga positif ini, berbahagialah orang di sekeliling kita. Mereka rasa selesa berdampingan dengan kita. Adaptasi sosial yang kita jalinkan begitu indah dan kemas, jauh daripada penyimpangan yang menyakitkan hati. Begitulah gambaran seorang mukmin menerusi sabda baginda SAW yang bermaksud: “Mukmin yang terbaik adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.”

Seperti seorang bapa yang memegang tangan anaknya dengan lembut, matanya yang redup menitipkan semangat positif ke jiwa si anak, ibunya pula mengungkapkan bahasa indah mengandungi hikmah dan nasihat mengiringi langkah kecil anaknya menghirup khazanah ilmu.

Seperti seorang yang sakit dan diramal tidak akan dapat disembuhkan lagi, tenaga positif itu membangunkan jiwanya yang masih menyimpan kekuatan untuk menghabiskan sisa hidup dengan amal yang bermanfaat bagi orang lain. Setiap saat menjadi peluang untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah dan manusia di sekelilingnya.

Sesungguhnya, tenaga positif itu berasal daripada kuasa Allah yang membuka mata hati kita sehingga mampu melihat hikmah kebaikan di bawah tompokan ujian kehidupan. Membuat anda mampu tersenyum, memujuk hati yang luka dan melupakan rasa sakit yang menghiris kalbu.

Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah supaya diberi tenaga positif yang berasal daripada Nur Allah. Dalam doa baginda memohon kepada Allah supaya menghapuskan kesedihannya kerana penghinaan dan kekejaman yang dilakukan penduduk Taif.

Baginda SAW berdoa supaya hilang segala kesedihan dan rasa putus asa: “Aku berlindung kepada Nur wajah-Mu yang mulia yang memberi cahaya kepada langit dan bumi dan yang menyinari segala yang gelap-gelita. Dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.”

Jika hati sudah diterangi cahaya Allah, serta merta kekuatan itu bangkit dan menghidupkan jiwa raga kita, jadi tiada alasan untuk berserah kepada nasib yang tidak pasti.

Sumber: BERITA HARIAN (AGAMA)-blog : 18.02.2008 --> http://agamaberitaharian.blogspot.com/search/label/Takdir
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Wednesday, February 3, 2010

REFLEKSI KU : "Di Atas Sajadah Cinta"


REFLEKSI KU : "Di Atas Sajadah Cinta"


REFLKSI KU _04.02.2010_Khamis à 1 CERITA / SINETRON_“DI ATAS SAJADAH CINTA”_Karya : Habiburrahman El Shirazy. (Astro 106 Oasis_12.00 pagi – 01.00 pagi.) Berikut diringkaskan dan disimpulkan salah satu satu cerita menarik dalam sinetron yang telah saya tonton di kaca televisyen.

Kisah seorang lelaki beriman bernama Zahid yang ingin melamar gadis idamannya, Salmah. Sebelum melamar Zahid sempat solat istikharoh kemudian pergi ke rumah Salmah untuk melamar. Sayang seribu kali sayang, Zahid sudah terlambat. Salmah telah dilamar oleh seorang pemuda bernama Yasir, dan pinangan Yasir itu telah diterima oleh ibubapa Salmah. Pinangan Zahid terpaks ditolak.

Zahid dan Salmah masing-masing merasa amat sedih kerana cinta mereka tidak kesampaian untuk hidup bersama. Salmah terlalu sedih dan cuba berikhtiar agar mereka tetap akan dapat hidup bersama. Salmah merancang untuk ‘khalwat’ agar mereka ditangkap dan di nikahkan. Zahid sebaliknya menolak dengan baik segala rancangan Salmah. Zahid malah menghadiahkan sehelai sejadah buat Salmah dengan harapan agar menyerahkan segala ketentuan kepada Allah s.w.t.

“Kita harus tawakal, pasti ada jalan keluar” kata Zahid.

“Aku akan selalu menjaga sejadah cinta mu” kata Salmah. Salmah juga sebenarnya berasa amat malu dan kesal dengan cadangan khalwat terhadap Zahid. Segera ia beristighfar pada Allah swt.

Berkat solat, doa dan kesabaran, akhirnya Allah memberikan petunjuk buat Salmah. Tunang Salmah yang disangka baik oleh ayahnya ternyata seorang kaki kelab malam malah terjebak dengan pengambilan dadah. Ayah Salmah sungguh menyesal kerana tidak menyelidiki latar belakang Yasir sebelum menerima lamaranya. Setelah Yasir ditangkap, pertunangan mereka diputuskan dan ayah Salmah berpesan pada Salmah bahawa beliau bersetuju menerima pinangan Zahid yang ditolak sebelum ini. Salmah sungguh gembira dan berlari menuju ke rumah Yazid untuk menyampaikan berita gembira tersebut.

Malangnya Salmah telah terlewat. Zahid baru saja keluar rumah bersama beg pakaiannya dengan niat untuk meninggalkan jauh tempat yang didudukinya. Dalam kesayuan hati Zahid perlahan-lahan ia membawa langkah dan sempat singgah ke destinasi yang selalu dikunjunginya sebelum berlalu pergi.

Salmah pula terlalu sedih lalu berlari kearah masjid. Dia lantas duduk tersedu-sedu kerana harapannya terasa hancur berderai. Segalanya telah dirancang Allah, kebetulan Zahid melalui jalan berhampiran tempat Salmah sedang duduk menangis teresak-esak.

Dipendekkan cerita, akhirnya mereka dapat disatukan sebagai suami isteri yang sah dengan pernikahan yang suci dan terhormat. Happy ending gitu…ermmm…best juga karya-karya senetron Habiburrahman El Shirazy ni. Rasanya macam sinetron ni pasti dibukukan, emm…pasti ada buku “Di Atas Sajadah Cinta” dijual dipasaran. Cuma saya sendiri belum berkesempatan mencari apatah lagi untuk mendapatkan buku yang amat menarik minat saya ni.

Moral of the story, sememangnya Allah s.w.t lah yang akan mengatur segala jalan hidup manusia di dunia ni. Bersabarlah dan bertawakallah. Pasti akan ada jalan yang lebih baik. Selalulah kita bersangka baik terhadap-Nya, dekatkan diri serta mohonlah pada Allah s.w.t dengan sesungguhnya. InsyaAllah kita akan dapat penyelesaian yang TERBAIK.

“Bila Allah tarik satu, pasti akan diganti yang lebih baik, Yakinlah kerana itu janji Allah buat hamba-Nya.” :-)