♥ Jika bersama kita adalah Rasulullah ♥ Lau Kaana Bainana al-Habeeb ♥

ALHAMDULILLAH - (Opic & Amanda)

Qasidah Istighfar

Monday, January 30, 2012

APA MAHU KU?


APA MAHU KU?

Apa mahu ku?
Ya...setiap dipenghujung tahun..
Aku mahu sesuatu perubahan
Seiring bermulanya kalender tahunan

Mahu ku...
Jaga ekonomi...
Punya tabungan setiap hari
Biar dimulakan dengan RM1 sehari.. ($_$)

Mahu ku...
Penampilan diri diambil berat
Jangan terbeban lagi si penimbang berat
Merekodkan berat yang semakin memberat (*__*)

Mahu ku...
Disiplinkan diri...
Bantu adik-adik juga diri sendiri
Jangan alpa tanggungjawab diri
Pada Allah dan keluarga yang disayangi (^__^)

Mahu ku....
Ada perubahan status diri
Dengan memperbaiki komunikasi
Baik tingkahlaku dan baik pula emosi
Persiapan diri jika bergelar 'permaisuri' (*_^)

Mahu ku...
Ermmm...apa lagi mahu ku?
Cukup setakat disitu...
Terlebih bicara kelak rasa malu
Walhal pencapaiannya belum tentu
Kerana semuanya bergantung sikap mahu dan terus mahu....

Nota: Catatan azam diri di tahun baru 2012. Entah tercapai, entah tidak! Perancangan selalu ada namun kejayaan selalu tersasar menuju puncak jaya. Ermmmm.... :-)

DIA YANG MEMBISU


DIA YANG MEMBISU

Dia yang membisu..
Tiada interaksi yang hadir
Membuat diri ku terus berfikir
Kenapa? Mengapa? Lelah ku fikir..

Dia yang membisu..
Walhal sebelumnya ceria
Kelihatan semangat berbicara
Bertukar maklumat di alam maya
Ikhlas membantuku seadanya

Dia yang membisu..
Buat aku mahu bertanya
Apa penyebab kebisuannya
Mungkin tak sudi lagi untuk menyapa
Atau enggan membantuku selanjutnya

Dia yang membisu..
Buat diri ku jadi gelisah
Terbiar diri dengan hati resah
Hilang semangat namun ku redah
Berbekalkan usaha mencapai mimpi indah

Dia yang membisu..
Terima kasih ku terlafaz dari hati
Segan ku bertanya khabarmu lagi
Kebisuan mu mengunci pintu hati
Lebih baik ku diamkan saja diri ini
Sambil memujuk sedikit rajuk dihati..

Nota: Buat teman yang membisu. Jangan memilih untuk diam tanpa bicara. Katakan saja andai tak suka. Katakan saja andai sibuk. Katakan saja andai tak mampu lagi menjawab pertanyaan dari ku. Huhuhu...sesekali terkilan punya teman yang membisu tanpa diketahui apa penyebabnya. :(

Saturday, January 28, 2012

SEPATUTNYA FIKIR BERKALI-KALI


SEPATUTNYA FIKIR BERKALI-KALI

"Sepatutnya aku perlu memikirkannya berkali-kali. Bukan hanya sekali. Bukan kerana terpengaruh dan meyakini hasrat seorang teman, aku pula lupa memikirkannya untuk beberapa kali." Hati dan mindaku masih terbeban dengan pilihan diriku sendiri.

"Fikir sekali sebelum kita memberi. Fikir berkali-kali sebelum kita menerima." Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi 1 Malaysia di kata TV 1 dengan tajuk perbincangan 'Buat Baik Berpada-Pada' sekitar jam 10 pagi tadi.

"Kenapa aku perlu memikirkannya berkali-kali sedangkan ternyata pilihan itu disokong penuh oleh teman ku (Cikgu S)?" Aku masih menyoal diriku sendiri.

"Hasil lebihan loan penuh tersebut setelah ditolak dengan harga rumah boleh digunakan untuk melangsaikan semua bayaran hutang seperti kereta, PTPTN dan loan bank yang lain." Demikian kata ejen perumahan yang tidak jemu memberi penjelasan kepadaku. Kata-katanya juga sama seperti apa yang pernah diunagkapkan oleh sahabat ku Cikgu S beberapa bulan yang lalu.

"Kamu tidak rasa rugi kah ambil rumah tu? Rumah tu stodio, hanya satu bilik dan saiz kelihatan kecil. Lagipun pinjaman loan kerajaan kita ni hanya dapat digunakan sekali sahaja. Ada lebih baik kamu mencari lot tanah dan buat loan kerajaan untuk bina rumah di atas tanah sendiri disekitar Keningau ini." Kata seorang rakan sejawatku di tempat kerja apabila mengetahui hasrat ku untuk membeli rumah. Pendapatnya begitu jauh berbeza dengan rakan ku, Cikgu S.

Aku semakin dilema memikirkan pendapat-pendapat mereka. Ada logiknya kata-kata rakan sejawat ku itu. Tambahan pula, rumah yang akan ku beli jauh di daerah Kota Kinabalu. Pada mulanya aku memilih rumah di blok G agar dapat bersama dengan rakan ku Cikgu S yang bertugas disekitar Tenom. Tapi entah bagaimana, ejen rumah tersebut sesuka hati memindahkan aku di blok B. Kegembiraan ku hilang malah berganti dengan rasa tidak puas hati dan sedikit suntikan rasa marah.

"First come, first serve" katanya selamba.

"Amboi sedap mulut bercakap. Kenapa tiada perbincangan terlebih dahulu?" Aku amat tidak berpuas hati, namun kata-kata ku tersekat di kerongkong. Tiada kata yang terluah. Segalanya terasa tidak bermakna lagi. Pesanan ku melalui sms tidak diendahkan oleh ejen perumahan apabila aku ingin membatalkan pembelian rumah tersebut. Malah ejen perumahan tersebut kelihatan pantas memasukkan bayaran wang dipositku sebanyak RM500.00 dan bukti resit pembayaran telah siap sedia diberikan kepada ku.

"Aduh, si mata sepet, percakapan lembut diselang selikan batuk-batuk seolah-olah tidak sihat. Kesopanan bicara mu membuatkan aku masih sahaja mahu bersabar terhadap mu. Kalau saja ada nada suara tinggi, boleh sahaja aku berkeras untuk terus membatalkan semuanya." bisik hati ku diiringi rasa tidak puas hari.

"Jika aku memilih untuk membatalkan pembelian rumah ini bermakna aku harus bersedia untuk kehilangan wang dipositku sebanyak RM500.00. Atau, aku teruskan sahaja pembelian ini, siapa tahu ia berbaloi dengan membuat sewaan terhadap rumah tersebut?" Aduh....aku semakin binggung memikirkan semua ini. Semangat ku boleh sahaja hilang kerana fikiran ku asyik tertumpu kepada urusan yang satu ini.

"Tahniah, anda sudah memiliki rumah." Kata si ejen perumahan. Sambil menghulurkan tangan untuk bersalam, dia tersenyum lebar.

"Apa salam-salam ni....haram....faham kah?" Hati ku menjerit namun tidak terluah bicara dibibir. Dalam keadaan perasaan yang berbolak balik, tanpa sedar aku menyambut juga salam tahniah daripadanya dengan balasan senyuman yang terpaksa.

"Aduh, dosakah aku kerana bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim? Mana pergi ilmu, iman dan keyakinan mu efah?" Aku mengherdirk diriku sendiri. Kesal berbaur marah dengan diriku sendiri.

"Asertif...asertif...asertif. Tegas diri...tegas diri...tegas diri... efah." Aku memarahi diriku sendiri.

"Semuanya sudah berlalu. Nasi sudah menjadi bubur. Solat istikharoh yang dibuat beberapa hari lepas bagi mendapatkan keputusan pula banyak dipengaruhi fikiran-fikiran negatif. Dimana kesudahan semua keputusan ini? Sepatutnya aku perlu berfikir berkali-kali sebelum menerima sesuatu daripada orang lain." Aku menasihati diri ku sendiri.

"Semoga keputusan yang terlanjur dibuat akan dapat berjalan dengan baik. Semoga semua urusan hidup ini dipermudahkan. Amin..." Hanya doa sahaja yang mampu ku iringi keputusan yang terasa berat untuk ku tarik balik.


Friday, January 20, 2012

MENGGAPAI IMPIAN



Majlis Konvokesyen 16 Jun 2009, Sutra Harbour, Kota Kinabalu, Sabah.


MENGGAPAI IMPIAN

“Cita-cita kamu apa?” Seorang guru sekolah rendah pernah bertanyakan soalan mengenai cita-cita kepadaku. Ketika itu aku berumur 10 tahun.

“Guru” aku menjawab kerana mendapati guru adalah salah satu kerjaya yang jelas kelihatan di mata ku ketika itu. Walhal aku sebenarnya tidak pernah pasti apakah cita-cita dan impian ku.

Bagiku, rutin kehidupan adalah sekolah, kebun dan rakan-rakan. Pagi berada disekolah, petang akan pergi ke kebun. Jika tidak ke kebun, aku memilih untuk bermain dengan rakan-rakan dibawah pokok atau berpakat ke sungai untuk bermandi-manda sambil mencari cili padi ditepi semak belukar untuk di jual kepada Makcik Iba yang mempunyai lot pasar sayur di pekan Keningau.


Wang hasil jualan cili padi akan digunakan sebagai perbelanjaan diri sendiri di sekolah atau disimpan ke dalam tabung yang diperbuat daripada pokok buluh. Mengharapkan ibu dan bapa ku, mereka tidak akan memberikan wang perbelanjaan ke sekolah disebabkan bebanan tangguangan anak seramai 11 orang. Biasanya, sarapan pagiku ke sekolah adalah makanan berat iaitu nasi dan sayur. Jika tidak mempunyai sayur, cukup kicap yang berwarna kehitaman membuka selera. Namun aku tidak pernah jemu tentang makanan, asal sahaja perut terisi, badan bertenaga dan hati akan senang.

Enam tahun aku disekolah rendah dan selesai melalui Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jelas aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran ketika mengikuti peperiksaan tersebut. Malahan seingat aku, ibu bapa ku asyik sibuk dengan kerjaya di kebun. Pagi menorah getah, petang membersihkan kebun pisang dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri. Aku sendiri tidak pernah mengambil berat tentang pelajaran ku kerana beranggapan belajar disekolah sekadar untuk rutin harian kanak-kanak sepertiku. Aku tidak pernah terfikir untuk bersungguh dalam pelajaran apatah lagi untuk menggapai impian dan cita-cita dimasa akan datang.

“Jalifah, keputusan UPSR kamu gagal satu mata pelajaran. Satu sahaja lagi untuk kamu dapat lulus semua” kata cikgu Ahini. Aku hanya membalasnya dengan segaris senyuman. Semua matapelajaran lulus kecuali Bahasa Inggeris.
“Aku telah gagal dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).” Bisik hati ku. Aku merasa sedikit sebak namun aku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku hanya terdiam membisu sambil melihat kagum terhadap tiga orang sahabat ku Jahidin, Junaidin dan Zainuddin yang lulus UPSR ketika itu. Sekitar 23 orang murid sekolah yang mengikuti peperiksaan, hanya 3 orang sahaja yang lulus.


“Kalau kau gagal UPSR, tidak perlu sambung belajar lagi. Sekolah di pokok getah saja. Pokok getah tu buku dan pisau getah tu pensilnya” terngiang-ngiang kata ayah ku beberapa hari sebelum keputusan UPSR diumumkan. Hatiku bertambah sayu dan gelisah.


“Aku tidak boleh lagi ke sekolah. Aku tidak akan pernah merasa pakaian sekolah menengah. Aku akan bersekolah di kebun getah seperti kata ayah ku.” Minda ku mula beralih pada persekitaran kebun getah sejauh 2 kilometer dari rumah ku dan terletak diatas bukit.

“Aku tidak pasti bagaimana masa depan ku. Kerjaya ku boleh jadi petani seumur hidup, mewarisi kerjaya turun temurun sejak dari nenek moyang” Aku mula berusaha memahami warisan hidup keluargaku.

Rakan sebaya ku mula sibuk bercerita mengenai alam sekolah menengah. Aku pula asyik meluah rasa sedih kerana tidak lagi dapat bersekolah seperti mereka. Reaksi mereka sekadar megiyakan akan nasib diri ku. Sesekali aku merasa amat kasihan dengan diri ku sendiri. Namun anak kecil seperti ku tidak mampu mengubah pendirian ibubapa. Jika putih katanya, putihlah dan jika hitam katanya, maka hitamlah juga.

“Nanti kita pergi beli baju sekolah kau esok.” Suatu pagi ayahku menyapaku di ruang dapur.

“Ya.” Ringkas jawapan ku namun hatiku berbunga-bunga.

“Yeahhhhhhhhh….aku akan ke sekolah seperti rakan-rakan ku. Akhirnya ayah ku masih mahu aku bersekolah, akan ku buktikan aku boleh lulus juga peperiksaan akan datang.” Dalam diam, hatiku bersorak girang disamping menanamkan azam diri.

Alhamdulillah, selesai orentasi tingkatan satu, aku ditempatkan di kelas tingkatan 1 Cemerlag di sekolah SMK Keningau pada tahun 1995. Setelah lulus sederhana dalam peperiksaan PMR, aku melanjutkan persekolahan ku di SMK Gunsanad dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6 atas. Keputusan peperiksaan ku semuanya sederhana, nyawa-nyawa ikan namun masih lulus.

Berbekalkan keputusan SPM dan STPM yang sederhana aku mencuba nasib untuk menggapai impian dan cita-citaku sebagai seorang pendidik. Dua kali aku memohon untuk memasuki Maktab Perguruan Keningau namun dua kali juga aku gagal. Akhirnya aku memilih untuk berkerja dengan orang yang berniaga disekitar pekan Keningau. Kerjaya ku bertukar ganti, aku pernah berkerja sebagai seorang penjual sayur di pasar harian, menjual goreng pisang di tepi kedai Sugar Bun, menjual kain terpakai di kedai lelong dan pernah menjadi penjaga kain dikedai baju-baju berharga mahal.

Sedikit sebanyak aku mula bangga kerana dapat menyimpan sedikit duit hasil pekerjaan ku dan tidak pernah menyusahkan ibubapa ku. Aku mula bahagia dengan gaji sekitar RM200.00 hingga RM300.00 sebulan. Ibubapa ku juga tidak pernah mengeluh terhadap diriku, malah selalu mendorong ku untuk terus berkerja. Namun berbeza dengan abang sulungku.

“Kami semua masuk universiti, kau saja yang lain.” Kata abang ku sambil memandang sinis.

Pada mulanya aku sering mengabaikan kata-kata abang sulung ku. Terkadang endah tak endah dipendegaran ku. Namun anehnya abang sulung ku tidak pernah berputus asa membebel mengenai kejayaan mereka memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pengulangan kata-kata sinis abang sulung ku akhirnya bersarang teguh diminda ku. Aku semakin tertekan dengan pengulangan kata-kata yang sama setiap hari. Malah pernah air mata ku menitis kerna terguris mendengar bicaranya.

“Apa lagi masalahnya, aku sudah mempunyai pekerjaan. Aku sudah boleh memegang duit hasil titik peluh ku. Tapi kenapa abang ku masih tidak berpuas hati? Kenapa pula ibubapaku sekadar diam membisu tanpa membela ku? Mereka membiarkan abang sulung ku bagaikan ketua keluarga didalam rumah. Sesuka hati memarahi ku? Menekan ku dengan perbandingan pendidikan yang diperolehi. Apa ada dengan pelajaran yang tinggi?” Aku yang berusia hampir mencecah 20 tahun ketika itu mula menganalisis dimana kebenaran dan cuba mencari kalau-kalau berlaku kesilapan. Namun aku gagal mencari jawapan. Malahan usia ku sekitar itu hanya dipenuhi sikap memberontak kerana merasa diri sudah cukup dewasa.

“Baik. Saya akan sambung belajar.” Akhirnya aku menjawab juga bicara sinis abang sulung ku. Aku memilih untuk menurut perintah abang sulungku. Biar tiada lagi tekanan yang akan ku alami. Aku bangkit berusaha mengambil cabaran daripada kata-kata sinisnya sebelum ini. Alhamdulillah aku berjaya mengikuti jejak abang dan kakak ku menamatkan pengajian ku di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Aku berjaya mendapat keputusan kepujian dalam bidang Psikologi Kaunseling dengan pointer yang sederhana.

Namun sekali lagi aku gelisah dengan diri ku. Selesai sahaja menamatkan pengajian, aku terkapai-kapai mencari kerjaya ku. Kadang-kadang aku tidak tahu apakah sebenarnya cita-cita ku. Pengajian ku berjaya ditamatkan namun aku juga berjaya mengumpulkan sejumlah hutang PTPTN untuk membiayai pengajianku sepanjang tiga tahun di universiti. Sekali lagi aku tertekan dengan bebanan hutang yang perlu dibayar. Bagaimana mungkin aku mampu membayarnya sedangkan aku seorang penganggur? Abang sulung ku bertuah kerana pengajiannya ditaja oleh Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Pengajian kakak ku pula ditaja oleh PETRONAS kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

RM19,500.00 hutang PTPTN yang tertera sepanjang aku mengikuti pengajian selama tiga tahun di universiti, itu pun belum termasuk bunga pinjaman. Jumlah pinjaman boleh saja mencecah RM20,000.00 ke atas termasuk kos pentadbiran. Aku semakin tertekan apabila menerima surat mahkamah sebagai peringatan untuk menjelaskan hutang pinjaman. Harus bagaimana menyelesaikan masalah ini sedangkan aku dan rakan sepengajian ku belum mendapat kerja tetap?

“Belajar tinggi-tinggi pun, tidak dapat kerja juga kan” masih terngiang-ngiang kata-kata seorang makcik di kampung ku ketika aku memberitahu aku sudah tamat pengajian. Perkataan yang selamba tetapi cukup membuatkan aku tidak mahu duduk diam di kampung. Aku membawa diri mencari kerja di bandaraya Kota Kinabalu.

“Kerja apa sahaja, asal halal.” bisik hati ku.

Sekadar berkerja disekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak dapat menampung bayaran pinjaman. Dengarn gaji kerani sekitar RM600.00, habis ku gunakan untuk membayar sewa bilik, tambang bas dan makanan seharian ku. Kerja sekadar cukup makan dan bebanan hutang sedikit sebanyak terus mengganggu keharmonian emosi ku. Sungguh, tiada ketenangan bagi orang yang berhutang dan belum menjelaskannya. Aku sering berusaha membayar hutang pinjaman tersebut namun sentiasa gagal. Disiplin ku untuk menyimpan wang juga sering gagal. Malah aku tidak berjaya menitipkan sedikit duit gaji ku kepada ibubapa ku di kampung.

Sambil berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, sekali lagi aku mencuba nasib di bidang perguruan. Kali ini aku memohon untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Setelah tiga kali mengikuti peperiksaan M-Test, akhirnya aku berjaya juga mengikuti temuduga perguruan seterusnya ditawarkan mengikuti KPLI - Diploma Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling Ambilan Januari 2008 di Institut Perguruan Tawau, Sabah . Hanya setahun pengajian dan aku akhirnya berjaya menggapai impian dan cita-cita ku bergelar guru di sekoah rendah. Kini aku sedang berusaha membayar hutang PTPTN di universiti dahulu.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan kepada Allah swt. Terasa kejayaan ku ketika ini bukan hasil usaha diri ku sendiri. Kejayaan ku berkat kata-kata sinis abang sulung ku suatu ketika dahulu. Seandainya, aku memilih untuk tidak mendengar nasihatnya, aku mungkin kekal berkerja sebagai penjual sayur, penjual pisang goreng atau penjaga kedai kain di kedai kain berharga mahal. Dalam diam, aku ingin mengungkapkan jutaan terima kasih kepada seisi keluarga ku yang tanpa sedar telah membetulkan pilihan hidupku untuk meneruskan pendidikan hingga ke peringkat universiti. Tanpa diduga, cita-citaku zaman persekolahan dahulu juga tercapai.” Aku bermuhasabah terhadap diri ku sendiri dan sering mengungkapkan kesyukuran ke hadirat Ilahi dengan tercapainya impian dan cita-cita yang sekadar disebut-sebut suatu ketika dahulu.

Sunday, January 15, 2012

KENANGAN DALAM IRAMA & LAGU

KENANGAN DALAM IRAMA & LAGU

Suatu ketika...
Aku menyimpan irama lagu-lagunya
Lagu si dia teman-teman baik hati
Satu demi satu wajah mereka muncul
Tersenyum seiring irama dan lagu

Irama dan lagu...
Ku simpan jua di ruang kenderaan
Sering berkumandang seiring jalan
Mengusik semula kenangan silam
Terkadang senyum...terkadang sedih...

Pada irama...pada lagu
Emosi silih berganti..
Benarlah kata seseorang...
Sesuatu yang paling jauh
Adalah kenangan silam...
Tak dapat digapai malah terus berlalu..

Aduhhh....kenangan....
Selamat tinggal semua memori..
Pada senyum tawa...manis memori
Juga sedih memori berbau pahit
Kini sekadar dilihat sekilas cuma

Kenangan dalam irama dan lagu
Melakar rasa tahu dan ilmu baharu
Meninggalkan kesan dihati nan satu
Menjadi insan yang semakin tahu
Bahawa hidup ada rasa madu
Ada rasa pahit hempedu

Nota: Titipan rindu buat semua teman-teman yang pernah hadir dalam lembaran hidup ini. Satu demi satu lagu kalian masih ku dengar seiring senyuman ku. Senyuman ini menggamit rindu mahu menyapa kalian namun rindu hanya terlafaz dihati yang terdalam. Terima kasih teman. Kalian semua pasti dalam kenangan yang terindah. Terkadang aku sekadar melihat kalian dalam diam bersama doa semoga berbahagia dan sihat selalu. ^__^

ANTARA BELALANG DAN MENTADAK (BOYON)


ANTARA BELALANG DAN MENTADAK


11.01.2012 (Rabu)_8.20 pagi_Kelas Tahun 1B

Cikgu J: Baiklah, siapkan latihan muka surat 1 dan 2 ya. Untuk muka surat 2, warnakan benda yang hidup sahaja ya.

Lantunan suara yang sengaja ku tinggikan mengandungi harapan agar semua murid-murid ku memahami dengan jelas apa yang ku arahkan. Murid-murid memahami arahan dariku dan mula menyiapkan tugasan dalam buku kerja masing-masing. Aku yang kebetulan mengajar subjek Dunia Sains Dan Teknologi bergerak ke hulu dan kehilir memerhatikan satu persatu murid agar menyiapkan tugas disamping membantu kalau-kalau ada murid yang masih tidak memahami apa yang telah ku arahkan.

Satu demi satu kumpulan meja ku pantau dan ku perhatikan. Tiba di kumpulan meja paling belakang, aku terdengar perbualan dua orang murid lelaki yang duduk bersebelahan.

Murid A: Itu bukan belalang...itu boyon.

Murid B: Bukan...belalang bah.

Murid A: Boyon....sebab tangan dia besar. Kalau belalang ada sayap.

Murid B: (terkebil-kebil...*_*)

Aku sengaja menyampuk perbualan mereka bagi memberikan penjelasan. Perdebatan anak-anak kecil yang baru mengenali dunia sekeliling pasti mengganggu sedikit tugasan yang diberikan oleh guru. Malahan cerita-cerita yang berkaitan dengannya akan terus dikongsikan sehingga melalaikan tugasan yang diberi.

Cikgu J: Ya...itu boyon dalam bahasa Dusun. Kalau bahasa Melayu mentadak. Mentadak dan belalang, kedua-duanya ada sayap.

Murid A: Nah kan...... ^_^

Murid B: *o*

Masuk dua tahun aku mengajar subjek Sains tahun 1, sering sahaja aku mendengar kekeliruan murid mengenai perbezaan belalang dan mentadak. Malahan nama mentadak sering disebut dengan bahasa ibunda iaitu 'boyon'. Semoga murid-murid ku semakin bertambah ilmu dan pengetahuan. :-)

Thursday, January 12, 2012

PETUA-PETUA CARI PASANGAN


PETUA-PETUA CARI PASANGAN

Petang itu sambil menonton sinetron "Ku Pinang Kau Dengan Bismillah" di TV Al-Hijrah_6.00-7.00 malam, terdetik pula mencari info tentang jodoh. Setelah mencari di ruang google, saya temukan "60 Petua Mendapatkan Pasangan" dilaman blog http://feryco.com/60-petua-mendapatkan-pasangan yang ditulis oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah. Wah...menarik juga senarai petua-petuanya. Saya 'copy' disini untuk simpanan dan bacaan bersama, semoga bermanfaat:

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Wednesday, January 11, 2012

KIAS KIASAN


KIAS KIASAN

Kias...kiasan...
Apa hendak dikias kiaskan...
Jiwa lembut...malang kaku ucapan
Ada bicara...papa pula ilham kiasan

Kias...kiasan...
Andai biasa berkias manis kata
Lembut semilir di cuping telinga
Tiada terguris kata setajam panah
Indah berteka teki penuh makna

Kias...kiasan...
Membuka minda, ilham ruang rasa
Beruntung yang bijak menggunakannya
Bicara tenang selembut kiasan hatinya
Puisi berbicara seindah budi bahasanya
Menyeret senyuman tanda fahamnya

Kias...kiasan...
Kaya bahasa melontar idea
Tinggi ilmu matlamatnya ada
Selari tenang tanpa ragu bicara
Sesekali berselindung sopan seadanya
Walhal mahu tapi mungkin malu menyapa

Kias...kiasan...
Indah hiasan kata berbicara
Semoga mekar madah tanpa cacat cela
Lembut bahasa...sopan butiran tutur kata
Jujur memberi...ikhlas pula meminta

Monday, January 9, 2012

DI HARI LAHIRNYA


Sempena kelahiran adik Masnijah. 31.12.2011_8.25 malam_Kg Penagatan Ulu.

DI HARI LAHIRNYA

Ya...apa lagi yang boleh membuatkan dia tersenyum sempena hari lahirnya? Apa hadiah untuknya? Pada saya dia sedang melihat masa depan yang mahu digapai dengan jayanya. Doa saya 'semoga si dia selalu bahagia, sihat, murah rezeki dan dirahmati Allah selalu....amin.'

31.12.2011.....itu tarikh tercatat sejarah. Tarikh penamat hari, bulan dan tahun...setiap tahun yang berlalu. 31.12.1986 (25 tahun)...itu tarikh keramatnya. ^_^

Penyanyi Sabah, Ebi menyapanya.... (31.12.2012_11.42pagi_Pekan Keningau, Sabah)

Bergambar dengan penyanyi "Macam Di KK"... Mr Janrywine J Lusin
dan artis Sabah yang lain.

Mereka sempat ucapkan "Happy Birthday" buat si dia....wah...artis Sabah wish tu....suatu yang buat dia tersenyum lagi. ^___^


Jalan-jalan di Taman Pertanian Lagud Seberang Tenom. Masa ni saya demam panas...tapi masih paksa diri berjalan. ^_^ (31.12.2011_2.56 petang)

Sempat singgah di lansaran, Rumah Kebudayaan Murut Sabah. (31.12.2011_4.48 petang)

Semoga sentiasa sihat dan ceria selalu. Berbahagia selalu dengan apa yang ada kerana hidup ini hanya sekali....alhamdulillah. ^___^

Saturday, January 7, 2012

ERA 30AN


ERA 30AN

Alhamdulillah....
Sempat juga ku hirup
Udara nan indah
Di bumi milik Tuhan...
Hingga usia mencech era 30an...

Ya Allah...
Sampai bila usia ini dipinjamkan?...
Andai sampai ajal pada usia ini...
Takut ku hadapi ketentuan Mu..
Tak cukup amalan memperbaiki diri

Usia 30an...
Mengetuk kesedaran diri
Tiada ruang sembang berleluasa lagi
Terkadang diam membisu seribu bahasa
Semakin merasa tak pasti akan takdir diri

Era 30an..
Melambai usia angka '2' di depan
Berdiri sebagai manusia matang
Mencari pengertian hidup yang satu
Mengisi makna warna kehidupan

Usia dewasa meniti tua
Sering berlagu persoalan...
Tentang rumah dan tangga
Tentang suami dan anak
Jawapannya...'doakan saja'

Panggilan juga kian berubah
Dulu kakak kini makcik
Kalau punya anak
Boleh saja dipanggil 'mak'

Aduh....perlukah dirunsingkan usia ini?
Gelisah sendiri menjawab kisah hidup
Sedang takdir sudah tercatat sejak azali
Hanya bersabar menanti tiba waktunya
Redha dan ikhlaskan semua yang berlaku